Wednesday, February 17, 2016

Berbelanja besar demi kucing



Berbelanja besar demi kucing
Khairunisa memegang kucingnya bernama Amy sambil melihat Saiful menyikat bulu Chloe untuk merapikan bulu kucing itu pada Karnival Kucing.
KUALA TERENGGANU – “Ketika keluar ke tempat kerja, saya akan kurung ia di dalam bilik dan menyediakan makanan yang mencukupi sehingga saya pulang daripada kerja,” cerita peminat kucing tegar, Khairunisa Zainal Abidin, 29, yang mempunyai 12 ekor kucing.
Khairunisa dan suami, Saiful Amar Aziz, 30, tidak kisah keluarkan belanja begitu besar sehingga mencecah RM1,000 sebulan untuk kucing kesayangan mereka termasuk dua ekor kucing jalanan.
Khairunisa berkata, mereka mula serius membela kucing jenis longhair dan shorthair sejak tahun lepas yang dibeli dengan harga lebih kurang RM300 setiap seekor.
“Bila kami pergi kerja, kucing ini akan ditinggalkan di dalam bilik khas yang kami reka sendiri dan menyediakan makanan secukupnya sehingga kami pulang pada sebelah petang.
“Selalunya hujung minggu adalah masa yang sangat berharga bagi kami untuk bersama-sama kucing ini selain pada sebelah malam. Kami juga suka bawa kucing-kucing ini bersiar-siar supaya mereka tidak tertekan berada di dalam rumah semata-mata,” ceritanya yang ditemui di Karnival Kucing anjuran Kelab Kucing Malaysia, di sini.
Bagi Saiful pula, penjagaan kucing sangat perlu dititikberatkan supaya haiwan berkenaan tidak mudah dijangkiti pelbagai penyakit.
“Kita kena jaga mereka supaya sentiasa sihat, sebab itu perlu berikan ia ubat dan makanan sihat setiap bulan bagi mengelak masalah kucing cepat mati,” katanya.
Saiful berkata, selain memberi makanan khas kucing dan ubat-ubatan, kucing mereka turut dimandikan sekali seminggu terutama pada hujung minggu.
“Kalau hujung minggu kami berdua banyak masa kerana masing-masing tidak bekerja dan dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada 12 ekor kucing yang dibela ini,” jelasnya lagi yang bekerja di salah sebuah bank di bandaraya Kuala Lumpur.
Kata pasangan baharu tiga tahun mendirikan rumah tangga itu, mereka turut membawa kucing peliharaannya secara bergilir-gilir sekiranya pergi bercuti termasuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Sekiranya kami merancang untuk bercuti, kami akan pilih kucing mana yang akan dibawa manakala pada percutian seterusnya, kami akan bawa kucing yang lain pula, “cerita Saiful.
Bagaimanapun, kesemua kucing milik pasangan berkenaan hanya sebagai haiwan peliharaan dan tidak bercadang untuk menjualnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: