Tuesday, September 3, 2013
Fenomena K-Pop pengantin China
BERDIRI di hadapan tingkap rekaan ala chateau Perancis, kedua-dua pengantin muda dari China itu saling berpandangan sambil memberi gaya terbaik kepada jurufoto. Aksi manja mereka dipotretkan untuk diabadikan sebagai foto perkahwinan.
Pasangan berumur lingkungan 20-an itu sanggup terbang jauh ke Korea Selatan semata-mata mahukan sentuhan jurusolek dan jurugambar tempatan kerana kegilaan terhadap budaya pop Korea Selatan yang melanda seluruh dunia kini.
China mencatatkan satu pertiga pelancong di Korea Selatan yang menyumbang sebanyak AS$15 bilion (RM49.51 bilion) dalam industri perkahwinan di negara itu.
Kebanyakan pengantin tidak memilih lokasi tipikal seperti tempat bersejarah, sebaliknya lebih gemar gambar perkahwinan mereka dirakamkan di destinasi urban di sekitar daerah Gangnam.
Kawasan itu menjadi fenomena menerusi lagu dendangan penyanyi Korea Selatan, Psy iaitu Gangnam Style. Pada masa yang sama turut mendapat jolokan destinasi popular untuk fesyen dan kosmetik yang mendapat perhatian selebriti tempatan.
"Gaya yang terdapat di Korea Selatan adalah lebih sofistikated dan menarik berbanding di China. Kami datang ke sini kerana Korea Selatan merupakan peneraju utama fesyen dan kecantikan," ujar bakal pengantin, Yang Candi.
Kementerian Pelancongan Korea Selatan menganggarkan hampir 2.5 juta pelancong China membelanjakan purata AS$2,150 (RM7,096) seorang pada tahun 2012, satu jumlah yang besar berbanding negara-negara lain. Ia membantu syarikat seperti iWedding yang merupakan perunding perkahwinan terbesar di Korea Selatan, untuk berkembang maju.
Setiap bulan dalam tempoh setahun, iWedding menjalankan perniagaan bersama 50 hingga 60 pasangan dari China. Kebanyakan mereka merupakan peminat tegar rancangan televisyen (TV) dan muzik Korea Selatan.
Pesaing iWedding, Design Wedding, mendakwa, mereka telah menjalankan perniagaan bersama syarikat di Shanghai dan mengambil gambar untuk 50 pasangan China sejak bulan Mei lalu. Sebuah lagi syarikat, Chuka Club, memperoleh pelanggan dari China walaupun tidak membuat iklan di laman web China seperti yang dilakukan dua syarikat tersebut.
Lokasi popular
"Rakyat China gemar kehidupan moden Korea Selatan yang urban, bergaya dan cantik. Mereka tidak lagi melawat tempat-tempat bersejarah malah memilih Gangnam untuk merasai gaya seni baharu di pusat-pusat beli-belah," ujar pensyarah pengajian budaya pop Korea Selatan, Universiti Katolik Korea, Seoul, Song Sung-uk.
Korea Selatan merupakan gergasi ekonomi keempat terbesar di Asia selepas Perang Korea 1950 hingga 1953. Ia sinonim sebagai destinasi yang menjadi pilihan penduduk kelas pertengahan China dan dipengaruhi oleh budaya pop Korea Selatan yang popular di seluruh dunia.
"Saya menyimpan angan-angan untuk datang ke sini, terutamanya selepas menonton beberapa rancangan TV Korea Selatan," ujar bakal pengantin lelaki, Chen Jingjing.
Dia dan pasangannya merancang untuk mengambil gambar di lokasi-lokasi popular yang menjadi destinasi kunjungan selebriti Korea Selatan.
Selepas didandan selama tiga jam, Chen dan Yang yang anggun memakai busana rona putih, dibawa ke studio foto berdekatan untuk mengambil gambar yang berlangsung hampir lapan jam.
Latar belakang benua Eropah menjadi kegemaran pelancong China dan Korea Selatan. Busana pengantin ala Barat itu dirasakan sesuai oleh perunding perkahwinan jika berlatar belakang set Eropah.
Gambar-gambar tersebut akan diletakkan dalam album kulit iaitu salah satu pakej yang disediakan oleh perunding perkahwinan. Pakej tersebut merangkumi pengangkutan, servis pembantu dan pilihan hotel. Menurut koordinator iWedding, Yu Mi-ra, servis tersebut berharga antara AS$2,000 (RM6,601) hingga AS$4,000 (RM13,202).
Menurut Yu, kebanyakan warga China datang ke Korea Selatan untuk mengambil gambar perkahwinan kerana kualiti fotografi dan solekan. Namun, tidak semua menepati jangkaan seperti yang diharapkan oleh pasangan pengantin.
"Sangat kecewa dengan hasilnya kerana beberapa gambar menampakkan saya kelihatan tidak menarik dan canggung. Kami datang sejauh ini untuk mendapat pulangan yang tidak memuaskan," ujar Yang kecewa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: