
Perusahaan kuih apit-apit dijalankan secara kecil-kecilan di rumah sebagai pendapatan sampingan membolehkan Siti Rohani membantu suaminya.
HULU TERENGGANU - Pengalaman membantu ibunya membuat kuih apit-apit ketika usia remaja menjadi ilmu berguna buat seorang suri rumah tiga anak, di sini, yang kini gigih usahakan kuih itu sebagai pendapatan sampingan bagi membantu suami.
Biarpun hanya diusahakan secara kecil-kecilan sejak setahun lalu, Siti Rohani Ismail, 31, mampu tersenyum dan memanjatkan rasa syukur kerana apit-apit resepi bonda dihasilkannya itu dapat memberikan jualan pendapatan kasar mencecah RM250 seminggu.
Berkongsi cerita, isteri kepada Zukameri Ali, 43, berkata dia nekad usahakan apit-apit atau juga dikenali sebagai ‘klepek’ untuk meringankan beban suaminya yang cuma mencari rezeki sebagai seorang tukang rumah dengan pendapatan bulanan tidak menentu.
“Sejak kecil saya sudah kenali kuih ini kerana ibu, Norma Ibrahim, 50, merupakan pengusaha apit-apit. Saban hari, melihatnya hasilkan kudapan ini hinggalah lama-kelamaan saya mula mengetahui sedikit demi sedikit cara pembuatannya berdasarkan pemerhatian.
“Apabila meningkat remaja, saya sering membantu ibu sehinggalah akhirnya berkebolehan hasilkan sendiri apit-apit ini. Memandangkan kewangan suami agak terhad tambahan pula anak-anak makin membesar menyebabkan saya terfikir untuk bantu cari pendapatan sampingan.
“Tidak mahu mensia-siakan ilmu yang ada, saya nekad untuk usahakan apit-apit secara kecil-kecilan di rumah dan sehingga kini saya hanya 10 acuan sahaja. Ketika itu juga, perasaan bercampur baur risau jika tiada sambutan tetapi ‘belum cuba belum tahu’.
“Malah, saya juga tidak tahu ke mana lokasi sesuai perlu dituju untuk menjual kuih yang dibuat apatah lagi sebelum ini kami tinggal di Tumpat, Kelantan dan berpindah ke kampung suami Kampung Durian Kasim, di sini awal tahun lepas,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Tambah Siti Rohani, hasil perbincangan dengan suami akhirnya lokasi sekitar Bukit Besi, Kuala Berang serta Ajil menjadi pilihan bagi mencuba nasib dan rezeki ternyata memihak kepada mereka apabila peniaga kawasan itu berminat untuk membeli untuk dijual kembali.
Katanya lagi, tugasan menghantar apit-apit ke kedai diserahkan pada suami dan dia benar-benar bersyukur kerana resipi bondanya itu dapat dijadikan sebagai punca rezeki untuknya kini biarpun sebelum ini tidak pernah terlintas di hati untuk bergelar pengusaha apit-apit.
“Saya juga tidak punyai waktu khusus untuk hasilkan kuih ini sebaliknya bergantung kepada kelapangan masa terutamanya selepas selesai uruskan anak-anak. Ada ketikanya terpaksa bersenggang mata hingga lewat malam, sekarang ini pula saya ada anak kecil.
“Biasanya bagi setiap satu kilogram gandum mengambil masa tiga jam untuk siap masak semuanya tetapi itu pun jika betul-betul fokus dan tidak berselang-seli dengan kerja-kerja lain. Untuk memasak sekeping apit-apit hanya ambil masa lebih kurang lima minit.
“Bagaimanapun, sebaik sahaja kepingan dikeluarkan daripada acuan khas proses menggulung perlu dilakukan dengan kadar segera sebelum ia mengeras. Ketika inilah kita tidak boleh diganggu dengan urusan lain. Jika ingin hasilkan apit-apit lipat, kita cuma melipatnya sahaja.
“Antara bahan diperlukan seperti santan, telur, gula, garam serta sedikit pewarna. Proses hasilkan apit-apit ini tidaklah sesukar mana tetapi tetap perlukan kesabaran selain perlu dipastikan api digunakan tidak terlalu besar,” ujarnya.
Menyentuh mengenai harga kuih yang juga dikenali sebagai kuih sepit itu, Siti Rohani berkata harga ditetapkan ialah RM2.50 sebungkus mengandungi 35 batang bagi kuih bersaiz kecil serta 30 batang (bersaiz besar) dan sebaik sahaja dibuka bungkusannya ia perlu disimpan dalam bekas kedap udara.
Bercakap mengenai perancangan masa depan, pastinya dia juga menyimpan hasrat agar perusahaan dilakukannya itu semakin berkembang demi masa depan keluarga serta anak-anaknya, Adeq Hasrulniza, 8, Adeq Hasrul Firdaus, 7 serta Ahmad Adeq KhuzairilAdha, empat bulan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: