• Kerdil bukan penghalangMohd Afiq (kiri) dan Badrul Shah turut memeriahkan kejohanan yang membabitkan lapan negeri itu di Kompleks Rakan Muda Maran.

MARAN -  Walaupun saiz fizikal berbeza dengan rakan seusia apabila dilahirkan sebagai insan kerdil namun ia tidak mematahkan semangat golongan istimewa itu untuk aktif dalam program kemasyarakatan termasuk sukan.

Bagi seorang juruteknik komputer berasal dari Felda Jengka 20, Ahmad Ridzuan Abdullah, 19, berkata, saiz pendek dengan tinggi hanya 127 sentimeter menyebabkan dia sering menjadi bahan ejekan rakan-rakan ketika di bangku sekolah dahulu.

Menurutnya, seperti peribahasa ‘alah bisa tegal biasa’, ejekan itu sudah lali bagi dirinya yang menganggap ia satu gurauan mesra rakan sebaya.

“Malah ibu bapa saya sendiri berpesan agar tidak ambil peduli dengan ejekan pendek, kerdil atau bantut sebaliknya membalas dengan senyuman.

“Dulu memang malu dan cukup segan mahu bergaul dengan orang ramai namun lama-kelamaan semua itu dapat saya atasi,” katanya ketika ditemui pada kejohanan Futsal Orang Kerdil Kebangsaan, di sini.

Turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu, dua pelakon kerdil popular iaitu Badrul Shah Abdul Manan, 31, mewakili pasukan Kuala Lumpur dan Mohd Afiq Fikri Firdaus Ibrahim, 26, bagi pasukan Terengganu.

Menurut Badrul Shah, orang kerdil perlu keluar dari dunia mereka dan berkeyakinan terhadap keupayaan sendiri dengan mencari kelebihan masing-masing.

Katanya, golongan itu hanya berbeza dari segi saiz dan terbatas untuk melakukan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan ketinggian.

“Namun yang lain sama seperti orang lain maka mereka tidak perlu rasa rendah diri kerana ada antara kami yang terlibat dalam pelbagai profesion termasuk profesional,” katanya.

Sementara itu, Mohd Afiq berkata, orang kerdil diminta berdaftar dengan Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar dapat memanfaatkan masa dengan berinteraksi dengan rakan-rakan lain atau mengambil bahagian dalam aktiviti dijalankan pertubuhan,” katanya.