Thursday, February 4, 2016

Stesen TV Tamatkan 'Gam' Atikah Suhaime - David Teo




Atikah akan kembali aktif berlakon di stesen televisyen tempatan.
PETALING JAYA: Kerjaya pelakon Atikah Suhaime, 25, berjalan seperti biasa apabila beberapa stesen televisyen membuka semula ruang selepas wanita itu dibekukan sementara ketika dia terpalit dengan kontroversi penyebaran video seks.

Pengarah Urusan Metrowealth, David Teo, berkata, tindakan diambil stesen televisyen berkenaan adalah selama enam bulan bagi memastikan sama ada berita tersebut sahih atau tidak.

"Ya, dia dibekukan selama enam bulan oleh stesen televisyen kerana isu itu dan sudah berakhir Disember lalu. Sekarang dia mula dipanggil semula untuk beberapa tawaran berlakon drama.

"Itu adalah proses normal bagi stesen televiyen yang mahu pelakon bersih daripada kontroversi. Mereka mahu lihat bukti sahih sama ada melibatkan artis itu atau tidak," ujarnya kepada mStar Online.

David Teo

David berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan kerjaya Atikah Suhaime yang suram sejak dikaitkan kontroversi video lucah dengan dua pelakon lelaki lain.

Tambah David, pihaknya sudah menyiasat tentang sejauh mana kebenaran kontroversi tersebut dan sudah ternyata tiada sebarang bukti mengaitkan pelakon wanita itu.

"Saya ambil serius perkara ini kerana ia menjejaskan masa depan pelakon saya. Saya juga sudah siasat dan memang perkara tersebut tidak benar sama sekali.

"Mungkin juga berita buruk tersebut disebarkan oleh pesaing-pesaingnya dalam industri ini yang tidak senang dengan kehadiran Atikah," ujarnya.

Selain itu, David berkata, kontroversi tersebut telah pun mematangkan aktres itu sendiri dalam mengawal keadaan untuk masa depan.

"Dulu dia tidak matang dan banyak buat perkara tidak betul, namun saya nampak kini dia lebih tahu dan belajar daripada pengalaman," katanya.

Sementara itu, Atikah mengakui dia mengurangkan pergaulan dengan rakan artis bagi mengelakkan sebarang kontroversi yang boleh mengaitkan dirinya sekali lagi.

Kata Atikah, dia bersyukur diberi peluang untuk beraksi semua di dalam drama-drama terbitan stesen televisyen tempatan.

"Sejak kontroversi itu, tawaran agak kurang tapi tahun ini ada beberapa drama yang masih dalam perbincangan.

"Kini saya memang letakkan hadkan untuk bergaul dengan rakan artis jika bukan waktu bekerja kerana tidak mahu mencetuskan kontroversi seperti yang sudah terjadi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: