Fatimah menunjukkan buah perah dijualnya di Pasar Bukit Payung dengan harga RM5 untuk setiap 300 gram.
Menurutnya, buah perah biasanya tumbuh liar di hutan Hulu Tembeling dan Taman Negara Kuala Tahan, Pahang, selain kepayang, kedondong, ara, mencepu, kerdas serta beberapa jenis buah hutan lain yang jarang terdapat di negeri lain.
“Bagaimanapun, hanya buah perah menjadi makanan harian dan laris untuk dikomersialkan di Terengganu khususnya pada musim tengkujuh, selain turut dijual di pasar pagi atau pasar malam di sekitar kawasan Bukit Payung dan Marang,” katanya ketika ditemui di Pasar Bukit Payung, di sini.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, buah perah memang memabukkan jika dimakan mentah dan ia perlu diproses terlebih dahulu untuk menghilangkan getah atau kesan sampingan lain agar tidak memudaratkan kesihatan, selepas menerima bekalan buah tersebut daripada pembekal.
Menurutnya, buah itu akan direndam di dalam air untuk menghilangkan getahnya dan dicampurkan dengan garam serta asam gelugur lebih kurang dua minggu menerusi proses dikenali sebagai ‘jeruk’ atau ‘peram’, sebelum dapat dijual.
“Cara menjeruk buah ini sehingga dua minggu, lebih selamat dimakan dan rasanya rangup serta sedap seperti kacang rebus. Buah yang siap dijeruk, dijual dengan harga RM5 bagi setiap 300 gram,” katanya.
Fatimah yang berniaga buah perah sejak 28 tahun lalu berkata, biasanya bekalan buah perah diterima daripada pembekal sebanyak 2,500 kilogram itu, habis dijual dalam tempoh dua bulan iaitu sepanjang musim tengkujuh melanda negeri ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: