
Kaki kanan Pak Ya dipotong dua tahun lalu akibat jangkitan kuman.
TIDAK mudah mengalah dan putus asa. Itulah prinsip hidup dipegang seorang usahawan kedai makan meskipun dirinya kini bergelar orang kurang upaya (OKU).
Yahya Sapar, 68, atau mesra dipanggil Pak Ya disahkan menjadi OKU setelah kaki kanannya dipotong dua tahun lalu akibat jangkitan kuman.
Namun, pemilik gerai Pak Yahya Asam Pedas Parit Jawa ini tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk berjaya, sebaliknya berusaha memberikan contoh terbaik buat keluarganya.
“ Walaupun tanpa sebelah kaki, saya tak pernah menjadikannya sebagai penghalang untuk saya menguruskan perniagaan yang telah diusahakan selama 18 tahun ini.
“Malah dengan keadaan sekarang, membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjadi contoh kepada anak-anak saya supaya mereka tidak mengalah di masa hadapan,” katanya.
Pernah berkhidmat sebagai anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja selama 18 tahun, Pak Ya mengakui prinsip hidup diamalkannya itu menjadi kunci kejayaan buatnya pada hari ini.
“Kita kena ada prinsip hidup kerana itulah yang menjadi tunggak utama kehidupan kita.
“Kalau saya tidak mempunyai apa-apa pegangan utama, mungkin saya tak akan kuat dan maju seperti sekarang sebab kita kena ingat, kejayaan bukanlah suatu yang mudah untuk diperoleh,” katanya.
Memandu dari Johor ke Kuantan
Mengakui dirinya kini mempunyai batasan untuk bergerak, namun kesukaran itu tidak pernah ditonjolkan kepada masyarakat sekelilingnya termasuk keluarga.
“Selepas kaki dipotong, jelas kelihatan perasaan anak-anak dan isteri yang mungkin risau saya akan mengalah.
“Jadi saya buat keputusan memandu sendiri kereta dari Johor ke Kuantan bersama keluarga untuk menunjukkan kepada anak-anak bahawa saya boleh harungi cabaran ini,” katanya.
Jelasnya, dia kini berbangga walaupun dengan kekurangan itu, dia berjaya menyara lapan anak termasuk seorang ibu mertuanya yang uzur.
‘Dia benar-benar reda’
Sementara itu, isteri Pak Ya, Normah Hassan, 50, berkata, kecekalan suaminya itu juga kini menjadi pencetus semangat buat mereka sekeluarga.
“Saya lihat dia benar-benar reda dan tenang walaupun tahu kakinya terpaksa dipotong, malah saya lihat semangat dia sangat tinggi dan tak mengalah seperti orang lain walaupun telah bergelar OKU.
“Dia sendiri yang memutuskan untuk bantu kami di gerai kerana bosan di rumah dan meyakinkan saya bahawa tiada masalah untuknya melakukan pelbagai pekerjaan di sini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: