
Persembahan rebana ubi.
SATU ketika dahulu, alat muzik ini digunakan sebagai cara komunikasi jarak jauh dan ditempatkan di atas bukit.
Ia hanya akan dimainkan mengikut rentak tertentu bergantung pada berita yang ingin disampaikan termasuk pengumuman majlis pernikahan, hari keraian bagi pertandingan menghasilkan bunyi dan irama dan juga amaran bahaya.
Namun, hari berganti zaman berubah. Paluan rebana ubi semakin lama semakin sukar didengar apatah lagi ia diganti dengan pelbagai bentuk komunikasi dan muzik yang lebih canggih dan moden.
Seri Amok kembalikan kegemilangan rebana ubi
Menyedari alat muzik ini kian pupus ditelan zaman, Noralam Majid, 57, tampil menyemarakkan kembali irama paluan rebana ubi.
Menubuhkan kumpulan Seri Amok Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Banggol Perdana, di Pasir Mas, Noralam mengumpulkan 12 pemain (satu rebana ubi dua orang pemain) untuk melengkapkan paluan.
“Masa kecil dahulu, saya sering melihat datuk bermain rebana ubi. Namun, bila dia tiada, alat muzik ini terbiar agak lama, apatah lagi ia diwarisi daripada moyang saya sejak hampir 150 tahun.
“Akhirnya, pada 2013, saya nekad menubuhkan kumpulan ini dan cuba membaiki semula rebana ubi itu. Untuk baiki enam rebana ubi, saya mengambil masa selama setengah tahun di mana satu rebana ubi dibaik pulih dalam masa sebulan.
“Akhir tahun 2013, kesemua alat muzik ini berjaya disiapkan dengan menelan kos baik pulih sekitar RM20,000. Sejak itu, saya mula menggerakkan kumpulan ini,” katanya yang turut menggunakan serunai dan canai untuk menyedapkan irama.
Tambah Noralam, penghasilan alat muzik ini hanya berteraskan kepada satu bahan penting iaitu kulit kerbau jantan.
Menurutnya, jika ia ditukar kepada kulit haiwan lain mahupun kerbau betina sekali pun, ia tidak mampu bertahan lebih lama.
“Rebana ubi hanya menggunakan kulit kerbau jantan kerana kulit lain tidak sesuai untuk alat muzik jenis paluan. Jika menggunakan kulit haiwan lain, ia akan mudah pecah,” katanya.
Undangan persembahan
Bukan sahaja di Kelantan, malah kumpulan ini juga turut merentasi negeri-negeri lain termasuk ibu kota dalam membuat persembahan.
Sejak 2014, mereka bergerak ke serata lokasi mengikut jemputan dari pelbagai agensi, tidak kurang juga undangan dari sekolah serta jabatan.
Menurut guru kaunselor dari Sekolah Menengah Kangkong ini, kumpulannya itu terdiri daripada semua peringkat umur termasuk paling veteran, 83 tahun.
“Rebana ubi bukanlah alat muzik yang calang-calang untuk dimainkan. Pemain perlu menjiwai alunan muzik paluan secara semula jadi.
“Dalam paluan, perlu ada lengkok dalam gerakan dan juga emosi. Barulah ia menghasilkan rentak yang menarik," katanya.
Tarik minat golongan muda
Meskipun alat muzik ini lebih sinonim dengan golongan berusia, namun ada pendekatan lain yang digunakan Noralam untuk menyemarakkan semangat anak muda.
Malah, selain memberi fokus kepada jemputan, Noralam juga turut mempunyai 'anak murid' iaitu 20 anak muda yang kini dalam proses pembelajaran.
“Di hadapan rumah, saya sediakan bangsal untuk digunakan sebagai tempat belajar dan latihan kumpulan.
“Untuk menarik minat generasi muda, banyak pembaharuan yang saya gunakan dari segi muzik kepada genre lebih moden.
“Malah, isu yang diterapkan juga lebih kepada unsur mendidik dan memberi pengajaran kepada belia. Secara tidak langsung, saya berusaha untuk menarik anak muda daripada terjebak dengan gejala tidak sihat,” jelasnya.
Tambah bekas guru mata pelajaran Sejarah ini, sekiranya tidak dijaga dan dipelihara, alat muzik ini juga mungkin akan hilang dek zaman kerana tiada pelapis yang menjadi penyambung seni warisan ini.
“Hasrat saya untuk mengetengahkan seni ini sudah lama difikirkan, namun terbatas kerana kekangan masa yang sering menghimpit.
“Namun, dengan adanya kumpulan ini, saya amat mengharapkan agar ia terus terpelihara dan generasi yang akan datang akan terus mengekalkan tradisi ini.
“Setakat ini, saya lihat belia di sini tertarik untuk belajar. Malah, mereka juga memberikan komitmen yang baik dalam latihan,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: