
Rajab (tiga kiri) bersama kumpulannya mengadakan persembahan di Selising beberapa tahun lalu.
DENGAN pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang pembuatan pelbagai alat muzik tradisional berserta komitmen tinggi, dia sememangnya mendapat kepercayaan daripada pelanggan yang mementingkan kualiti.
Lebih daripada itu, Rajab Latiff, 68, dari Kampung Banggol Pa'Esah, Pasir Puteh, turut menerima Anugerah Penggiat Seni Budaya Negeri Kelantan daripada Majlis Jaksa Pendamai beberapa tahun lalu.
Kini, dia berusaha untuk mewariskan kemahiran dimiliki kepada generasi muda agar ia tidak lenyap ditelan zaman dan bersyukur kerana anaknya, Mohd Rasuliza, 26, menunjukkan minat dalam bidang itu.
“Daripada lapan anak saya, dialah satu-satunya yang berminat mewarisi kemahiran ini. Ia penting kerana ketika ini, tidak ramai orang muda mahu menceburinya.
"Saya tak mahu menjadi generasi terakhir dalam bidang ini dan bersedia memperturunkan ilmu ini kepada golongan muda agar tradisi ini tidak berkubur," katanya.
Terima tempahan
Rajab menerima tempahan membuat set peralatan muzik untuk permainan dikir barat, puteri, makyong, seni silat dan wayang kulit serta membuat kerja-kerja kraf seperti replika rumah tradisi dan alat muzik untuk dijadikan cenderahati.
Selain menerima tempahan daripada individu, Rajab turut membekalkan peralatan muzik untuk kedai muzik di Terengganu yang membuat tempahan setiap bulan.
Menceritakan mengenai gendang dihasilkannya, Rajab bekata, badan gendang atau dipanggil ‘temalang’ diperbuat daripada kayu-kayu bersesuaian seperti kayu pauh, nangka dan jati yang dibeli daripada penebang pokok sekitar kampungnya.
“Lekukan bahagian dalam temalang boleh menentukan mutu suara gendang yang akan dihasilkan selain kulit kambing atau belulang yang sesuai.
“Kulit kambing atau belulang yang dibeli pada harga RM20 sebidang dijalinkan rotan dan kayu ‘baji’ disisipkan di sekeliling gendang," katanya.
Tambahnya, membuat alat muzik tradisional memerlukan ketekunan dan ketajaman deria pendengaran bagi menghasilkan alat yang mampu mengeluarkan ‘suara’ yang baik.
Katanya, proses ‘mencari suara’ sangat penting dan ia mesti dilakukan ketika jiwa tenang serta bebas daripada gangguan luar.
“Selagi tak dapat suara yang baik, selagi itulah kita kena perbaiki alat muzik itu, jika tidak berhati-hati, bahan yang baik pun belum tentu mengeluarkan suara yang bagus,” katanya.
Aktif buat persembahan
Rajab yang turut mahir membuat serunai, rebab, gedombak, canang, gendang panjang dan geduk juga aktif mengadakan persembahan bersama Kumpulan Muzik Tradisional Sri Dusun yang dicetuskan oleh Datuk Shukri Mohamad.
“Saya sebagai pengurus kumpulan itu memenuhi undangan mengadakan persembahan di seluruh negara termasuk di majlis-majlis besar yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Walaupun anggota kumpulan ini terdiri daripada golongan veteran, namun persembahan kami tidak menghampakan. Kami mempunyai kelebihan tersendiri kerana semua anggota mampu bermain kertuk,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: