
BAGI peminat karya bangsawan, pastinya teater Bangsawan Dewa Satria Lestari yang dipentaskan baru-baru ini berjaya menarik perhatian mereka.
Merupakan teater penutup bagi program Semarak Bangsawan JKKN 2015, teater berkenaan mendapat sentuhan pengarah berbakat, Adira Wahinnur.
Naskhah ini adalah kisah fantasi yang digarap dan diilhamkan sendiri pertama kali oleh pengarahnya itu.
Ia berkisarkan kisah seorang anak yang ingin menyelamatkan tampuk pemerintahan ayahandanya.
Berkongsi keistimewaan teater ini, meski pun ianya sebuah karya fantasi, namun ia masih tampak relevan dan logik di mata penonton.
Unsur-unsur fantasi yang diselitkan sebenarnya sangat unik dan istimewa sementelah ia melibatkan barisan pelakon daripada kanak-kanak sehingga ke dewasa.
Penggunaan prop misalnya, berjaya membuatkan keseluruhan pementasan itu berkesan dengan genre fantasi yang diangkat.
Tidak hanya menekankan lakonan, pementasan teater ini dikuatkan dengan plot yang menarik apabila mengetengahkan elemen-elemen tertentu.
Pementasan yang penuh warna-warni ini sarat dengan elemen konflik, tragedi, drama dan humor serta penuh suka duka.
Malah penekanan dilakukan terhadap plot teater ini dengan menyelitkan mesej seperti hindari sifat tamak, niat jahat, memfitnah, percaya kepada khabar angin dan hasutan serta jangan biarkan dendam menguasai diri.
Berkongsi mengenai pelakonnya pula, nyata peranan utama, Dewa Yuri yang dilakonkan oleh Fad Anuar berjaya menyampaikan lakonannya dengan baik.
Karakter Dewa Yuri hidup dalam dirinya sehinggakan penonton terpaku dengan gaya persembahannya pada malam itu.
Selain itu, watak Puteri Rhea lakonan Widya juga telah menawan hati penonton kerana personalitinya yang cukup mempesonakan.
Selain Fad Anuar dan Widya, teater ini turut dijayakan Zazly Baginda, Siti Salwani, Haiqal dan penampilan khas Elji Kilauan Emas.
Secara keseluruhan, tenaga produksi yang menjayakan teater ini melibatkan sejumlah 110 pelakon serta krew.
Sedikit mengenai Dewa Satria Lestari, Raja Ethan seorang pemerintah yang adil dan saksama telah dikhianati salah seorang panglima kayangan iaitu Tartarus yang berniat ingin turun ke bumi dan ingkar terhadap arahan Raja Ethan.
Tartarus kemudiannya dihalau dan menggunakan sihir ke atas Raja Ethan untuk membalas dendam. Raja Ethan akhirnya menemui ajal dan isterinya pula disihir menjadi patung.
Selepas tamat dari pertapaan, anak Raja Ethan, Dewa Yuri diminta pendeta kayangan turut ke bumi untuk mencari penawar bagi bondanya. Bagaimana pun, Yuri terpaksa berhadapan pelbagai cabaran untuk mendapatkan penawar tersebut.
Bukan hiburan semata
Menurut Adira, dia tidak menyangka naskhah tersebut mendapat sambutan baik daripada peminat teater.
"Bukan mudah mempertaruhkan karya sebegini, lebih-lebih lagi ia percubaan pertama saya. "Bimbang tidak diterima, bagaimana pun, saya tidak mahu mengambil negatif dan sebaliknya hanya memikirkan yang positif sahaja," katanya.
Bercerita lanjut, jelasnya, dia sebenarnya teruja kerana berjaya mengetengahkan mesej besar menerusi pementasan tersebut.
"Jalan ceritanya direka untuk menyampaikan sesuatu kepada penonton.
"Di sebalik hiburan, saya mahu memastikan mereka rasa dan lihat sendiri apa yang tersirat dalam teater ini," katanya.
Tambahnya, keseronokan bermain menerusi karya fantasi juga antara sebab dia memilih genre berkenaan. "Ini kerana karya sebegini tidak terikat dengan mana-mana naskhah yang pernah dihasilkan.
Seseorang pengarah itu bebas bereksperimen dengan karyanya dengan cara tersendiri.
"Kerana itu saya cuba memberanikan diri mengetengahkan karya ini bagi mencari sebuah kelainan," katanya.
Pelakon jayakan karakter
Mengulas mengenai pelakonnya pula, kata Adira, dia sangat berpuas hati dengan setiap pelakon.
"Pementasan berkenaan dijayakan dengan baik, tiada sebarang cacat celanya.
"Apa yang saya lihat, mereka telah memberikan yang terbaik sepanjang pementasan. "Daripada aspek lakonan, dialog, semuanya jelas dan berkesan," katanya.
Adira turut memuji pelakon sampingan yang melengkapkan pementasan tersebut. "Tidak hanya karakter utama, tetapi pelakon tambahan juga wajar diberikan pujian.
"Tanpa mereka, pementasan ini pasti tidak berjaya, walau pun ada di antara mereka masih belajar dan baharu, tetapi saya bersyukur kerana komitmen mereka tidak
mengecewakan," katanya.
mengecewakan," katanya.
Dalam pada itu, Adira mengakui, cabaran mementaskan teater itu agak banyak.
"Pada awalnya, saya sukar mencari pelakon yang mampu memberikan komitmen bagi teater ini. "Kemudian waktu persembahan pula bertembung dengan program besar industri seni seperti Gegar Vaganza.
Bagaimana pun, saya lega kerana semuanya sudah selesai kini," katanya. Ditanya adakah dia berpuas hati secara keseluruhannya, ujarnya, walau pun tidak sempurna seratus peratus, namun dia sudah cukup gembira kerana pementasan tersebut berjalan lancar.
"Tiada masalah teknikal yang teruk sudah cukup baik bagi saya. Apa pun perasaan kurang puas itu masih ada kerana jika sudah berpuas hati, kita tidak mungkin memberikan sesuatu lebih baik untuk karya seterusnya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: