Monday, February 1, 2016

Kalau sudah jodoh...




Kalau sudah jodoh...
Agama Islam yang suci menyatukan cinta antara Mohamad Hakimi Arikrisnan dan Siti Halimah hingga ke jinjang pelamin.
KUALA BERANG - Kalau sudah jodoh! Kata-kata itu tepat menggambarkan penyatuan antara dua keturunan sepasang pengantin yang selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah diadakan, di sini, tengah hari kelmarin.
Biarpun berbeza budaya, namun ia tidak dijadikan alasan bagi Mohamad Hakimi Arikrisnan Abdullah,27, yang merupakan mualaf berbangsa India untuk menjadikan gadis Orang Asli, Siti Halimah Razak, 21, sebagai permaisuri di hatinya.
Malah, majlis perkahwinan pasangan mempelai yang tampil mengenakan busana ungu ini di rai penuh meriah keluarga kedua-dua belah pihak walaupun ibu bapa Mohammad Hakimi Arikrisnan serta majoriti ahli keluarganya yang lain beragama Hindu.
Lima bulan pikat hati isteri
Menyingkap kisah cinta raja sehari ini, pengantin lelaki yang berasal daripada Kampung Fikri, Kemaman berkata dia mengambil masa kira-kira lima bulan untuk memikat hati teman hidupnya setelah cinta pandang pertama melihat kesopanan serta senyuman Siti Halimah.
Menurut Mohammad Hakimi Arikrisnan yang telah memeluk Islam sembilan tahun lalu, perkenalan mereka bermula di Sungai Petani sewaktu mengikuti kursus di Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (PUSBA) sekitar akhir tahun 2014 lalu.
“Pada peringkat awal saya hampir berputus asa kerana isteri tidak begitu sudi berkawan dengan saya kerana dia seorang yang pemalu. Namun, berkat kesungguhan setelah kira-kira lima bulan berusaha akhirnya salam persahabatan saya hulurkan diterima olehnya.
“Kami boleh terima antara satu sama lain walaupun berbeza bangsa serta budaya. Alhamdulillah, perkenalan hampir dua tahun akhirnya membawa kepada perkahwinan ini, agama Islam yang suci menyatukan cinta kami sehingga sah bergelar suami isteri hari ini(kelmarin).
“Apabila dimaklumkan hasrat saya untuk berkahwin kepada keluarga, ayah M. Nathan, 57, serta ibu S.Tevanany, 53, tidak menghalang sebaliknya mereka gembira kerana saya bakal tamatkan zaman bujang.
“Mereka juga tidak kisah dengan keturunan isteri saya apatah lagi kami sekeluarga sememangnya hidup harmoni dengan dikelilingi bangsa lain terutamanya Melayu. Sekitar November tahun lalu kami bertunang dan hari ini (kelmarin) sah sebagai suami isteri,” katanya.
Tambah Mohammad Hakimi Arikrisnan yang bekerja sebagai mekanik, dia berterima kasih kepada pihak Maidam kerana banyak memainkan peranan bagi melancarkan segala urusan serta turut menganjurkan majlis perkahwinan cukup meriah dan bermakna buatnya.
Keluarga terima dengan terbuka
Ibu saudara pengantin lelaki, Fatimah Fadzilah Abdullah, 54, berkata walaupun peringkat awalnya timbul kebimbangan berhubung sejauh mana penerimaan keluarga sebelah perempuan terhadap anak saudaranya itu namun Alhamdulillah semuanya dipermudahkan.
“Pihak Maidam begitu banyak membantu. Perkahwinan ini juga catat sejarah tersendiri bagi keluarga kami kerana Ari (penganti lelaki) merupakan orang pertama bertemu jodoh dengan keturunan Orang Asli, sebelum ini ada yang berkahwin dengan bangsa Melayu.
“Selain Ari yang merupakan anak kedua dari empat beradik, adiknya Asraf Iskandar, 21, juga telah memeluk Islam dan saya sendiri sudah lebih 20 tahun mengucap dua kalimah syahadah. Walaupun kedua ibu bapanya beragama Hindu, namun ikatan kekeluargaan kami begitu utuh,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Dakwah Saudara Kita, Maidam, Ustaz Abdul Halim Lim Abd Rahman berkata persiapan majlis tersebut telah dilakukan pihaknya bermula sebulan lalu bagi memastikan segalanya berjalan lancar seperti diharapkan.
“Pasangan pengantin ini juga melakar sejarah tersendiri bagi komuniti Orang Asli Sungai Berua ini kerana saya difahamkan, Siti Halimah adalah penduduk pertama di sini yang berkahwin dengan bangsa lain ataupun perkahwinan campur ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: