
Menara Condong Teluk Intan.
TELUK INTAN - Biarpun cuti hujung minggu dan cuti Tahun Baru Cina selama empat hari telah berakhir, namun ramai yang masih meluangkan masa berkumpul bersama keluarga serta kenalan melawat beberapa kawasan tumpuan.
Di Hilir Perak misalnya, tinjauan Bernama mendapati Menara Condong Teluk Intan di sini yang dihiasi lampu merah dan tanglung terus menjadi tarikan pengunjung pelbagai kaum yang masih dalam suasana bercuti.
Seorang pengunjung tempatan, Wong Han Tze, 35, berkata beliau sering membawa anak serta keluarganya ke perkarangan Menara Condong terutama pada sebelah malam untuk bersantai.
"Saya punya prinsip kalau mahu cari duit, carilah waktu lain. Bila cuti Tahun Baru Cina sudah datang, cutilah puas-puas bersama keluarga.
"Saya percaya ramai orang suka relaks di sini sebab senang dan anak-anak boleh bermain di sini sebab persekitaran sini selesa," katanya yang merupakan pengusaha restoran mewah di bandar Teluk Intan.
Bagi Zainal Badri Pandak Ahmad, 62, pesara kerajaan dari Kajang, Selangor pula menyifatkan perkarangan menara itu sangat sesuai untuk bersantai bersama keluarga.
"Saya kagum dengan majlis perbandaran di sini kerana menjaga warisan dengan baik termasuklah diletakkan lampu berwarna-warni sebagai tarikan dan sangat menarik untuk mengambil gambar," katanya.
Menara itu dibina pada 1885 dan mendapat jolokan Menara Condong kedua di dunia selepas Menara Pisa di Itali kerana reka bentuknya yang hampir sama.
Selain menara condong, kawasan Batu Bertenggek juga merupakan tarikan pelancong untuk ke Teluk Intan.
Terletak di empat persimpangan jalan menuju ke bandar Teluk Intan, Batu Bertenggek adalah tugu peringatan bagi perajurit yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: