
Peserta melihat demonstrasi pengurusan pesakit strok di PPSK, di sini.
KOTA BHARU - Hampir 90 peratus pesakit pening yang dirawat tanpa menggunakan ubat-ubatan mampu sembuh seperti sedia kala.
Pensyarah kanan unit keseimbangan program audiologi Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Dr Zuraida Zainun berkata, kaedah ini mampu mengurangkan kadar kebergantungan pesakit terhadap ubat semata-mata.
“Sebenarnya, ada rawatan tanpa menggunakan ubat. Pengambilan ubat lebih daripada dua minggu boleh melambatkan proses penyembuhan otak secara natural.
“Malah, ramai pesakit yang telah mengamalkan pengambilan ubat lebih daripada lima tahun,” katanya selepas Bengkel Pengurusan Pesakit Pening dan Strok (Terapi Solat) di H di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Menurut pegawai perubatan Klinik Vertigo ini, kaedah rawatan ini lebih kepada membuang mentaliti masyarakat berkenaan penyakit pening yang sering dikaitkan dengan darah tinggi, darah rendah, migrain dan gastrik.
“Pening berputar itu tiada kena mengena dengan masalah berikut. Ia adalah kerana masalah keseimbangan badan.
“Selama tujuh tahun klinik diperkenalkan, hampir 90 peratus pesakit sembuh. Malah, terapi solat yang dipraktikkan dalam kaedah rawatan ini berasaskan 50 peratus pergerakan solat,” katanya yang bakal memperkenalkan modul rawatan untuk pesakit di rumah, Bal Ex Solat, tahun hadapan.
Katanya, sehingga kini, klinik yang diletakkan di bawah Klinik Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ORL) ini hanya ada tiga iaitu di HUSM, Universiti Malaya dan Hospital Sultanah Bahiyah, Ipoh.
Menurut Timbalan Dekan Akademik Pelajar dan Alumni PPSK, Prof Madya Dr Wan Rosli Wan Ishak, Bal Ex atau latihan keseimbangan badan diharapkan dapat memberi manfaat kepada pesakit dan ahli perubatan.
“Menerusi kaedah ini, tugas rawatan tidak hanya bergantung kepada pengamal perubatan sahaja, malah pesakit dan orang sekelilingnya perlu tahu proses rawatan dan rehabilitasi,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: