Thursday, February 13, 2014

Artis vs Media vs Peminat



PADA masa kini, kewujudan laman-laman sosial yang semakin menjadi penting buat semua menyaksikan banyak orang menjadi 'pejuang papan kekunci'. Tanpa perlu mengenal wajah atau menggunakan identiti palsu dan tidak saling mengenal satu sama lain, banyak orang berasa tanpa bersalah melontar buah fikiran yang melanggar adab.
Semua orang bebas menulis atau semua orang boleh menjadi wartawan bebas tanpa perlu menjadi pekerja dalam mana-mana organisasi media. Harus diingat bukan peminat sahaja yang menjadi pengikut seseorang artis, ada juga sekadar ingin mengikuti perkembangan dan tidak minat langsung.
Jika kena gayanya apa yang ditulis mendapat komen yang positif. Namun, ada ketikanya komen atau kritikan yang diberikan agak kasar dan melampaui batas sehingga menimbulkan perbalahan antara artis dan peminat.
Ada juga artis yang cukup lantang menyuarakan rasa tidak puas hati tentang pelbagai perkara termasuk terhadap pihak media secara terbuka di laman sosial sehinggakan perkara yang kecil bertukar menjadi kontroversi apabila ia diperdebatkan oleh mereka yang memberi komen.
Kosmo! mengupas sejauh mana pengaruh kebebasan alam maya ini dalam kehidupan beberapa artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Datuk Rosyam Nor, Rita Rudaini dan Neelofa.
Kesemua mereka memiliki akaun laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Tujuan mewujudkan akaun di laman sosial demi mendekatkan diri dengan peminat adakalanya memakan diri apabila terdapat peminat yang terlebih berani dalam memberi komen.
Berfikir tentang impak - Datuk Siti Nurhaliza
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sememangnya cukup aktif di Instagram. Saban hari, ada sahaja gambar yang dimuat naik untuk tatapan peminatnya.
Bercakap tentang senario hari ini tentang keberanian artis dan peminat dalam meluahkan pendapat atau rasa tidak puas hati, Siti yang mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam industri hiburan dia mempunyai cara yang cukup mudah untuk menguruskan sesuatu isu di laman sosial.
"Jika saya lihat komen itu agak sensitif dan boleh menimbulkan fitnah atau kontroversi yang lebih besar saya akan block orang itu atau padamkan komen tersebut.
"Selalunya sebelum memuat naik sebarang gambar atau komen, saya akan berfikir panjang, apa impak yang akan berlaku selepas itu. Salah diri sendiri jika meletakkan sebarang gambar kemudian dikutuk oleh orang ramai. Jika tidak mahu dicemuh baik fikir dulu sebelum letak apa-apa di laman sosial," kata Siti.
NEELOFA memberitahu, laman sosial sedikit sebanyak membuka matanya untuk memperbaiki diri dan lebih berhati-hati dalam setiap tingkah lakunya.


Ditanya tentang kelantangan artis di laman sosial mengalahkan pihak media dan ada kalanya melancar perang dengan media gara-gara tidak puas hati terhadap artikel yang ditulis, Siti mengakui perkara itu banyak berlaku.
Bagaimanapun tegasnya, banyak lagi medium yang ada untuk menjernihkan keadaan antara kedua-dua pihak kerana masing-masing saling memerlukan.
"Pernah juga berlaku saya tidak puas hati dengan media seperti tersalah fakta atau fitnah. Selalunya pihak saya akan mengambil pendekatan yang terbaik untuk tidak mengeruhkan keadaan. Biasanya saya akan telefon atau jumpa terus dengan pihak media tersebut.
"Kalau mahu marah atau bergaduh pun habis di situ sahaja kerana pasti masing-masing mahu tegakkan hak mereka. Tidak perlu dipanjangkan rasa marah sampai harus letak di laman sosial kerana akan menghangatkan lagi sesuatu isu," ujar bintang yang terkenal dengan sikap penyabarnya ini.
Sambung Siti, tidak salah untuk memiliki akaun di laman sosial kerana itu sudah menjadi trend dan medium terbaik untuk promosi produk seni dan mempertontonkan aktiviti seharian.
Namun, segala yang dimuat naik harus dipantau supaya tidak disalah tafsir atau menimbulkan masalah pada kemudian hari.
Bahasa menggambarkan diri sendiri - Ziana Zain
Penyanyi Ziana Zain yang terkenal dari awal 90-an sehingga hari ini mengakui senario sekarang sudah berubah apabila terdapat banyak medium selain pihak media untuk peminat dan artis berkongsi rasa.
Apabila teknologi semakin canggih, lebih ramai orang lantang bersuara. Tegasnya sebagai artis, dia harus menjaga segala tingkah laku termasuk penggunaan laman sosial.
"Bagus sebenarnya ada laman sosial sebab saya hanya guna untuk memberitahu peminat tentang perjalanan kerjaya. Adakalanya mood tidak baik, bahasa yang ditulis pun agak kasar.
"Saya selalu ingat bahasa yang digunakan melambangkan perangai seseorang. Jika tidak mahu peminat menggunakan bahasa yang kasar, kita sebagai artis harus guna bahasa yang sopan tetapi tegas dalam menegur walaupun hati sakit bila membaca komen yang di luar batasan," ujar Ziana.
Jelas kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu lagi, lumrah menjadi artis untuk dikritik kerana bukan sepanjang masa peminat mahupun media akan memuja seseorang artis.
"Bukan semua yang kita buat orang akan suka begitu juga sebaliknya. Saya faham ada peminat dan media mengkritik secara terang-terangan sebagai artis, kita juga ada hak untuk mempertahankan diri dengan menulis di laman sosial.
"Bagaimanapun, sila jaga bahasa. Kalau tidak mahu orang lain bersikap kurang sopan atau biadab dengan kita, kita harus lakukan perkara yang sama. Saya kira, cukup sekadar bersikap tegas, tidak perlu memaki hamun," ujarnya.
DATUK SITI NURHALIZA berkata, berbanding menyelar media di laman sosial, lebih baik menelefon atau bersemuka untuk menyelesaikan salah faham yang tercetus. Ia lebih molek kerana antara media dan artis saling mengenali .


Artis ada hak bersuara - Datuk Rosyam Nor
Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor juga tidak ketinggalan memiliki deretan akaun laman sosial. Hanya menggunakan laman sosial sebagai medium bersama peminat dan mempromosikan produk seni terbaharunya, Rosyam tidak menggunakannya untuk tujuan peribadi.
Rosyam yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Perjalanan untuk siaran TV3 itu berkata, dia jarang memuat naik sebarang gambar atau status kerana kesibukan kerjanya.
"Saya jarang guna laman sosial, jika ada masa terluang dan ada produk untuk dipromosikan barulah saya guna. Sejujurnya saya tidak pernah dikritik teruk oleh peminat.
"Kritikan membina itu ada dan saya ambil iktibar tetapi kritikan sampai saya perlu bergaduh dengan orang yang beri komen belum pernah berlaku," katanya.
Tambahnya, dengan kewujudan laman sosial, artis mempunyai media baharu untuk mempromosi sebarang produk secara percuma dan sebagai medan untuk mereka menulis apa sahaja termasuk mempertahankan diri jika dihentam peminat dan media.
"Artis juga ada hak. Zaman sudah berubah, jika dahulu hanya media menulis dan orang lain hanya boleh membaca sekarang semua orang boleh menulis. Pihak media harus terima perubahan ini.
"Selalunya artis sahaja rasa dihentam dan dikritik, sekarang semua orang boleh merasa perkara yang artis lalui. Semua orang tidak suka dikritik dan dimalukan, tetapi kita harus berfikiran terbuka. Pada saya, jangan kerana dikritik sikit, terus mahu melatah," katanya.
Suka terus-terang - Rita Rudaini
Aktres cantik, Rita Rudaini juga pernah dikecam teruk oleh peminat disebabkan kontroversi rumah tangganya bersama bekas suaminya Aidil Zafuan. Ibu kepada dua orang anak itu pernah bergaduh dengan peminat di Twitter gara-gara sikapnya yang suka berterus-terang.
"Saya terus-terang salah, jika berdiam pun salah. Kadangkala saya lihat orang yang beri komen itu seperti mereka sungguh suci dan artis sahajalah yang jahat. Jika komen mereka melampau, saya tegur mereka akan kata saya marah. Saya pun manusia biasa, ada hati dan perasaan cuma pekerjaan saya glamor dan keluar di televisyen," katanya.
Terangnya, dia lebih selesa bersikap jujur dan sebagai artis dia juga mempunyai tahap kesabaran. Jika komen atau kritikan melampau, Rita tidak teragak-agak untuk block seseorang itu.
"Jika sesuatu perkara menyentuh maruah saya, itu saya tidak boleh sabar. Tidak kira peminat atau media, saya akan tulis apa yang terbuku di hati di laman sosial. Jika tidak puas hati janganlah buka akaun laman sosial saya, bacalah artis yang dipuja sahaja," ungkapnya.
DATUK ROSYAM NOR berkata, artis juga berhak untuk meluahkan pandangan peribadi mereka di laman sosial masing-masing.


Sungguhpun begitu, laman sosial banyak mendekatkan dirinya dengan peminat, malah ada yang telah menjadi rakan baiknya sehingga hari ini.
Jelasnya: "Seronoknya laman sosial selain kritikan dan kutukan berbakul yang saya terima, saya juga mendapat rakan-rakan yang baharu. Bermula daripada peminat, sekarang kami sudah menjadi rakan baik.
"Sekarang saya hanya aktif di Instagram sahaja kerana di akaun Twitter terlalu banyak kata yang negatif. Dahulu ketika kes (isu cerai) saya sedang hangat, pernah saya tidak buka internet berhari-hari sebab mahu elakkan tekanan apabila membaca komen orang ramai," katanya.
Abaikan - Neelofa
Mempunyai akaun peribadi untuk laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram, Neelofa, 25, mengaku dia kini hanya aktif melalui laman Instagram sahaja.
Katanya, Instagram lebih mudah memberi gambaran jelas buat pengikutnya tentang promosi, perkembangan terkini atau luahan hati kerana ia beserta gambar.
Mempunyai 324,000 pengikut di Instagram, gadis ini memberitahu, dia mengabaikan kritikan yang mengaibkan dirinya, tetapi tidak menolak menerima teguran yang membina.
"Saya faham apabila seseorang selebriti mempunyai laman sosial, kita sedang memberi ruang untuk semua orang 'mendekati' kita.
"Sebenarnya, saya kira ia terpulang kepada diri sendiri. Bagaimana kita mengambil tentang sesuatu perkara itu sama ada mahu berfikiran positif atau negatif.
"Bagi saya, saya abaikan dan tidak baca semua kritikan berunsur mengaibkan saya, tetapi kritikan yang membina saya ambil untuk perbetulkan diri. Saya kira, jika semua orang menggunakan laman sosial dengan positif, semuanya akan jadi positif," ujarnya yang mengaku mula mempunyai akaun laman sosial hanya untuk suka-suka.
Ditanya tentang kelantangan dan keterbukaan segelintir artis bersuara dan menyelar media atau peminat, Neelofa menyatakan perkara tersebut perlu disambut positif oleh semua pihak.
Jelasnya: "Menggunakan laman sosial sebagai medium untuk memperbetulkan sesuatu perkara yang mungkin disalah lapor misalnya atau diaibkan peminat, saya kira tidak salah. Bersuara untuk membetulkan keadaan, seperti saya lakukan kerana kes fitnah khalwat baru-baru ini. Namun, jangan menyemarakkan api atau mempunyai tujuan lain."


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: