Monday, February 1, 2016

Bergelar mutawif dalam usia belasan tahun




Bergelar mutawif dalam usia belasan tahun
Mutawif muda dua beradik, Siti Nur Izzah dan Amiruddin berhasrat membuka agensi pengendali haji dan umrah.
JOHOR BAHRU - Dua beradik bersyukur apabila bakal menjadi mutawif muda selepas berjaya menamatkan kursus dan menjadi antara 63 penerima Majlis Pensijilan Mutawif di Persada Johor, di sini, semalam.
Siti Nur Izzah Muhammad, 19, yang juga pelajar jurusan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah, Kolej Antarabangsa Murni, Putrajaya dan adiknya Amiruddin, 18, pelajar Akademi Ulumuddin Sheikh Daud al Fathoni Cheras, berhasrat menggunakan kelayakan sebagai mutawif apabila tamat pengajian.
Menurut Siti Nur Izzah, dia dan adiknya berpeluang menjalani latihan praktikal ke tanah suci untuk mengiringi kira-kira 40 jemaah mengerjakan ibadah umrah pada akhir tahun lalu dan menyifatkan ia sebagai satu pengalaman paling berharga.
“Saya memilih menjalani kursus sebagai mutawif bertauliah kerana ia mempunyai kaitan dengan pengajian yang saya ambil malah adik juga dalam aliran kefahaman Islam, ia memberi kelebihan buat kami malah keluarga juga memberi galakan sepenuhnya.
“Pengalaman mengiringi jemaah di tanah suci amat bermakna, saya juga bersyukur dengan sedikit pengetahuan dalam bidang ini dapat memudahkan mereka menunaikan ibadah," kata anak kedua daripada enam beradik ini.
Sementara itu, Amiruddin mengakui kelebihannya yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab, memudahkan tugasnya sebagai mutawif ketika di tanah suci.
“Sebelum ini, saya melanjutkan pengajian di Yaman, namun selepas sembilan bulan di sana keluarga mengambil keputusan supaya saya pulang ke tanah air atas dasar keselamatan disebabkan pergolakan di negara itu.
“Saya bersyukur kerana masih berpeluang melanjutkan pengajian di sini dengan mengambil kursus sebagai mutawif. Saya dan kakak juga menyimpan hasrat membuka agensi pengendali haji dan umrah pada masa akan datang,” katanya.
Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan Divisyen Tanggungjawab Korporat, Johor Corporation, Jamaludin Md Ali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: