Tuesday, September 3, 2013

Ray, Haniff lebih sensitif


RAY dan Haniff kini mengendalikan rancangan Super Spontan menggantikan Adibah Noor.


PERTAMA kali membuka mulut eksklusif kepada Kosmo! selepas kontroversi ancaman bunuh gara-gara mengkritik pasukan bola sepak negeri Sarawak, deejay radio Era FM, Ray dan Haniff Hamzah memilih untuk tidak mengulas panjang.
Kata Ray atau nama sebenarnya Shah Reza Mohd. Shah yang mengendalikan segmen JoHaRa Pagi Era, dia memohon agar isu itu tidak diperbesarkan oleh mana-mana pihak selepas pihaknya membuat permohonan maaf secara terbuka pada 26 Ogos lalu.
“Kami seboleh-bolehnya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan balas selepas membuat permohonan maaf terbuka tempoh hari.
“Lagipun, perkara ini sudah reda. Kami bimbang jika terlalu banyak bercakap mengenai kontroversi itu, ada kenyataan dimanipulasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujar Ray yang ditemui semasa Fiesta Muzik dan Bola Eravaganza di Stadium Hang Jebat, Melaka baru-baru ini.
Sebelum ini Ray, Haniff dan Johan telah menimbulkan kemarahan penyokong bola sepak Sarawak menerusi kenyataan yang dibuat apabila menggelarkan pasukan itu bermain dalam liga 'cap ayam' serta tidak layak bermain dalam Piala Malaysia dan hanya boleh bermain di peringkat Liga Premier.
Kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan hingga mengundang ancaman bunuh daripada penyokong Sarawak FA.
Katanya, tidak mudah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan tindakan itu bukan sahaja dibuat menerusi siaran radio bahkan ketiga-tiga penyampai radio Era FM itu menggunakan pendekatan secara personal menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter masing-masing.
“Membuat permohonan maaf secara terbuka seperti yang diminta sukar untuk kami lakukan, tapi kami telah laksanakan demi tidak mengeruhkan keadaan.
“Selain siaran radio secara langsung, kami turut membuat permohonan maaf menerusi akaun Facebook, Instagram dan Twitter seandainya ada pihak yang mahukan penjelasan secara personal.
JOHARA yang terdiri daripada (dari kiri) Ray, Haniff dan Johan berharap agar isu yang telah ditimbulkan sebelum ini tidak dipanjangkan selepas mereka membuat permohonan maaf.


“Kami sudah tutup buku kontroversi itu dan enggan menambah komen untuk memanaskan kembali perkara yang telah berlaku,” tambah Haniff.
Tegas Haniff, stesen radio Era FM sentiasa menyokong pasukan bola sepak tempatan dan tidak pernah berniat untuk menjatuhkan reputasi mana-mana pasukan bola sepak negeri.
“Era FM tidak putus-putus menyokong pasukan bola sepak tempatan. Kami cintakan bola sepak Malaysia dan acara Fiesta Muzik dan Bola Eravaganza ini bukan dijalankan untuk membeli jiwa mana-mana pihak.
“Perlawanan bola sepak ini telah lama dirancangkan sejak awal tahun lagi tapi terpaksa ditunda atas beberapa masalah sehinggalah ke tarikh 31 Ogos,” tegasnya.
Sempena Fiesta Muzik dan Bola Eravaganza, pasukan bola sepak Era FC telah berjaya menumpaskan pasukan Arena All Stars dengan kemenangan 3-2.
Melihat kontroversi dari sisi positif dan pengajaran untuk lebih berhati-hati apabila melontarkan pandangan pada masa akan datang, ujar Haniff, setiap deejay perlu bertanggungjawab apabila bercakap.
“Segala apa yang kita cakap adalah tanggungjawab kita sendiri dan sebagai deejay, kami perlu betulkan perkara yang tidak betul.
“Selepas ini kami akan lebih berhati-hati dan berjaga-jaga dalam memberikan pendapat. Kami membawa nama stesen radio Era FM dan perlu menjaga imej syarikat kami,” katanya yang baru pertama kali berdepan dengan kontroversi hingga melibatkan ancaman bunuh.
Ray dan Haniff dalam pada itu terbabit sebagai pengacara secara langsung Super Spontan menggantikan Adibah Noor yang mengendalikan rancangan itu pada musim lalu.
“Kami diberikan tanggungjawab mengadili dan menjadi hos rancangan Super Spontan dan selepas minggu pertama, masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Memang tertekan untuk menggantikan hos yang sudah mempunyai nama besar dalam industri seperti Adibah Noor tapi kami sahut tugas ini sebagai cabaran,” jelas Haniff.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: