NAMA Raja Ilya dan watak antagonis sememangnya tidak dapat dipisahkan.
Bahkan kerana karakter kejam, jahat, penuh kebencian membuatkan nama Ilya, 31, mendapat tempat di hati penonton.
Namun ingin memberikan variasi dalam karier lakonannya, Ilya memberanikan diri menerima tawaran Datuk Yusof Haslam untuk terlibat dalam drama bersiri musim terbaharu, Gerak Khas 2016.
Dedah Ilya, menerusi drama yang akan mula disiarkan 4 Mac ini, dia akan membawakan watak sebagai Inspektor Syakila, seorang yang berperangai gila-gila.
"Pertama kali terlibat dalam drama ini dan memakai uniform, memang susah buat saya. Bila memakai uniform, automatik cara berjalan lain, cara bercakap, cara bawa diri lain.
"Mujurlah Salina Saibi banyak membantu saya dan saya sifatkan dia sebagai ikon saya dalam drama bersiri ini," ujarnya.
Menurut Ilya, biarpun ada yang mempertikaikan penglibatannya dalam drama itu, namun dia memilih untuk menyertai Gerak Khas atas rasa hormat terhadap penerbitnya Yusof Haslam dan unit uniform berkenaan.
"Tidak dinafikan ada yang mempertikaikan saya menerima tawaran menyertai Gerak Khas. Tak kurang juga yang memberi maklum balas positif.
"Tapi sejujurnya drama bersiri ini telah melunaskan impian saya untuk menjadi anggota polis.
"Untuk pengetahuan ramai, ketika kecil saya bercita-cita untuk menjadi polis, pramugari dan pelakon. Malah, ketika saya habis sekolah, ayah saya mahu saya menjadi polis dan ibu mahu saya menjadi pramugari. Tapi atas beberapa sebab saya ikut permintaan ibu saya.
"Kini, saya merasai ketiga-tiganya walaupun saya hanya melakonkan watak sebagai anggota, tapi tetap memberi sentuhan sentimental kepada saya dan keluarga," jelasnya.
Tidak bimbang popularitinya akan merundum kerana menyertai Gerak Khas, tegas Ilya, dia masih lagi menerima tawaran daripada syarikat produksi lain.
"Tidak dinafikan komitmen dalam drama ini cukup panjang iaitu selama lima bulan. Namun, Datuk banyak memberi kelonggaran kepada saya dan berpeluang menerima tawaran lain.
"Malah, kini saya baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Soulmate arahan Profesor Datuk A. Razak Mohaideen.
"Selain itu, saya juga akan memulakan penggambaran drama bersiri untuk slot Akasia arahan Eoon Suhaini bersama Izara Aisyah dan Zamarul Hisyam,'' katanya.
Dibenci dan disayangi
Dalam pada itu, ditanya adakah dia akan mula menerima watak protagonis atau watak baik selepas ini, Ilya berkata, dia tidak berhasrat membawa karakter baik.
Jelas Ilya, selain tidak bersesuaian dengan wajahnya, dia bimbang akan menjejaskan sesebuah drama kerana kurang keberkesanan wataknya kelak.
"Bagi saya kini, kita ramai pelakon yang sesuai membawakan watak baik atau protagonis. Jadi saya rasa tak perlu dan tak rasa untuk menyaingi mereka,'' katanya.
Ilya berkata, biarpun sering membawakan watak antagonis, namun dia masih mempunyai pengikut dan peminat tersendiri termasuk di kalangan wanita berusia.
"Pernah saya pergi ke suatu tempat, tiba-tiba ada segerombolan mereka yang agak berusia mengerumuni saya sehingga terpaksa ditenangkan pengawal.
"Ingatkan mereka hendak menyerang saya, rupanya mereka menyukai saya. Malah mereka mengakui membenci tapi dalam masa sama menyayangi saya," katanya.
Belum sedia
Sementara itu, diusik mengenai hubungan cintanya dengan seorang jejaka mat salleh, Ilya berkata, hubungan mereka masih berjalan seperti biasa sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun dia belum bersedia menamatkan zaman bujang dan kekasihnya itu amat memahami.
"Kami belum pernah berbincang dengan lebih lanjut mengenai hal perkahwinan termasuk soal dia menukar agama.
"Namun, apa yang saya harapkan, jika dia mahu masuk Islam, dia buat kerana Islam, bukan kerana ingin mengahwini saya," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: