|
PERJUANGANNYA dalam irama hip-hop bukan satu usaha yang enteng. Mustahak atau tidak, 21 tahun bergelumang dalam genre yang berasal dari kejiranan Bronx, New York itu memberi banyak pengajaran untuknya mencorak karier dalam industri muzik tanah air.
Berbekalkan pendedahan tidak formal tersebut, semangat perjuangan Altimet dalam memberikan ruang untuk genre hip-hop berkembang menerusi industri hiburan tempatan tidak pernah luntur.
Pemilik nama Ahmad Abdul Rahman, 35, ini berkata, sepanjang dia berkecimpung dalam arena muzik tanah air, tiada sekelumit ruang yang mampu menonjolkan penyanyi hip-hop sebagai penulis atau komposer lagu.
Katanya, walaupun pernah menulis untuk lagu Kalau Berpacaran dan Kalau Aku Kaya, standard penulis lagu itu masih jauh jika mahu dipadankan dengan pengkarya muzik hip hop.
"Jika kita lihat, orang ramai lebih mengenali komposer-komposer yang mencipta lagu-lagu bergenre arus perdana. Sebagai contoh, peminat-peminat lebih arif tentang latar belakang seseorang komposer jika dia mencipta lagu untuk artis yang menyanyikan karya irama balada atau rock.
"Namun, kehadiran komposer atau penulis lirik yang berusaha mencipta lagu berkonsepkan hip- hop sukar untuk diberi perhatian.
"Justeru, menerusi album Kotarayaku, saya berharap agar peminat dapat meletakkan komposer dan penulis lirik yang menulis untuk muzik hip-hop sebaris dengan penulis-penulis lagu arus perdana yang lain," luah Altimet ketika ditemui selepas majlis pelancaran album keduanya itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Bukit Bintang (SMKLBB), Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Bebas bercerita
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kalau Aku Kaya ini, album Kotarayaku dilihat dapat mencorakkan dimensi baharu terhadap perjalanan seni irama hip-hop di Malaysia, khususnya untuk lagu-lagu yang dicipta dalam bahasa Melayu.
|
"Menerusi irama hip-hop, saya boleh bercerita tentang apa sahaja. Kisah-kisah yang terkandung dalam album ini semuanya berkisar tentang pengalaman harian saya.
"Selain memberikan gambaran bahawa hip-hop sebagai salah satu cabang seni suara, saya juga mahukan genre ini dilihat sebagai satu platform untuk seni bertulis," ujar Altimet yang menulis lirik untuk semua lagunya di dalam album ini.
Menulis tentang perkara harian yang dilaluinya, Altimet beranggapan, cerita yang ingin disampaikan perlu menerusi bahasa yang mudah agar peminat yang mendengar dapat memahami mesej yang ingin diluahkan.
"Sejujurnya, jika kisah politik sosial atau isu semasa mahu diangkat menjadi sebuah karya di dalam lagu, sudah pasti bahasa yang digunakan perlu mudah difahami.
"Justeru, saya lebih gemar menggunakan bahasa percakapan harian sebagai medium penyampaian kisah di sebalik lirik yang saya hasilkan," ujar Altimet yang mengakui walaupun petah menulis dalam bahasa Melayu, dia bukanlah pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran tersebut.
Kisah peribadi
Walaupun lirik-lirik hasil tulisan Altimet banyak berkisar tentang kehidupannya, namun pelantun lagu Syukur ini enggan mencampuradukkan kisah peribadinya dengan hal kerjaya.
"Saya rasa, jika hal peribadi tidak dicampuradukkan, saya berasa lebih produktif ketika sedang bekerja. Apa yang sedang dilakukan ketika itu dapat disiapkan tanpa sebarang gangguan.
"Sama juga ketika saya berada di rumah, hal-hal kerja saya tinggalkan di studio," ujarnya.
Utuh dengan alasannya itu, Altimet juga turut menyifatkan dirinya sebagai sebuah jenama yang tidak memerlukan sebarang perkongsian kisah peribadi untuk dijual sebagai pelaris.
"Ada sesetengah orang, mereka gemar menjual kisah peribadi untuk tatapan khalayak. Pada masa yang sama, kisah peribadi tersebut digunakan sebagai pelaris untuk produk yang mereka hasilkan.
|
"Bagi saya, itu semua tidak penting. Ketika berkarya sebagai seorang penulis, saya mahukan tulisan itu menjadi karya yang terbaik untuk album saya.
"Sesudah siap album itu sepenuhnya, barulah saya fikir cara yang sesuai untuk dipasarkan," ulas Altimet yang tidak menggunakan media sosial sebagai platform untuk meluahkan perasaan, apatah lagi berkongsi hal-hal peribadi.
Penangan media sosial
Melanjutkan bicara mengenai platform media sosial masa kini, Altimet memberitahu, perkembangan teknologi yang ada sekarang banyak membantutkan perasaan peminat terhadap sesuatu yang mereka minati.
"Pada waktu dulu, kami tidak mempunyai kemudahan sambungan internet mahupun telefon pintar. Apa yang berlaku disampaikan melalui akhbar sahaja. Sebagai peminat, apa sahaja berita yang dibaca mengenai idola kami memberi impak yang sangat besar.
"Namun, perasaan itu sudah tiada lagi sekarang. Apa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari seseorang artis itu mesti dihebahkan menerusi Instagram, Twitter atau Facebook," kata Altimet.
Dalam pada itu, bekas ahli kumpulan Teh Tarik Crew ini tidak kisah jika dia mendapat kecaman atau cemuhan oleh sesetengah pengguna laman sosial mengenai dirinya.
"Mereka hanya berani berbuat demikian di belakang artis tersebut. Saya pasti, jika berjumpa secara bersemuka, mereka tidak mampu untuk berbuat seperti apa yang mereka lakukan di laman sosial.
"Lagipun, sejak di bangku sekolah lagi, saya sudah mula mendapat kritikan kerana mendengar lagu-lagu berentak hip-hop. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa," ujar Altimet positif.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: