Wednesday, February 17, 2016

Pasor Percuma idea enam anak muda




Pasor Percuma idea enam anak muda

JERANTUT - Cuti semester merupakan satu ruang untuk mahasiswa berehat bersama keluarga, namun bagi sekumpulan rakan baik di daerah ini, cuti semester adalah ruang untuk mereka menabur bakti kepada kampung halaman.
Pada Jumaat dan Sabtu lalu, sekumpulan enam rakan ini telah mewujudkan Pasor Percuma bagi mengagihkan barangan secara percuma kepada penduduk setempat.
Koordinator program, Mohamad Hafiz Hafifi Hassan, 22, mereka menggelar diri mereka sebagai kumpulan kolektif anak muda Team Anak Muda Progresif (Tampor).
Menurut Hafiz, Pasor Percuma diwujudkan hasil inspirasi projek ‘Free Market' yang pernah dianjurkan di Putrajaya sebelum ini.
“Penganjuran di Putrajaya sebelum ini dilihat mendapat sambutan menggalakkan, justeru kami dari Tampor rasa nak bawa pula ke Jerantut.
“Alhamdulillah, sepanjang dua hari di dua lokasi berbeza itu di Car Boot Sale Taman I-City pada hari pertama dan Car Boot Sale hadapan Bank Rakyat pada hari kedua, kami dapat sambutan menggalakkan,” katanya.
Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang ini berkata, mereka sememangnya berpengalaman menjalankan projek sedemikian kerana projek berkonsepkan pasar percuma dijalankan hampir setiap minggu di sana.
“Dekat sana (Pulau Pinang) saya dan kawan-kawan jalankan projek ni setiap minggu, dan kemudiannya saya bawa idea ini ke Jerantut,” katanya.
Hafiz berkata, objektif utama mereka menjalankan projek itu untuk mendidik masyarakat mempunyai sifat ingin sentiasa berkongsi dan peduli dengan nasib orang lain.
“Walaupun kami tak dapat memenuhi keperluan semua golongan kurang berkemampuan, tapi sekurang-kurangnya kami cuba bagi harapan pada mereka,” katanya.
Menurutnya, semua barangan percuma itu diperoleh hasil sumbangan orang ramai yang dikumpul tiga minggu sebelum program.
“Kami iklankan kepada orang ramai untuk menyumbang barangan mereka dalam projek kami ini. Antaranya pakaian harian, pakaian sekolah dan kelengkapan rumah,” katanya.
Setakat ini katanya, Tampor memiliki kira-kira 30 ahli dan mereka telah menjalankan tiga projek utama di daerah ini iaitu tuisyen rakyat, perpustakaan rakyat dan pasar percuma.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: