
Elizabeth Tan
LEBIH kurang setahun menceburi dunia hiburan tempatan, kini nama Elizabeth Tan sering menjadi perhatian masyarakat. Dalam mencipta nama, penyanyi yang mesra di sapa Lizzy ini akui masa yang dimiliki banyak dihabiskan dengan kerjaya nyanyiannya itu.
Biarpun sibuk dengan beberapa perancangan, ia bagaimanapun tidak menghalang gadis berusia 23 tahun ini meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga tercinta sempena menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Baginya, kedatangan perayaan itu adalah kesempatan yang ada buat keluarga dan saudara maranya berkumpul sekali gus mengeratkan lagi tali persaudaraan mereka.
Lizzy bagaimanapun akui bertuah kerana semua ahli keluarga dan saudara maranya menetap di sekitar Lembah Klang yang membolehkannya menziarahi ke semua sanak saudara setiap tahun.
“Seperti kebiasaan, pagi Tahun Baharu Cina, saya, abang dan kakak akan menerima angpau daripada ibu bapa kami. Ketika itu juga kami tiga beradik akan memberi ucapan yang baik-baik untuk mereka. Selepas selesai berkumpul di rumah, kami sekeluarga akan ke rumah saudara mara.
“Keluarga kami sangat besar, bayangkan adik- beradik ayah saya 12 orang dan kami wajib pegi ke rumah mereka,” ujarnya dengan mesra.
Pada masa sama, Lizzy akui masa yang terhad menyebabkannya tidak sempat untuk membuat sebarang persiapan.
“Setiap tahun saya akan beli ceongsam tapi kali ini saya tidak sempat dan hanya akan pakai yang sedia ada. Lagi pun tahun ini saya hanya berkesempatan bercuti seminggu.
“Tapi apa yang menariknya, sepupu kami telah menempah T-shirt yang sama di mana rekaannya berbeza mewakili setiap keluarga yang ada,” katanya teruja.
Ditanya mengenai kenangan manis mengenai perayaan itu, Lizzy terbayangkan keseronokan zaman kanak-kanaknya.
“Masa kecil-kecil dulu, selain bermain mercun, angpau adalah perkara yang menggembirakan. Ketika zaman itu, angpau paling banyak yang pernah saya dapat lebih RM1,000.
“Tapi bila sudah sudah dewasa, itu bukanlah keutamaan, yang penting saya dapat berkumpul bersama keluarga,” katanya sambil tersenyum.
Malu tonton persembahan sendiri
Tidak ambil masa yang lama untuk dikenali, pelantun Knock Knock ini bagaimanapun enggan terlalu selesa dengan kedudukannya kini.
Malah menurutnya, di tahap inilah dia harus bekerja lebih kuat untuk kekalkan kerjaya nyanyiannya dalam industri tempatan.
“Saya sangat bersyukur dan rasa bertuah dengan penerimaan ini dan paling saya gembira apabila single pertama saya berjaya ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 30. Bila cepat naik, saya kena belajar banyak benda lain dengan cepat untuk kekal dalam industri.
“Saya akui ia bukanlah sesuatu yang mudah tapi saya harus belajar,” katanya nekad.
Mengimbas semula persembahannya di pentas akhir AJL 30, Lizzy akur dengan kritikan dan akui banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.
“Secara jujurnya, saya malu bila saya sendiri menonton semula persembahan itu. Kalau itu bukan saya, mungkin saya juga akan kritik. Tapi perkara sudah berlalu dan apa yang saya harus lakukan adalah perbaiki diri dan ambil kritikan itu sebagai perkara yang positif.
“Ketika itu saya memang gementar ditambah pula dengan sakit tekak. Mungkin itu bukan masa yang sesuai. Biasanya bila terlibat dengan persembahan yang besar saya akan sakit disebabkan saya terlalu tertekan,” jelasnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Lizzy bakal tampil dengan single baharu yang dijangka dilancarkan pada Mac depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: