ANTARA babak menarik di dalam KL Zombi yang kini berada di pagawam seluruh Malaysia.
|
FILEM yang menampilkan watak zombi (mayat hidup) bukan sesuatu yang baharu. Hollywood misalnya terlalu banyak yang menghasilkan filem-filem zombi.
Antaranya Zombie Virus, Zombieland, Awaken The Dead, Curse of The Zombie dan yang terbaharu ditayangkan di Astro Best (saluran 481), Warm Bodies.
Jalan cerita yang ditampilkan juga mempunyai banyak persamaan iaitu sekumpulan mayat hidup yang memburu daging dan darah manusia untuk melampiaskan nafsu mereka.
Pengarah Woo Ming Jin turut menghidangkan filem terbaharunya iaitu KL Zombi.
Secara tidak langsung, Kosmo! sudah dapat meneka jalan cerita yang ingin disampaikan iaitu Kuala Lumpur diserang oleh zombi!
Biarpun sedar akan hakikat tersebut (lambakan filem zombi) namun Woo Ming Jin mempunyai alasannya mengapa dia memilih tema tersebut.
"Ini adalah pertama kali Malaysia menghasilkan filem zombi. Memang saya akui mengambil sumber inspirasi melalui filem Hollywood, Zombieland, tetapi KL Zombi mempunyai sisi lain yang saya rasakan adalah unik.
"Saya memang teringin untuk mengarahkan filem komersial untuk pasaran yang lebih luas. Sebelum ini, saya banyak menghasilkan filem pendek dan bebas.
"Jadi, saya fikir tidak salah saya hasilkan filem komersial untuk menepati selera penonton Malaysia pula," ungkapnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem KL Zombi di Cathay Cineplex Cineleisure, Mutiara Damansara, Selangor, minggu lalu.
ZIZAN membawa watak Nipis di dalam filem KL Zombi ini.
|
Menjadi penggiat filem bebas hampir sedekad lamanya, dedah Ming Jin, biarpun pertama kali menghasilkan filem komersial, dia tetap memastikan ketelitian dan mutu karyanya itu.
Disebabkan itu, akuinya, tata rias, efek dan seni solekan zombi yang digunakan adalah setanding dengan taraf filem antarabangsa.
Mengulas lanjut, kata Ming Jin, filem yang diadaptasi daripada novel Fixi berjudul Zombijaya karya Adib Zaini itu juga diolah sebanyak 50 peratus agar ia sesuai ditonton seisi keluarga.
"Idea asal novel itu juga sebenarnya datang daripada saya. Jadi, saya berbincang dengan Adib agar ia dapat diolah untuk ditayangkan di layar perak," jelasnya.
Sementara itu, menurut Pengurus Besar Grand Brilliance, Tengku Iesta Tengku Alaudin, filem KL Zombi menampilkan pelakon dan juga pengacara popular Zizan Razak di samping tiga pelakon jelita iaitu Siti Saleha, Izara Aishah dan Faezah Elai.
Ulasnya, secara tidak langsung filem yang menelan bajet sebanyak RM1.3 juta itu mampu menyuntik minat penonton untuk menonton filem ini.
KL Zombi menceritakan tentang lima kawan yang mempunyai impian dan cita-cita masing-masing. Bagaimanapun, keadaan di Kuala Lumpur menjadi huru-hara apabila diserang dengan virus yang dibawa oleh seekor anjing.
Zain Hamid yang terkena gigitan anjing tersebut mula bertukar menjadi zombi keesokan harinya dan selepas itu orang-orang di sekelilingnya juga bertukar menjadi zombi selepas digigit oleh Zain. Nipis lakonan Zizan, terpaksa memberanikan diri untuk menyelamatkan kawan-kawannya yang sudah menjadi zombi.
KL Zombi mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia pada 29 Ogos 2013.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: