JANJI yang dipertaruhkan LOL Entertainment dalam memastikan Konsert 5 Divo yang menggabungkan tiga negara serantau iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura berbaloi untuk ditonton nyata ditepati apabila ia berjalan dengan meriah malam Sabtu lalu.
Biarpun ruangan Stadium Malawati, Shah Alam kurang dipenuhi penonton, namun itu tidak mematahkan semangat Hafiz Suip, Hazama, Judika, Afgan dan Taufiq Batisah tampil menyerlah dalam menjayakan konsert tersebut.
Malah ke lima penyanyi ini masing-masing bekerja keras dalam memberikan persembahan yang mantap khas buat penonton yang hadir pada malam itu.
Pengarah Urusannya, Gadaffi Ismail Sabri atau Dafi berkata penjualan tiket yang kurang mendapat sambutan mungkin berpunca daripada masalah ekonomi yang tidak menentu.
"Mungkin dalam situasi negara yang mengalami ekonomi yang tidak menentu menyebabkan peminat mengalami masalah kewangan sedikit.
"Tapi setakat ini, bagi saya sendiri sambutan daripada lebih empat ribu penonton yang hadir sudah cukup bagus dan menjadi satu pencapaian yang besar buat kami tambahan pula dengan aksi mantap daripada lima penyanyi ini," katanya ketika sidang media selepas konsert berakhir.
Tepat jam 9.10 malam, konsert mula membuka tirai dengan persembahan dari okestra di bawah bimbingan pemuzik hebat, Datuk Ramli MS.
Alunan melodi lagu-lagu hit lima penyanyi yang terlibat itu membuatkan penonton semakin tidak sabar menantikan kemunculan artis-artis kesayangan mereka.
Stadium bertukar meriah dengan jeritan penonton apabila juara Singapore Idol, Taufiq muncul di pentas dengan lagu yang menjadi fenomena, #AwakKatMana? dan seterusnya Hafiz mengambil alih pentas dengan menyanyikan Noktah Cinta.
Seperti biasa, kelibat Afgan di pentas tidak pernah gagal membangkitkan lagi keterujaan peminat wanita khususnya dan apa yang menarik jejaka berlesung pipit itu mendendangkan lagu Ku Mohon sambil disaksikan sendiri penyanyi aslinya, Datuk Sheila Majid yang turut hadir.
Tampil lebih bersahaja, Hazama cuba tonjolkan kelainan dengan lagunya Penglipur Lara sebelum Judika mengagumkan peminatnya dengan lagu Bukan Rayuan Gombal.
Tanpa membuang masa, sekali lagi Hafiz tampil di pentas di mana Ku Akui, Bahagiamu Deritaku serta Awan Nano adalah seleksi lagu yang benar-benar menyentuh perasaan penonton ditambah pula dengan vokal yang tidak mengecewakan.
Sementara itu, Taufiq turut membuktikan kebolehannya dalam menyampaikan lagu yang menusuk kalbu seperti Usah Lepaskan dan Menakluk Cinta sebelum berduet bersama Afgan menerusi lagu raja pop dunia, Michael Jackson berjudul Love Never Felt So Good.
“Sebenarnya saya ada masalah. Masalahnya saya suka cipta lagu yang sedih-sedih,” katanya sambil tertawa kecil.
Penonton bertukar histeria apabila Agfan kembali semula ke pentas menyanyikan single terbaharunya, You Knock Me Out dan tidak sah jika lagu wajibnya, Jodoh Pasti Bertemu tidak dipersembahkan.
“Siapa yang masih ‘single’ di sini? Sudah tentu lagu ini saya tujukan buat mereka yang masih belum memiliki pasangan,” kata Afgan yang sering diberi perhatian peminatnya pada malam itu.
Lagu Malaikat dan Ku Relakan Jiwa dendangan Hazama juga tidak kurang hebat dalam menghiburkan peminat yang masih bersemangat untuk menyaksikan persembahan konsert.
Adrenalin penonton terus meningkat apabila gandingan Hazama bersama Judika beradu vokal mantap menyampaikan medley Sampai Mati dan Setengah Mati Merindu menjadi.
Kepuasan penonton diteruskan dengan persembahan vokal yang tiada tandingan dari Judika yang memilih untuk mendendangkan Bukan Dia Tapi Aku dan Aku Yang Tersakiti.
Pada acara kemuncak, satu momen indah telah dilakar oleh ke lima penyanyi apabila mereka digandingkan bersama dalam menghayati medley Dealova dan Lelaki Ini.
Menyaksikan sendiri persembahan lebih kurang dua jam di sepanjang konsert ini, penulis yakin penonton yang menyaksikannya telah pulang dengan kepuasan dan rasa berbaloi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: