
Zarina (duduk, dua kiri) berbincang dengan Nik Mohamad (kiri, hadapan) mengenai masalah keluarga 12 orang tinggal sebumbung, semalam.
KOTA BHARU - Dua bapa saudara sanggup tidak berkahwin demi menjaga 10 ahli keluarga mereka yang tinggal sebumbung di rumah usang di Kampung Pak Boh, Panji, di sini.
Lebih menyedihkan, dalam rumah berkenaan terdapat dua anak orang kurang upaya (OKU) dan tiga lagi tercicir sekolah disebabkan kesempitan hidup.
Lantai rumah yang diduduki cukup gerun untuk dipijak, malah kesedihan wajah keluarga berkenaan terpancar apabila datuk anak-anak ini, Allahyarham Ismail Su, 80, baru sahaja meninggal dunia, kelmarin akibat sakit jantung.
Bapa saudara berkenaan, Nik Mohamad Yaacob, 42, bersama Mohd Rozmi Ismail, 52, masih bujang memandangkan sejak dulu mereka menanggung hidup ahli keluarga mereka.
“Kami hidup bersesak-sesak dalam rumah, ada yang cacat dan ada anak kecil.
“Kalau ada kerja kampung iaitu buat rumah, saya dapat beri mereka makan, kalau tidak, kami terpaksa berlapar,” katanya kepada pemberita semasa Program Lawatan Ketua Umno Pengkalan Chepa, Zarina Eusope.
Bersama Skuad Sayang Pengkalan Chepa, keluarga berkenaan mendapat perhatian memandangkan rumah berkenaan didiami 12 ahli keluarga.
Nik Mohamad berkata, lapan anak abangnya, Allahyarham Sauti Ismail, yang meninggal dunia sejak dua tahun lalu dijaga di rumah berkenaan.
“Memandangkan abang saya meninggal, kakak ipar, Norhayati Saleh yang juga OKU bisu terpaksa tinggal berasingan setelah anaknya enggan berpindah mengikutnya di Kampung Telok.
“Kalau dapat bantuan rumah, kami sudah bersyukur kerana keadaan pada masa sekarang tidak selesa terutama ketika cuaca panas,” katanya.
Anak-anak saudaranya yang OKU lembam, Rozila Sauti, 26, manakala yang masih bersekolah tetapi kadang-kala tercicir pembelajaran berkenaan, Nor Syakirah Sauti, 14, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Panji (Sekolah Pendidikan Khas) masalah pembelajaran, Nik Mohd Danish Akmal, 12 dan Siti Nor Balkis, 9.
Sementara itu, Zarina berkata, keluarga tersebut perlu diberi perhatian bukan sahaja oleh Wanita Umno Pengkalan Chepa, sebaliknya kerajaan negeri diminta turut sama membantu.
“Kerajaan negeri juga diminta beri bantuan seikhlas hati untuk kegembiraan keluarga ini dan dalam masa terdekat kami akan usahakan bantuan rumah baru kepada mereka,” katanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: