RASANYA masih belum terlambat lagi untuk mengucapkan tahniah kepada pelawak Zizan Razak yang berhasil menggondol empat anugerah semasa acara Anugerah MeleTOP yang berlangsung pada Sabtu lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Bukan sekadar meraih trofi kerana pelawak popular tersebut yang memenangi kategori Fesyen MeleTOP, Bintang Siber MeleTOP, WeChat MeleTOP dan Top Top MeleTOP turut membawa pulang hadiah wang keseluruhan berjumlah RM35,000.
Menyingkap tentang penganjuran acara anugerah, terdapat dua anugerah baharu yang mula diperkenalkan pada tahun 2014. Selain acara Anugerah MeleTOP, terdapat sebuah lagi acara iaitu Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2014 yang akan berlangsung pada 22 Februari ini.
Menariknya, penganjuran kedua-dua anugerah yang berdasarkan populariti ini menggunakan pendekatan terkini iaitu pemilihan pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan adalah menerusi undian secara dalam talian yang dilakukan oleh peminat.
Bagaimanapun, persoalan mula bermain di fikiran penulis apabila terdapat penganjuran dua lagi acara anugerah baharu memandangkan sudah banyak acara anugerah hiburan yang dianjurkan saban tahun.
Ketika berbual dengan beberapa orang rakan yang juga wartawan hiburan baru-baru ini, salah seorang rakan penulis ada membangkitkan tentang lambakan acara anugerah hiburan di Malaysia.
Menurutnya, dia berasa agak hairan apabila merasakan dalam industri hiburan di negara ini yang tidak sebesar di Hollywood, tetapi terlalu banyak pula penganjuran acara hiburan yang dikatakan memberi pengiktirafan kepada anak seni.
Selain itu, dia melihat acara anugerah yang ada juga tidak lebih sekadar menjadi platform buat para artis tampil dengan fesyen terkini serta memberi kelebihan kepada pereka fesyen untuk lebih dikenali ramai.
Mengikut perkiraan penulis terdapat 12 penganjuran acara anugerah hiburan di Malaysia yang sememangnya mendapat sambutan cukup meriah daripada penggiat seni dan orang ramai.
Antaranya seperti Anugerah Seri Angkasa, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Skrin, Anugerah Profima, Shout Awards, Festival Filem Malaysia, Anugerah Blockbuster, Anugerah Lawak Warna, Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Juara Lagu serta dua buah anugerah baharu iaitu Anugerah MeleTOP dan Anugerah DFKL 2014.
Kalau dikira secara purata ini bermakna setiap bulan akan ada satu acara anugerah dianjurkan dan sudah tentu ia merupakan satu senario yang agak luar biasa.
Tujuan penulis membangkitkan perkara ini bukanlah ingin membidas mana-mana pihak, terutama sekali pihak penganjur.
Cuma, adakah relevan apabila terdapat begitu banyak acara anugerah dengan industri hiburan tempatan yang tidaklah besar atau gah seperti di Hollywood?
Sekiranya ada lagi perancangan mahu menganjurkan acara anugerah hiburan yang baharu, penulis berasakan ia sesuatu yang tidak perlu buat masa ini kerana acara yang ada sekarang sudah lebih daripada mencukupi.
Biarpun alasan yang diberikan kerana mahu mengiktiraf artis yang banyak memberikan sumbangan kepada bidang seni, tetapi tidak mustahil kalau peminat akan muak dan bosan kerana kebanyakan acara anugerah tampil dengan konsep sama.
Dalam pada itu, peringatan juga wajar diberikan kepada artis yang selalu menang anugerah agar tidak terlalu mendabik dada. Jangan terlalu bangga dengan trofi yang tersusun rapi di rumah, tetapi sikap dan mutu kerja mula berubah.
Tidak dinafikan ada segelintir artis yang menang satu atau dua anugerah sudah mula meninggi diri dengan peminat. Ironinya, peminat yang bertungkus-lumus berusaha agar mereka ini berada di atas pentas untuk mengambil trofi yang dimenangi.
Lagipun kemenangan yang diraih dalam sesebuah acara anugerah juga tidak menjanjikan karier seseorang artis itu dapat berkembang kerana pernah ada artis yang mengeluh apabila sukar mendapatkan tawaran lakonan atau nyanyian selepas menang anugerah.
Paling utama, kualiti kerja itu perlu lebih diutamakan jangan terlampau cepat lupa diri. Anggap sahaja anugerah yang dimenangi itu sebagai satu bonus atas usaha yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: