Saturday, February 6, 2016

Rashidah memasak penuh kasih sayang




Rashidah memasak penuh kasih sayang
Rashidah ketika menyediakan makanan yang disediakan di kios disewa di Restoran Rabbani Saujana Utama.
SAUJANA UTAMA – Daripada pengasuh menjadi usahawan makanan. Meskipun mempunyai pengalaman mengasuh lebih 12 tahun, Rashidah Mansor, 39, nekad menceburi bidang pembuatan biskut dan makanan.
Bermula hanya tempahan daripada jiran tetangga, enam jenis biskut raya yang dihasilkan setiap kali Aidilfitri itu menjadi pilihan ramai sehingga ada yang menempah jauh dari Brunei.
Rashidah berkata, mulanya dia hanya buat sekadar suka-suka dan menjamu jiran setiap kali mereka bertandang ke rumah tetapi lama-kelamaan mereka mula menempah sehingga puluhan bekas untuk dijual di pejabat.
“Mula-mula memang tak sangka ada permintaan yang cukup menggalakkan dan sejak itu, setiap kali puasa, tempahan datang tak kira tempat termasuk dari Perak.
“Jadi, Shida Homemade Cookies menjadi jenama biskut akak dan akak hasilkan biskut ini dengan penuh kasih sayang, lagipun akak utamakan kualiti dan harga adalah nombor dua.
“Mungkin disebabkan minat, penat macam mana pun akak sanggup bakar kek atau biskut kalau ada permintaan dan lagi seronok bila pelanggan gembira dengan produk kita,” katanya.
Langkahnya lebih terbuka luas apabila berpeluang menyewa kios di Restoran Rabbani dan mula menjual makanan untuk sarapan pagi sehingga tengah hari sejak November lalu.
“Bila dapat peluang sewa kios ni, akak berpeluang jual mi kari, lontong, mi jawa, laksa dan soto ayam bermula pukul 6 pagi sampai 12 tengah hari saja tapi alhamdulillah, sambutan menggalakkan.
“Resipi keluarga yang diwarisi turun-temurun akak kongsi bersama pelanggan dan jiran, tak sangka mereka suka dan bagi gelaran mi kari meletuplah...lontong kasih sepakatlah,” katanya sambil berseloroh.
Meskipun masih aktif mengasuh anak jiran bersama kakaknya yang juga ibu tunggal, Rashidah bijak mencuri masa untuk mengikuti kursus penyediaan makanan dan masakan yang disediakan agensi kerajaan mahupun swasta.
“Akak masih lagi belajar dan terus belajar untuk jadi lebih baik...kalau ada peluang kursus percuma tu, akak tak akan lepaskan sebab sudah pasang impian untuk buka kedai sendiri.
“Bagi akak, status suri rumah bukannya penghalang untuk kita terus berjaya bahkan melalui minat saja kita boleh jana pendapatan lumayan untuk bantu keluarga.
“Akak bersyukur suami dan anak-anak sangat menyokong selain kakak yang sama-sama bantu susah dan senang...bukan mudah nak mudah dan bukan susah kalau nak susah.
“Jadi, akak berpegang pada prinsip utamakan kualiti produk dan harga nombor dua. Kena masak dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan...itu yang penting,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: