
Nazarudin menunjukkan koleksi ikan laga ternakannya dan hadiah kemenangan yang pernah dimenanginya dalam pelbagai pertandingan disertai.
SKUDAI - Ikan laga mempunyai nilai komersil yang tinggi kerana nilai pasarannya yang boleh mencecah sehingga RM500 seekor.
Peniaga, Nazarudin Ja'maat, 40, mengambil peluang mengusahakan perniagaan ikan laga bagi menambah pendapatan kerana menyedari potensi ikan hiasan berkenaan yang semakin mendapat permintaan.
Lulusan Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini berkata, sejak mengusahakan perniagaan itu tahun lalu, ikan laga ternakannya pernah mencecah sehingga 15,000 ekor pada satu musim.
Ikan ternakannya bukan sahaja menerima tempahan dari pelanggan sekitar negeri ini, tetapi turut mendapat permintaan untuk pasa ran luar negara termasuk Indonesia, Singapura, Brunei dan Hong Kong.
“Pada bulan tertentu saya dapat hasilkan antara 2,000 hingga 5,000 ekor anak ikan dan pada waktu kemuncak sekitar Julai lalu, anak ikan ternakan saya pernah mencecah sehingga 15,000 ekor.
“Paling murah ikan ini dijual pada harga RM10 hingga RM20 seekor bagi ikan laga biasa. Tapi ada juga yang mencecah RM300 hingga RM500 seekor bergantung kepada warna dan keunikannya,” katanya.
Nazarudin yang juga Presiden Peminat Ikan Laga Hiasan Malaysia berkata, minatnya terhadap ikan hiasan berkenaan bermula sejak kecil.
“Selepas tamat pengajian pada 1998 saya merantau ke seluruh negara mengikuti pertandingan ikan laga dan saya mula sedar bahawa ia boleh dikomersialkan.
“Saya mula buka kolam ternakan di Kangkar Pulai sejak tahun lalu dan antara ikan laga yang diternak di sini termasuk dari jenis Halfmoon Single Tail, Halmoon Double Tail, Crown Tail, Plakat dan Dumbo,” katanya.
Tambahnya, ikan hiasan berkenaan tidak memerlukan penjagaan rumit, malah jangka hayatnya boleh mencecah sehingga lebih setahun.
Jelas Nazarudin, dia menghantar ikan laga ke luar negara menerusi perkhidmatan pos yang mengambil masa hanya dua hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: