Sunday, February 14, 2016

80 lauk-pauk di Warung Aja




 80 lauk-pauk di Warung Aja
Pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis lauk mengikut cita rasa dan pilihan.
BERMULA dengan menjual lima jenis lauk, kini Warung Aja boleh berbangga dengan hidangan 80 jenis lauk sehari hasil air tangan pemiliknya, Aja atau Nur Hazamazlin Razali, 34.
Terletak berhadapan masjid di tepi Jalan Bukit Setongkol, lokasi Warung Aja menjadi pilihan pelanggan setiap Isnin hingga Jumaat.
Selain ikan patin masak petai tempoyak yang menjadi kegilaan pengunjung, masakan lain seperti ikan puyu masak lemak cili api, ayam lemon, kambing bakar, seafood tauhu, ikan kerisi berlada, telur ikan masak lemak, pari stim asam mangga, ayam pandan dan ikan pekasam turut menjadi tarikan.
“Dulu Aja tak pandai memasak tapi Aja belajar, macam-macam jenis kelas dan kursus Aja pergi semata-mata untuk membuka kedai yang menepati cita rasa semua orang.
“Walaupun ada macam-macam lauk tapi setiap lauk hanya dimasak dalam kuantiti sedikit iaitu satu bekas untuk satu jenis lauk. Jika habis akan digantikan dengan lauk yang lain pula,” katanya.
Menurut Aja, konsep menukar lauk dilakukan bagi mengelak rasa jemu pelanggan yang pelbagai. Malah, puluhan jenis lauk-pauk di Warung Aja menepati selera kanak-kanak hinggalah warga emas.
Selain sajian kampung seperti gulai rebung, gulai pisang muda dan gulai jantung pisang, Warung Aja menambah selera pengunjung dengan sup bebola ikan, sosej berlada, ayam goreng lemon, ayam goreng nestum dan ayam butter cereal cheese serta lebih 15 jenis sayur goreng.
“Aja suka mencuba pelbagai jenis masakan dan reka resipi sendiri. Testimoni adalah pelanggan. Jika mereka tidak suka, Aja akan ubah sehingga menepati cita rasa.
“Konsep santai dalam suasana kampung dan makan di bawah pokok juga satu tarikan. Aja yakin mereka tak jemu datang,” katanya.
Bagi yang mahu bersantai dengan hidangan pencuci mulut, Warung Aja menyediakan hidangan santai jagung nyiur (kelapa), ubi rebus, ubi goreng dan pulut sambal ikan yang dijual pada harga RM4 dan RM5 setiap hidangan.
Warung Aja merai pelanggan setiap Rabu dengan dengan menyediakan bubur lambuk seafood, bubur kacang hijau atau bubur pulut hitam dan diberi secara percuma.
“Seronok lihat pelanggan datang dan nikmati hidangan. Mungkin selepas ini ada cawangan Warung Aja di beberapa tempat. Itu harapan Aja untuk jamu pelanggan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: