
Muhammad Alias menggunakan kayu palet terbuang untuk membuat meja makan seperti yang ditempah pelanggan.
KULIM – Dahulu kayu palet (pine) hanya dibuang sahaja, namun kini ia semakin menjadi buruan pembuat perabot.
Malah, ia turut menarik minat tiga sahabat baik, Muhammad Alias Mat Ali, 30; Shahrul Nizam Shaari, 36, dan Mazli Ali Hassan, 36, yang tinggal di Kampung Keda Sungai Tengas, di sini, untuk berjinak-jinak dalam pembuatan perabot menggunakan kayu palet terpakai bagi menambahkan pendapatan.
Muhammad Alias berkata, aktiviti membuat perabot itu pada mulanya hanya hobi mengisi masa lapang bersama dua rakan karibnya itu tiga tahun lalu.
“Mula-mula hanya buat suka-suka sebab minat aktiviti pertukangan. Lagipun kos buat perabot daripada kayu palet ini agak murah dan mudah.
“Waktu itu kami juga buat perabot dari banir kayu jati emas tapi pasaran agak terhad sebab mahal dan susah nak dapat bekalan,” katanya.
Hasil dorongan rakan
Muhammad Alias berkata, dorongan rakan yang tinggal di ibu kota turut member idea dan pandangan membuatkan mereka lebih yakin untuk meneruskan aktiviti pembuatan perabot tersebut.
“Mulanya kami bimbang tak dapat sambutan, tapi lepas dapat jemputan kenalan untuk tengok sendiri perusahaannya di ibu kota, kami yakin perniagaan ini boleh pergi jauh,” katanya.
Menurutnya, mereka juga hanya mengeluarkan modal permulaan RM3,000 untuk set membeli mesin pemotong dan pengilat kayu.
“Kami kongsi duit beli mesin untuk memotong dan melicinkan kayu palet terpakai sebelum dibentuk jadi perabot dikehendaki pelanggan.
“Hasil jualan kami guna beli peralatan tambahan sehingga lengkap,” katanya.
Mengimbau kembali detik permulaan tiga sahabat itu terlibat dalam pembuatan perabot kayu palet terpakai katanya, mereka hanya menggunakan kereta untuk mengambil kayu palet yang dibuang di kawasan kilang.
“Kami hanya guna Perodua Myvi saja untuk ambil kayu palet terbuang di kilang sekitar Kulim. Masa tu hanya percuma sebab orang tak mahu,” katanya.
Muhammad Alias yang juga pengawal keselamatan itu berkata, kini kayu palet terpakai dijual dengan harga RM15 untuk satu set tempat alas barang di kilang.
“Satu set tempat alas barang kilang itu kami boleh hasilkan satu meja makan yang dijual dengan harga RM200 bergantung pada saiz dan kehendak pelanggan,” katanya.
Permintaan tinggi
Rakan kongsi Kausantika Enterprise itu berkata, permintaan terhadap perabot kayu palet ini semakin meluas bukan sahaja untuk kegunaan kediaman malah kedai makan yang mahukan gaya moden dan klasik.
“Sekarang permintaan untuk kafe atau kedai makan makin tinggi. Malah ada juga pejabat yang mahukan konsep dekorasi dalaman menggunakan perabot kayu,” katanya.
Malah katanya, kayu palet juga semakin menjadi pilihan untuk pelamin di hari perkahwinan.
“Selain buat perabot, kami juga ambil tempahan untuk majlis kahwin yang mahukan pelamin atau ruangan bergambar berkonsepkan kayu palet ini,” katanya.
Menurutnya, apa yang membezakan perabot kayu palet dengan perabot lain ia kerana ira atau bunga kayunya sangat unik dan cantik tanpa perlu dicat.
“Memang cantik struktur kayunya selepas dilicinkan. Ira kayunya yang sangat unik menambahkan lagi eksklusif di setiap perabot kayu palet ini. Tak perlu cat, hanya kekal dengan warna asli.
“Kalau mahu lebih moden, kita hanya tambah elemen besi untuk bahagian kaki kerusi. Memang cantik untuk dapatkan gaya unik namun kos rendah,” katanya.
Tambahnya, mereka juga merancang memiliki sebuah kedai perabot sendiri bukan sahaja untuk menjual produk mereka, malah produk anak muda yang tidak mempunyai platform untuk memasarkan hasil kerja mereka.
“Kami memang mahu buka sebuah kedai perabot agar orang ramai dapat memilih dan melihat sendiri hasil kerja kami. Dengan cara ini, pengusaha dan pembuat perabot kecil-kecilan juga dapat letakkan hasil mereka di sini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: