Kesan kecederaan yang dialami oleh salah seorang daripada mangsa dipercayai ditetak menggunakan pedang samurai oleh penjenayah terbabit
KUALA TERENGGANU- Tindakan nekad dua sahabat melawan dua penjenayah yang merompak mereka menerima padah apabila cedera ditetak oleh suspek bersenjatakan pedang samurai itu, dalam satu kejadian di Taman Awam Batu Buruk, di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, mangsa, Muhammad Afiq Ammir, 20, dan Wan Amiru Amin, 18, mengalami kecederaan di bahagian belakang badan akibat ditetak dengan pedang samurai oleh salah seorang penjenayah terbabit.
Menceritakan kembali detik-detik cemas itu, Muhamad Afiq berkata, dia bersama rakan baiknya (Wan Amiru) ketika itu sedang berehat di dalam kereta bagi melepaskan penat selepas menghantar barang di lokasi berhampiran.
Dia yang bekerja sebagai peniaga itu berkata, semasa itu, dia sedang leka bermain ‘game’ menerusi telefon bimbitnya, sementara rakannya sedang lena tidur telah terdengar bunyi tapak kaki menghampiri kereta mereka yang diparkir di bahu jalan.
“Tidak sampai beberapa saat, saya terkejut apabila diacukan sebilah pedang samurai di leher dari arah belakang oleh seorang lelaki bertubuh sasa sambil mengarahkan kami berdua menyerahkan semua barang berharga yang ada.
“Meskipun ketika itu agak panik, saya tidak tahu dari mana datangnya keberanian luar biasa apabila masih lagi berdegil tidak mahu menyerahkan apa yang diminta dan cuba melawannya walaupun semasa itu pedang masih di leher saya.
“Dalam situasi yang agak kelam kabut itu, saya memberanikan diri untuk keluar dari kereta dengan hasrat mendapatkan bantuan daripada beberapa orang awam yang ada berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Jelasnya, semasa itulah, dia dan Wan Amiru ditetak salah seorang daripada penjenayah terbabit manakala seorang lagi yang ketika itu hanya menunggu di luar kereta melarikan diri sejurus melihat keadaan mereka berlumuran darah.
“Walaupun sedang menahan kesakitan, saya nekad berlari lebih kurang 100 meter bagi mendapatkan bantuan daripada orang awam yang ada di sana dan semasa itulah, kereta milik Wan Amiru dilarikan oleh penjenayah tersebut.
“Saya bernasib baik apabila sekumpulan lelaki yang berada di situ sanggup membantu dengan mengejar penjenayah berkenaan menggunakan kereta mereka dan kami sempat mengekorinya yang menggunakan laluan di dalam kawasan bandaraya.
“Namun, setelah tiba di kawasan Seberang Takir, kami terpaksa mengalah apabila gagal mengesan kenderaan terbabit,” katanya yang turut memberitahu kereta Proton Satria milik Wan Amiru baru dibeli tidak sampai sebulan.
Muhamad Afiq berkata, penjenayah yang tidak bertopeng itu dipercayai warga tempatan apabila menggunakan loghat Kelantan semasa mengarahkan mereka menyerahkan semua barang berharga yang ada termasuk telefon bimbit dan beg duit.
Tambahnya, ekoran kejadian, dia dan rakannya terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 apabila kehilangan sebuah kereta serta beberapa barang berharga yang ada di dalam kereta.
Sementara itu, tragedi yang berlaku itu telah menjadi viral di dalam laman sosial bermula kelmarin lagi.
Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar mengesahkan kejadian dan menerima laporan berhubung insiden tersebut.
Katanya, kes berkenaan kini masih dalam siasatan dan kedua-dua suspek sedang diburu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: