|
SUDAH mencecah usia lebih separuh abad, stesen televisyen RTM masih membuktikan ia masih relevan dan boleh diiktiraf sebagai stesen penyiaran yang utuh dalam menyiarkan peristiwa penting negara sejak awal penubuhannya pada tahun 1946.
Bersempena ulang tahun ke-68 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April lalu, Konsert Malam Irama Gemilang telah diadakan bagi mengenang jasa dan kenangan warga-warga RTM yang pernah menjadi tulang belakang stesen penyiaran tertua di Malaysia itu telah diadakan bertempat di Auditorium Perdana baru-baru ini.
Keserasian ikon penyampai radio RTM, Muaz Muhammad selaku pengacara majlis pada malam itu turut berkolaborasi bersama pelakon terkenal tanah air, Diana Danielle menggamatkan lagi suasana.
Konsert 68 tahun RTM telah membuka tirainya dengan persembahan yang penuh bertenaga daripada empat bintang kelahiran Bintang RTM iaitu Fitri, Aisya, Ernie dan Adlie menjadikan lagu Kita sebagai pembukaan konsert.
Adrenalin peminat dipacu lagi dengan persembahan daripada kumpulan Bunkface yang mempersembahkan lagu We’re Are Young nyanyian asal Fun dan lagu mereka, Rentak Lagu penuh semangat.
Sebagai tanda menghormati peristiwa kehilangan pesawat MH370, penonton didengarkan dengan sebuah lagu khas, Doa Dan Harapan MH370 ciptaan Pengarah Muzik Orkestra RTM Datuk Mokhzani Ismail.
Ternyata bait-bait lirik yang penuh bermakna menyentuh emosi penonton.
Mokhzani yang ditemui usai konsert tersebut memberitahu, beliau hanya mengambil masa sekitar 10 minit untuk menyiapkan melodi lagu tersebut, manakala daripada segi susunan lirik pula ia mengambil masa dua hari untuk disiapkan.
“Daripada segi penghasilan lagu, saya turut meminta pendapat dan kerjasama daripada Penerbit Orkestra RTM, Ali Shahir dan pihak kami bercadang untuk menjadikan persembahan pada konsert malam ini untuk dijadikan klip videonya.
“Apa yang penting di sini ialah mesej di dalam lagu Doa Dan Harapan dapat memberi impak kepada masyarakat dalam mengenang tragedi yang berlaku,” katanya mengenai lagu khas tersebut.
Pada malam tersebut, turut memeriahkan konsert ialah Alyah dengan lagu popularnya, Kisah Hati.
Kolaborasi penyanyi dua generasi iaitu Datuk David Arumugam dan Noh Salleh berduet menyanyikan lagu Jika Kau Bercinta Lagi antara persembahan yang menarik perhatian penonton.
Tambah gamat, persembahan hebat daripada kumpulan Paladin menghangatkan lagi suasana. Menggunakan alat muzik celo, muzik unik disajikan kepada penonton dan digandingkan lagi dengan Azlan Typewiter menerusi dua lagu iaitu Fantasia Bulan Madu dan Jeritan Batinku.
Bersempena temasya bola sepak sempena Piala Dunia 2014 yang akan diadakan pada bulan Jun nanti di Brazil, Farhan muncul menyanyikan lagu Rio To Malaysia. Kemudian, tampil Tomok dengan single terbaharunya, Biarkan Sejoli dan Noh sekali lagi tampil secara solo pula dengan lagunya, Angin Kencang.
Momentum konsert diteruskan lagi dengan penyanyi malar segar Zur Eda yang menyanyi dengan penuh tenaga menerusi lagu popularnya Kau Pelitaku yang diberi nafas baharu dengan gandingan bersama artis baharu, AST T dan BIG I.
Menambahkan lagi hiburan dan kerancakan konsert itu, kumpulan One Nation Emcees muncul mempersembahkan medley Kuda Kepang, Dikir Puteri dan lagu rakyat, Tinggi-Tinggi Gunung Kinabalu. Diikuti juga, Ning Baizura dengan medley lagu popularnya, Curiga dan Bukan Wanita Sempurna.
Alyah tampil buat kali kedua dengan single baharu, Sesal Separuh Nyawa dan kemudian gabungan duet penyanyi cilik Muhd. Fikry dan Anis Natasya dengan lagu Muara Hati dendangan asal Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz Suip.
Sebagai penutup tirai bagi persembahan konsert, penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir melengkapkan ‘pesta’ itu dengan lagu hitnya, Raikan Cinta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: