Sunday, February 7, 2016

Ramai keliru masjid tiada kubah



Ramai keliru masjid tiada kubah
Jawatankuasa Masjid Mukim Kedai Lama memohon bantuan bagi pembinaan kubah, menara dan bumbung masjid.
KEDAI LAMA - Ketiadaan kubah menyebabkan masjid tertua di Rantau Panjang, kehilangan identiti sebagai pusat ibadah seterusnya mengelirukan pengunjung luar.
Imam Masjid Mukim Kedai Lama, Anuar Salleh berkata, struktur binaan 1960-an ini mengelirukan pengunjung kerana kelihatan seperti sebuah dewan atau rumah.
Menurutnya, perancangan awal pembinaan menara dan kubah mungkin menelan belanja RM200,000.
Manakala pembinaan bagi fasa dua katanya, melibatkan pembinaan bumbung masjid yang terlalu rendah, turut memerlukan kos sebanyak RM200,000.
“Memandangkan Kampung Kedai Lama berada berdekatan Sungai Golok, maka masjid ini turut menjadi mangsa kenaikan paras air.
“Kami terpaksa meninggikan lantai masjid sehingga ke paras tingkap, tetapi disebabkan kekurangan kos, bumbung tidak dapat diubah suai menyebabkan lantai solat dengan bumbung menjadi terlalu rendah,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya mempunyai dana mencukupi, usaha menambah baik kelengkapan akibat banjir dapat dilakukan segera.
“Setakat ini kita menggunakan duit simpanan dan kutipan daripada Jemaah setiap kali solat berjemaah.
“Walaupun kerja baik pulih agak perlahan disebabkan kekurangan modal, namun pihak masjid berusaha menyiapkan kerja-kerja baik pulih ini secara berperingkat,” katanya.
Sumbangan boleh disampaikan kepada Masjid Besar Bandar Rantau Panjang menerusi akaun Bank Islam bernombor 03081010000090.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: