Pushpa
SELEPAS empat tahun berehat, model dan pelakon, Pushpa Narayan menjadikan filem Maravan sebagai platform untuk kembali aktif dalam bidang seni.
Maravan merupakan filem Tamil tempatan arahan SD Puvanendran, menjengah pawagam tempatan sekitar Oktober 2015.
Bagi yang terlepas peluang menonton, filem itu kini boleh dibeli menerusi Astro First (saluran 480) dengan harga RM15.90, sejak 7 Januari.
Bahkan, kata Pushpa, filem Maravan adalah antara filem terbaik yang pernah dibintanginya.
"Ketika berehat, saya masih tetap aktif dalam industri cuma ia agak perlahan kerana saya perlu memilih lantaran komitmen yang tinggi terhadap keluarga.
"Tapi, selepas membintangi Maravan, saya sudah bersedia menerima apa-apa tawaran sama ada filem atau drama, selepas ini.
"Lagi pula, anak-anak saya sudah pun semakin membesar bahkan saya juga mempunyai pembantu rumah. Malah, rumah ibu mertua saya juga berdekatan dengan rumah saya," katanya.
Menariknya, mengenai selebriti berusia 36 tahun itu adalah kefasihannya berbahasa Melayu yang memberi nilai tambah kepadanya.
Malah, juara Dewi Remaja itu juga lebih kerap membintangi drama dan filem Melayu seperti Bila Otai Bercinta, Renjis, Cikgu Kamala, Di Bawah Ketiak Isteri, Gangster, Sembilu, Diva dan 1957: Hati Malaya.
"Saya akui selesa berlakon dalam drama atau filem Melayu. Sejak kecil, saya hidup dan bergaul dalam lingkungan orang Melayu. Bahkan, saya bersekolah di sekolah kebangsaan.
"Itu membuatkan saya agak kurang fasih berbahasa Tamil," katanya.
Pun begitu, situasi itu tidak menghalang Pushpa untuk tidak membintangi filem atau drama Tamil tempatan.
"Memang agak susah namun saya tetap mencuba Malah, kini saya juga ada membintangi beberapa drama Tamil di RTM," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: