PENYANYI lagu Semalakama, Zehra Zambri merupakan antara 14 peserta yang bakal menyahut cabaran menerusi program realiti, Ikon Siarawan musim ketiga.
Tidak setakat itu, hampir semua peserta Ikon Siarawan 3 mempunyai latar belakang pekerjaan yang pelbagai seperti jurutera, pramugari, pegawai perhubungan awam, penyampai radio dan eksekutif.
Menurut penerbitnya, Oja Kismilardy, program ini meletakkan objektif untuk membentuk kerjaya generasi muda sebagai ikon yang berketrampilan, berpengetahuan luas dan serba boleh.
"Semua peserta ini cukup bertuah kerana selain didedahkan dengan dunia penyiaran, latihan profesional turut disediakan.
"Latihan tersebut merangkumi etika kewartawanan, teknik berhadapan dengan kamera, penyampaian berita, pengacaraan serta latihan melaporkan berita dari lokasi secara langsung.
"Peserta turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti luar seperti sesi fotografi, lawatan media dan menghadiri acara anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM)," katanya.
Katanya, semua peserta itu ditempatkan di Wisma TV, Wisma Berita, Wisma Radio dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) sepanjang tiga bulan menjalani program latihan.
"Bagi mendapatkan gambaran sebenar cabaran dunia kewartawanan, peserta juga berpeluang menemu bual beberapa tokoh terkenal tanah air.
"Mereka juga akan diberi tugas mengendalikan beberapa slot dan program kendalian RTM.
"Laporan terbaik dan mempunyai nilai berita akan disiarkan dalam siaran berita sebagai pendedahan sebenar," katanya.
Menariknya, kata Oja, setiap peserta akan dinilai berdasarkan sistem penjurian profesional sepenuhnya.
"Dua juri tetap yang dilantik ialah Datin Yusanani Yushak dan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.
"Penjurian dibuat berdasarkan persembahan, laporan, kebolehan dan keterampilan dalam setiap tugasan peserta.
"Selain kritikan daripada juri, mereka juga berhadapan dengan penyingkiran," katanya.
Ikon Siarawan 3 diacarakan oleh pelakon, Farish Aziz dan akan bersiaran sebanyak 13 episod secara rakaman di saluran TV2 bermula 21 Februari ini, jam 4 petang.
Pun begitu, rancangan ini akan memulakan siaran dengan episod pengenalannya di saluran dan masa yang sama, pada 20 Februari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: