Tuesday, May 6, 2014

Noniswara tolak bermadu

WANITA jelita ini sudah bersedia andai bertemu jodoh buat kali ketiga.


TAHUN lalu, pelakon Noniswara, 45, banyak berendam air mata, apabila perkahwinan keduanya bersama ahli korporat Datuk Rosman Ridzwan berakhir dengan perceraian.
Menjanda buat kali kedua, ibu kepada tiga orang anak berusia antara 20 dan 7 tahun itu kini sedang melalui episod bahagia.
Menurut sebuah akhbar mingguan kelmarin, hati pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu sedang berbunga cinta dengan seorang ahli perniagaan yang berstatus duda.
Keakraban mereka jelas kelihatan apabila lelaki bernama Imran Mohd. Nor itu sentiasa berada di sisi Noniswara dalam setiap gambar yang dimuat naik pelakon itu di akaun Instagram miliknya.
Tidak menolak andai dipertemukan jodoh buat kali ketiga, Noniswara bagaimanapun menolak lamaran yang diberikan oleh lelaki yang berstatus suami orang.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Noniswara baru-baru ini.
Kosmo!: Adakah benar Noniswara sedang dilamun cinta bersama lelaki bernama Imran Mohd. Nor?
NONISWARA: Sejujurnya, saya berkawan dengan ramai orang termasuk lelaki. Soal lelaki yang dimaksudkan itu, saya mengaku berkawan rapat dengannya tetapi kami tidak sampai tahap bercinta.
Bilakah anda berkenalan dengannya?
Waktu itu, saya dimasukkan ke hospital akibat sakit dalam perut sekitar bulan Februari. Dia datang melawat bersama rakan-rakan yang lain pada bulan Mac. Selepas itu kami mula rapat tetapi hanya sebagai kawan sahaja.
Sejak bergelar janda, adakah anda menerima lamaran daripada mana-mana lelaki?
Ramai juga yang memberi lamaran, ada yang telah siapkan rumah, kereta dan sebagainya untuk saya hidup senang. Mereka terdiri daripada orang berpangkat, ahli politik dan ahli perniagaan tetapi saya tolak bulat-bulat kerana semuanya suami orang. Buat apa saya ganggu kehidupan orang lain. Kalau mahu hidup senang, boleh sahaja saya terima lamaran untuk jadi isteri kedua atau ketiga, tetapi anak saya berpesan dia tidak perlukan duit tetapi dia mahu lihat saya bahagia. Saya juga tidak kejar harta sebaliknya mencari lelaki yang benar-benar sayangkan saya serta anak-anak.
Sudah mempunyai pengalaman gagal dua kali dalam perkahwinan, adakah anda bersedia untuk bergelar isteri buat kali ketiga?
Saya tidak serik untuk berkahwin kerana saya inginkan kebahagiaan tetapi lebih berhati-hati. Bagaimanapun buat masa ini saya masih belum mempunyai calon suami. Masih dalam proses pemilihan siapa yang terbaik (ketawa). Jika ada jodoh mungkin tahun hadapan saya akan berkahwin. Sekarang fokus saya pulihkan kesihatan dan menjaga anak-anak sahaja.
Adakah anda akan terima lamaran daripada lelaki yang lebih muda?
Saya tidak kisah, jika lelaki muda tetapi matang apa salahnya. Kematangan itu bukan pada usia. Jika lelaki tua yang datang melamar dan serasi dengan saya pun apa salahnya. Jodoh itu kerja Allah, siapa saya untuk menolak jodoh yang diberikan. Sebagai hambanya, saya hanya mampu berdoa diberikan jodoh yang terbaik.
Apakah ciri-ciri suami idaman anda?
Saya mahukan seorang lelaki yang mampu membimbing saya ke arah kebaikan dan mempunyai asas agama yang kukuh. Bertanggungjawab dan penyayang. Apa yang paling penting lelaki itu boleh menerima anak-anak saya seperti anak sendiri.
Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya seni?
Saya menerima banyak tawaran lakonan tetapi sekarang ini saya masih lagi dalam tempoh berehat daripada sakit dalam perut tempoh hari. Sudah 50 hari saya berehat dan kesihatan saya semakin pulih. Mungkin selepas ini saya akan kembali aktif berlakon seperti biasa.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: