Tuesday, September 3, 2013

Misha nafi mahu saman penganjur

MISHA tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahu saman pihak penganjur Konsert Konsert Jelajah Tiga Permata di Malaysia yang dibatalkan pada saat-saat akhir.


AHAD lalu, dalam sebuah akhbar tempatan ada menulis gosip mendakwa penyanyi bersuara gemersik, Misha Omar berasa teraniaya dengan penganjur Konsert Jelajah Tiga Permata yang membatalkan konsert tersebut di saat-saat akhir.
Sepatutnya konsert yang membabitkan tiga penyanyi hebat iaitu Misha Omar, Adibah Noor dan Jaclyn Victor itu berlangsung pada bulan September ini di enam buah negeri iaitu Sarawak (21 September), Sabah (28 September), Johor (12 Oktober), Pahang (19 Oktober), Kedah (26 Oktober) dan Kuala Lumpur (2 November).
Begitupun, tiba-tiba ia dibatalkan sebab penganjur ada masalah. Dakwa akhbar itu lagi, Misha juga berhasrat untuk menyaman penganjur konsert terbabit kerana banyak projek terpaksa ditolak semata-mata untuk memberi komitmen dengan konsert terbabit.
Kosmo! segera menghubungi kakak Misha Omar yang juga merangkap pengurus penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta itu, Mimi Omar mengenai dakwaan tersebut.
Kosmo!: Benarkah Misha berasa teraniaya dengan penganjur Konsert Jelajah Tiga Permata kerana membatalkan konsert di saat-saat akhir?
MIMI: Saya sebagai pengurus Misha tidak tahu langsung mengenai berita ini. Misha tidak pernah ditemu bual dan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai perkara ini (pembatalan konsert).
Bagaimana pula dengan dakwaan mengatakan Misha ingin menyaman pihak penganjur kerana membatalkan konsert pada saat-saat akhir sedangkan banyak projek yang terpaksa ditolak kerana ingin memberikan komitmen pada konsert Jelajah Tiga Permata itu?
Saya terkejut bagaimana penulis itu boleh menulis tentang perkara itu kerana Misha tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut (saman pihak penganjur). Saya rasa dicabuli. Pihak Misha tidak pernah menandatangani apa-apa kontrak untuk konsert tersebut. Tidak ada hitam dan putih jadi kenapa perlu Misha menolak apa-apa projek yang datang padanya.
Apakah perasaan anda mengenai dakwaan tersebut?
Sudah tentu berasa kecewa sebab nama Misha juga yang akan terpalit. Orang membaca dan akan membuat pelbagai penilaian buruk terhadap dirinya. Tidak adil buat Misha. Kenapa menyebut nama Misha seorang, tetapi bukan dua lagi penyanyi? Saya juga tidak mahu memberi komen lanjut mengenai perkara ini. Bimbang jadi salah faham dan gaduh. Kesimpulannya, dari mana dia (penulis) dapat maklumat tersebut (mengenai Misha rasa dianiaya dan ingin saman penganjur).
Apakah perasaan Misha mengenai pembatalan konsert tersebut?
Misha sudah merasakan daripada awal lagi bahawa konsert tersebut tidak akan berlangsung.
Kenapa Misha beranggapan begitu?
Sebab nampak pihak pengurusan konsert terumbang-ambing.
TIADA rezeki. Misha, Adibah dan Jaclyn pernah menjayakan Konsert Tiga Permata di Esplanade Singapura pada tahun lalu.


Adakah pihak Misha diberitahu mengenai pembatalan konsert tersebut?
Pihak penganjur tidak cakap apa-apa. Mereka hanya mendiamkan diri.
Khabarnya Misha tidak dapat menghadirkan diri mengadakan persembahan sempena ulang tahun Kosmo! yang ke-9 pada Jumaat, 30 Ogos lalu disebabkan bapa, Omar Ismail mengalami serangan jantung? Bagaimanakah keadaan bapa Misha dan Mimi sekarang ini?
Ini adalah pertama kali ayah terkena serangan jantung. Alhamdulillah, keadaan dia sekarang sudah stabil sejak dimasukkan ke hospital pada 29 Ogos lalu. Selasa ini, dia akan menjalani rawatan angiogram (Pewarna akan disuntik melalui kateter dan imej pembuluh darah jantung diambil bagi mendapatkan gambaran yang jelas untuk bahagian yang tersumbat).
Apakah projek terbaharu Misha?
Misha bakal muncul dengan album baharu pada Disember ini. Buat masa ini single terbaharunya iaitu Untuk Bermimpi akan berada di pasaran.
Dalam pada itu, Kosmo! juga cuba menghubungi pihak penganjur, Dangerous Events mengenai pembatalan konsert Jelajah Tiga Permata itu. Wakilnya, Faizul Zakaria mempunyai jawapannya.
Kosmo!: Apakah masalah yang dihadapi sehingga menyebabkan Konsert Jelajah Tiga Permata dibatalkan pada saat-saat akhir?
FAIZUL: Ketika merancang untuk buat konsert dan memilih tarikh September hingga November ini, tidak sangka pula tarikh tersebut bertembung dengan banyak konsert-konsert luar negara seperti Linkin Park, Metallica dan CN Blue.
Terdapat enam tempat konsert jelajah. Adakah semuanya anda fikir tidak mendapat sambutan?
Semasa penjualan tiket secara talian dibuat dan hanya konsert di Kuala Lumpur sahaja yang mendapat sambutan. Justeru, kami mengambil keputusan untuk tidak terus menjayakannya sebab ingin menjaga nama baik artis dan juga pihak penaja utama kami.
Adakah ini kali pertama pengurusan anda melakukan konsert?
Pihak kami pernah menjayakan Konsert Tiga Permata bersama ketiga-tiga artis tersebut di Esplanade, Singapura, akhir tahun lalu dan ia mendapat sambutan. Ketiga-tiga mereka juga sangat profesional disebabkan itu pihak kami merancang untuk mengadakan konsert jelajah di Malaysia pula.
Kosmo! diberitahu bahawa pihak penganjur tidak memberitahu mengenai pembatalan konsert tersebut kepada artis. Anda dikatakan hanya berdiam diri. Benarkah?
Kami ada berjumpa tiga artis tersebut dan telah memaklumkan perkembangan mengenai konsert tersebut.
Bagaimanakah pula dengan pembatalan konsert?
Mereka tidak diberitahu. Sebabnya, pihak kami masih ingin melangsungkan konsert tersebut. Mungkin kalau keadaan kembali okey kami mahu melakukannya tahun hadapan. Apa yang penting, peminat Malaysia kena tahu setiap konsert itu mempunyai keistimewaannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: