|
PAPAN tanda ‘Air Jando Pulang’ yang dipasang di sepanjang jalan dari Ulu Bendul ke pekan Kuala Pilah bagaikan memanggil-manggil orang ramai untuk mencuba minuman signatur Negeri Sembilan itu.
Ia merupakan campuran air dan isi kelapa muda halus yang ditambah gula enau. Air jando pulang laris dijual khususnya pada bulan puasa di kebanyakan tempat di negeri Adat Perpatih itu.
Menurut pengkaji sejarah Negeri Sembilan yang juga pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin, air jando pulang disediakan dengan bahagian bawah sebiji kelapa muda ditebuk besar dan dikeruk isinya menggunakan sudu dan dipindahkan ke bekas lain.
Airnya juga dipindahkan dan dicampur nira enau cair secukup rasa. Air yang sudah dikacau sebati itu dimasukkan semula ke dalam buah kelapa yang asal berserta isinya. Kemudian, buah beluluk dalam bentuk halwa ataupun yang sudah diproses turut dimasukkan.
Setelah dikacau di dalam buah kelapa tadi, barulah ia dinikmati seenaknya.
“Proses keluar masuk tadi diibaratkan perpisahan suami isteri hingga isteri bergelar janda tetapi rujuk semula.
“Buah beluluk berperanan sebagai pengimbang rasa bagi mengelakkan air jando pulang terlalu manis atau meloyakan,” katanya.
Kuala Pilah bukan sahaja tempat kelahiran Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman, malah daerah itu terkenal dengan warisan budayanya baik dari segi makanan, seni bina mahupun adatnya.
Seorang peniaga, Mohd. Shafie Jalaludin, 33, berkata, laluan di antara Kuala Pilah dan Seremban popular dalam kalangan pengunjung yang mahu mendapatkan hasil kampung seperti daging salai, belacan, petai, gula enau dan telur masin.
Produk salai
“Daging, itik dan ayam salai merupakan makanan paling dicari di sini. Ada pelanggan yang mesti singgah di gerai saya setiap kali dia melalui jalan ini untuk pulang ke Pantai Timur. Dia tidak dapat tinggalkan daging salai,” ujarnya.
Seorang kakitangan swasta di Kuala Lumpur, Abdul Rahim Ujang, 53, memberitahu, dia sanggup pergi ke Kuala Pilah hanya untuk membeli produk salainya.
Katanya, keistimewan hidangan itu kerana ayam atau itik di situ disalai menggunakan kayu sekali gus membangkitkan aromanya.
Di sebalik deretan gerai tradisional tepi jalannya, gerai Coconut Shake Eden Cowboy boleh dikatakan telah mengubah landskap gastronomi di sepanjang laluan sejauh 15 kilometer dari Ulu Bendul ke pekan Kuala Pilah. Gerai itu didirikan bersebelahan rimbunan buluh di Tanjung Ipoh.
Coconut shake ialah minuman generasi baharu yang dihasilkan daripada air dan isi kelapa yang selalunya ditambah aiskrim.
Kemunculan beberapa gerai coconut shake itu seolah-olah membayangkan bahawa Kuala Pilah kini sudah mengalami transformasi gaya hidup di samping kemajuan insfrastruktur.
Transformasi pekan Kuala Pilah boleh dilihat menerusi penyediaan kemudahan awam meliputi jalan raya, hospital dan institusi pendidikan.
Pembinaan Hospital Tuanku Ampuan Najihah pada tahun 1995 yang serba moden bagi menggantikan Hospital Kuala Pilah yang berusia lebih 100 tahun adalah antara projek yang bertujuan mensejahterakan rakyat.
Pembangunan
Daripada sebuah pekan koboi, Kuala Pilah sudah pun menjadi bandar satelit yang membangun dengan begitu pantas terutamanya setelah jalan baharu Seremban-Kuala Pilah siap dibina beberapa tahun lalu.
Bandar Kuala Pilah boleh dikatakan lengkap dengan infrastruktur moden, apatah lagi kedudukannya begitu strategik dan menjadi tumpuan ramai kerana terletak di antara Bahau dan Seremban. Ia merupakan laluan pengguna jalan raya yang ingin ke negeri Pantai Timur.
Sebuah Klinik 1Malaysia turut dibina di kawasan Melang bagi membolehkan penduduk mendapatkan bantuan perubatan dan rawatan dengan bayaran yang minimum.
Pembinaan pasar raya seperti Giant dan Econsave serta penubuhan institusi pendidikan di situ juga telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan penduduk.
Antara institusi pendidikan itu ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kuala Pilah, Kolej Kejururawatan Kuala Pilah dan Kolej Matrikulasi Kuala Pilah.
Seorang penduduk, Ali Abd. Rahman, 63, berkata, kewujudan pusat pendidikan itu telah membuka ruang pekerjaan kepada penduduk setempat selain peluang perniagaan.
Katanya, dengan adanya kemudahan seperti itu, anak tempatan dapat memohon pekerjaan manakala peniaga boleh menjual produk tempatan kepada orang luar yang berkunjung ke situ.
|
“Kalau dahulu sebuah hotel sahaja yang ada di Kuala Pilah, namun sekarang ia telah berubah kerana semakin ramai pengusaha hotel, inap desa dan gerai wujud khususnya apabila UiTM dan kolej matrikulasi dibina di sini,” kata Ali.
Warisan budaya, jalan lama Bukit Putus yang bengkang-bengkok serta air terjun dan hutan tebal yang dimilikinya sering membuatkan jalan raya di Kuala Pilah sesak khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.
Dengan perkembangannya sekarang, lagu Apo Nak Dikato nyanyian Blues Gang pada tahun 1980-an yang menggambarkan pekan Kuala Pilah sebagai sunyi sepi kerana tidak ramai orang mungkin tidak lagi relevan. Kuala Pilah terus membangun tanpa meninggalkan warisan budaya kebanggaannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: