Saturday, February 15, 2014

Bukti pemahaman keperluan penunggang

NINJA 1000 ABS berjaya menyatupadukan elemen sport dalam dunia pengembaraan bermotosikal.


TINDAKAN Kawasaki Heavy Industries Ltd. (KHI) di Jepun menampilkan model Ninja 1000 pada tahun 2011 membawa satu perspektif berbeza bagi penggemar motosikal serata dunia. Ia berjaya menyatupadukan tunggangan dua segmen motosikal iaitu prestasi sebuah jentera sport yang berkeupayaan kembara dengan selesa.
Dalam kata lain, Kawasaki Ninja 1000 diperkenalkan bagi mengisi vakum pasaran antara model unggul Kawasaki ZX-10R dan model jarak jauh iaitu Concours 14 ABS. Untuk makluman, Ninja 1000 juga dikenali sebagai Z1000 SX di beberapa pasaran lain seperti Eropah.
Sejak dari itu, pengeluar motosikal negara matahari terbit itu acap kali mengetengahkan pelbagai inovasi pada model baharu Ninja 1000 untuk memperhalusi kehendak pengguna selain memenuhi jangkaan khususnya berhubung aspek pengalaman tunggangan. Harus diakui, jentera yang tergolong dalam kategori kembara sport itu ialah model kembar kepada Z1000.
Biarpun begitu, Ninja 1000 sudah melepasi pelbagai fasa transformasi kosmetik untuk menjadikannya sebuah motosikal kembara. Begitu juga situasinya apabila KHI menampilkan Ninja 1000 ABS edisi 2014 sempena pameran motosikal EICMA di Milan, Itali, November lalu.
Selayang pandang, motosikal itu mungkin kelihatan tidak jauh berbeza dengan edisi 2013. Realiti sebenar hanya diketahui selepas menunggang kedua-dua model berkenaan. Pakej yang diadun pada Ninja 1000 ABS 2014 selari dengan objektif menjadikannya sebuah motosikal kegunaan harian.
REKA bentuk bahagian belakang ada sedikit persamaan dengan model Z1000 edisi 2014.


Pembaharuan paling signifikan ialah adunan pelbagai teknologi sokongan tunggangan. Ia mencerminkan pemahaman mendalam pasukan jurutera KHI berhubung trend dan keperluan para penunggang masa kini. Antaranya, ciri mod cengkaman KTRC (Kawasaki Traction Control), pilihan kuasa enjin dan sistem brek yang diperbaharui.
Berbekalkan konsep kembara sport, model itu menawarkan posisi tunggangan ergonomik. Hasilnya, penunggang boleh memilih postur tunggangan sport atau santai tanpa mengorbankan respons output daripada unit enjin empat silinder sebaris. Unit enjin itu sebenarnya sama seperti model Z1000 edisi 2014. Tiada sebarang talaan berbeza antara kedua-dua motosikal itu.
Sistem KTRC
Untuk memudahkan penunggang baharu, Ninja 1000 ABS dilengkapi tiga mod KTRC (Kawasaki Traction Control) yang boleh diubah mengikut selera dan situasi semasa jalan raya. Mod 1 dan 2 memberikan cengkaman berpatutan apabila memecut. Mod 3 pula sesuai untuk permukaan jalan licin. Kesemua mod itu boleh dipadamkan jika mahu.
Kotak gear motosikal itu ditala semula sebagai usaha membolehkan nisbah gear akhir mengimbangi keperluan tunggangan sport dan kembara jarak pendek. Kadar nisbah gear keenam didapati lebih panjang dan memberikan keselesaan apabila menunggang di kawasan lebuh raya.
Pengguna juga dibenarkan mengubah tetapan kuasa sama ada High Power (H) atau Low Power (L) dengan hanya menekan butang pada bahagian kiri hendal. Tetapan H membenarkan penunggang menikmati perahan kuasa maksimum manakala pilihan L akan mengehadkan kuasa enjin sehingga kadar 70 peratus.
Aspek keselesaan tunggangan Ninja 1000 ABS turut dipengaruhi oleh kejuruteraan casis motosikal. Tindakan menggunakan kerangka aluminium regangan tinggi dilakukan bagi menjayakan pengemudian lebih stabil dan tepat. Malah sambungan stereng antara hendal dan fork direka untuk mengurangkan kadar geseran ketika menunggang pada kelajuan rendah.
PENGHADANG angin Ninja 1000 ABS boleh diselaras tiga tahap mengikut keperluan para penunggang.


Sistem ABS
Tugas mengawal dan memberhentikan jentera disandarkan kepada set brek cakera dengan angkup monoblok Tokico. Respons menarik tuil brek dan kadar cengkaman omboh angkup sememangnya lembut tetapi kuasa membrek cukup memberangsangkan. Set brek cakera itu didatangkan bersama teknologi sistem brek antikunci (ABS).
Ninja 1000 ABS juga dilengkapi penghadang angin boleh dilaras tiga peringkat untuk gayaan sport sehingga perlindungan maksimum. Kerja menyelaras itu cukup sekadar mengunakan tangan sahaja.
Jentera itu didatangkan bersama tangki minyak berkapasiti 19 liter sekali gus mengurangkan kadar kekerapan untuk mengunjungi stesen minyak sewaktu menunggang.
Maklumat semasa tetapan dan tunggangan dipamerkan menerusi kombinasi paparan analog dan digital pada panel instrumen meter. Jenis skrin yang digunakan ialah LCD pelbagai fungsi.
Antara maklumat ditayangkan ialah tetapan KTRC, mod kuasa, indikator tunggangan ekonomik, kadar penggunaan bahan api, suhu sistem penyejukan, kelajuan tunggangan, baki status minyak, odometer, takometer, jam, dua trip perjalanan dan lampu amaran.
Penulis sempat menunggang uji model Ninja 1000 ABS 2014 sempena program Malaysian Press Introduction anjuran Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. di Langkawi, Kedah baru-baru ini.
Biarpun sesi tunggangan itu agak singkat namun penulis sempat merasai perbezaan antara model 2013 dan 2014. Harus diakui, Ninja 1000 ABS edisi 2014 jauh lebih selesa dan memuaskan jika dibandingkan dengan model sebelumnya.
Perincian lanjut mengenai sesi tunggang uji itu akan disiarkan dalam edisi Garaj! akan datang sejurus sahaja penulis mendapat lampu hijau untuk meminjam Ninja 1000 ABS bagi satu ujian yang lebih komprehensif.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: