
Menikmati roti canai warna antara tarikan utama yang ada di gerai Abdullah di Permatang Keriang ini.
MELIHAT kepada kuih lapis yang pelbagai warna, memberi ilham kepada peniaga roti canai di Permatang Keriang, Penaga, Kepala Batas untuk hasilkan makanan tempatan itu dengan idea yang sama.
Abdullah Ismail, 44, berkata, dia ingin mencuba sesuatu yang lain bagi menarik pengunjung ke gerainya.
“Dari situ saya mula terfikir, kalau kuih lapis boleh banyak warna, kenapa tidak roti canai,” katanya.
Pada mulanya, usahanya menghasilkan roti canai pelbagai warna tidak mendatangkan hasil memuaskan.
“Mula-mula saya masukkan jus dalam adunan roti canai, tepung jadi hancur.
“Tapi saya tak putus asa, saya guna pula pewarna. Akhirnya ia jadi seperti yang saya impikan,” katanya.
Menceritakan mengenai keistimewaan roti canai warna ini, Abdullah berkata, roti canai yang dihasilkannya mempunyai warna dan rasa yang berbeza.
“Saya hasilkan roti canai dalam lima warna iaitu merah jambu, kuning, hijau, biru dan coklat.
“Setiap warna pula ada rasa berbeza iaitu vanila, pisang, oren dan coklat,” katanya.
Abdullah berkata, dia menjual roti canai berwarnanya itu dengan harga RM1 sekeping.
“Memang ada pelanggan yang terkejut bila saya beritahu roti canai berwarna berharga RM1. Manakan tidak, ia berperisa dan murah.
“Sini kawasan kampung dan pelanggan pun orang kampung. Jadi saya tak boleh jual dengan harga tinggi,” katanya.
Tambahnya, selain roti canai berwarna yang biasa, pelanggan juga boleh menikmati roti telur dan roti sardin yang terdiri daripada warna yang ada.
“Saya sedaya upaya hasilkan apa yang pelanggan mahukan agar mereka tak bosan makan di sini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: