Friday, May 9, 2014

Enot serik tanggung suami

PELAKON komedi ini tidak kisah bekerja keras demi anak-anak.


PELAKON komedi, Enot mengakui serik untuk berumah tangga semula selepas dua perkahwinannya sebelum ini berakhir dengan perceraian.
Enot atau nama sebenarnya, Alliza Abdullah, 34, memperoleh dua cahaya mata, Andriana Balqis, 13, dan Ariana Qaseh Qistina, 7, menerusi perkahwinan pertamanya.
Namun, perkahwinan pertama itu berakhir dengan perceraian pada tahun 2006. Pelakon itu kemudian berkahwin buat kali kedua dengan Zainul Abidin Mat Noor, 42, pada 21 November 2008 dan bercerai talak satu pada Julai tahun lalu.
Katanya, dia sudah serik bekerja keras untuk ‘menanggung’ suami. Kini, dia selesa dengan status ibu tunggal dan fokusnya kini hanya untuk membesarkan dua orang anaknya.
Selain itu, Enot bertukar kerjaya kepada usahawan kek dan biskut selepas setahun lebih dia tidak menerima sebarang tawaran lakonan.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Enot yang ditemui pada majlis pelancaran Eh Eh Bazaar baru-baru ini di Restoran Serai, Kuala Lumpur.
Kosmo!: Bagaimanakah dengan kehidupan Enot selepas bergelar ibu tunggal?
ENOT: Alhamdulillah, saya meneruskan kehidupan seperti biasa. Fokus saya untuk membesarkan anak-anak sahaja. Saya bersyukur anak-anak faham dengan masalah saya dan sama-sama belajar hidup susah.
Adakah anda serik untuk berkahwin lagi selepas dua kali gagal dalam perkahwinan?
Memang saya serik. Kalau boleh saya tidak mahu berkahwin lagi. Saya selesa menjadi ibu tunggal selamanya daripada terpaksa bekerja siang malam untuk ‘menanggung’ suami. Kedua-dua perkahwinan saya mempunyai masalah yang sama. Sebab itu saya fobia dan serik.
Selepas bergelar ibu tunggal, adakah mana-mana lelaki cuba mendekati anda?
Buat masa ini tidak ada lagi sebab memang saya tidak mahu. Jika ada yang cuba mendekati, saya akan cepat-cepat menjauhkan diri. Luka di hati saya belum pulih, bagaimana saya mahu menerima kehadiran orang baharu.
ENOT sudah setahun lebih tidak mendapat sebarang tawaran lakonan.


Andai anda bertemu jodoh pada masa hadapan, apakah kriteria lelaki yang anda inginkan?
Saya akan lebih berhati-hati sebab jodoh itu ketentuan Allah. Perkara utama saya akan lihat adalah tahap ekonominya, mampu atau tidak untuk menanggung saya dan anak-anak. Kalau boleh jika berkahwin kelak, saya tidak mahu bekerja teruk untuk suami lagi. Bukan saya mahu yang kaya raya tetapi cukup untuk menampung keperluan asas, bertanggungjawab dan penyayang.
Apakah nasihat anda untuk wanita di luar sana?
Carilah calon suami yang benar-benar bertanggungjawab. Jika masa bercinta wanita sudah mula menanggung bermacam benda, lebih baik tinggalkan sahaja lelaki yang begitu. Kalau lelaki itu sanggup susah senang bersama dan rajin berusaha, itu lain cerita tetapi kalau awal-awal sudah nampak lelaki itu pemalas mencari rezeki, abaikan sahaja. Jangan biarkan diri anda sengsara kerana lelaki.
Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya seni?
Sejujurnya, saya sudah setahun lebih tidak menerima tawaran lakonan. Tidak tahu apa masalahnya, rasanya sejak saya mula berhijab. Namun, saya tidak salahkan sebab saya berhijab kerana rezeki Allah ada di mana-mana. Sekarang saya sibuk dengan perniagaan kek dan biskut sahaja.
Adakah anda tertekan bergelar ibu tunggal dan tidak diberi tawaran lakonan?
Saya anggap ini semua dugaan yang diberi Allah. Ada hikmah atas apa yang berlaku. Sejak tidak berlakon memang saya hanya bergantung hidup hasil perniagaan kek dan biskut sahaja. Alhamdulillah, ada sahaja rezeki walaupun tidak mewah seperti dahulu.
Anak-anak pun tahu bagaimana teruk saya mencari rezeki dan mereka tidak pernah merungut, sebaliknya membantu saya membuat kek.
Kehidupan itu seperti roda, ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Tidak apa belajar susah sekarang supaya anak-anak saya ingat kesusahan yang pernah mereka alami.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: