|
GELARAN negro pernah melekat pada diri Nur Akmal Mohd. Pada segelintir individu, panggilan itu sekadar gurauan kepada seseorang yang mempunyai paras fizikal saling tak tumpah bak orang kulit hitam. Namun realitinya, ia gelaran kasar dalam kalangan komuniti Afrika-Amerika khususnya di Amerika Syarikat (AS).
Sepanjang bersekolah menengah, nama ‘manja’ itulah yang membentuk identitinya, gara-gara mempunyai rambut jenis kembang yang sukar diuruskan. Luah lelaki berumur 27 tahun itu: “Bukanlah marah orang kaitkan saya dengan gelaran itu, cuma rasa tidak selesa dan rimas dijadikan bahan jenaka.
“Saya akui, rambut saya mewujudkan rasa rendah diri dalam diri sehingga saya ambil keputusan untuk meluruskan rambut. Kesannya tidak begitu memuaskan dan saya memilih untuk botak sahaja.”
Pengalaman ditempuhi Nur Akmal itu seumpama yang dialami masyarakat Afrika-Amerika di AS pada sekitar tahun 1960-an. Kontranya, Nur Akmal tidak diancam sinis secara perkauman, malah lebih sekadar perbandingan rawak kepada golongan kulit hitam.
Trauma
Lembaran sejarah pula membuktikan bahawa rambut afro sememangnya pernah menjadi hukuman dahsyat kepada etnik Afrika-Amerika.
Igauan trauma itu terjadi pada zaman penghambaan etnik Afrika-Amerika di AS sekitar tahun 1960-an. Majoriti orang kulit hitam sedaya upaya mengubah gaya rambut asli mereka menyerupai orang kulit putih. Mereka yang dianugerahkan dengan rambut tekstur afro dianggap melanggar standard kecantikan yang ditetapkan orang Eropah dan Amerika.
Rambut afro yang keriting, kasar, kembang dan tidak terurus menerima kritikan negatif sehingga memaksa etnik yang tertindas ketika itu meluruskan rambut masing-masing. Amalan itu kemudiannya menjadi popular dalam kalangan kumpulan Afrika-Amerika.
Bagaimanapun Pergerakan Hak Asasi Awam Afrika-Amerika yang bermula pada tahun 1955 sehingga 1968 bagi memperjuangkan penghapusan amalan pemisahan antara kaum di AS banyak memberi ruang kepada etnik Afrika-Amerika mengekspresikan karakter semula jadi mereka, termasuk gaya rambut afro.
Apresiasi terhadap kecantikan orang kulit hitam dan stail estetik yang didukung pergerakan Black is Beautiful lebih lima dekad tahun dulu juga banyak membantu memulihkan skeptikal kritikal yang dialami etnik Afrika-Amerika.
|
Pergerakan berteras kebudayaan dan kesenian itu mengembalikan semula gaya rambut natural. Afro mula menjadi simbol politik berpengaruh yang mewakili maruah orang kulit hitam kepada penolakan orang kulit putih terhadap konsepsi asimilasi dan integrasi kaum.
Bawa tuah
Keterbukaan masyarakat terhadap identiti asli etnik Afrika-Amerika itu memuncak pada permulaan 1970-an. Introduksi stail rambut unik itu ke dalam aliran fesyen arus perdana perlahan-lahan diadaptasi individu luar kelompok Afrika-Amerika. Peminjaman identiti tersebut secara langsung menyingkirkan fungsi afro sebagai penggerak kepentingan politik yang radikal.
Secara kebetulan, transisi menarik rambut afro dalam peradaban dunia juga mengisi rentetan hidup istimewa kepada Nur Akmal. Tamat sekolah, pereka grafik itu tekad membiarkan rambut aslinya tumbuh secara semula jadi.
Genetik rambut afro yang diwarisi daripada bapanya itu mula dihargai Nur Akmal. Malah ibunya turut memberi galakan kepada Nur Akmal supaya menyimpan rambut kembang atas alasan sesuai dengan wajahnya.
“Rambut bapa saya jenis keriting halus, saya pula keriting kasar. Apabila menyambung pengajian di universiti, saya tetap menyimpan rambut ini, cuma saya kerap memakai topi jika ke kelas kerana malas hendak mengemaskan rambut,” kata anak sulung daripada tiga adik-beradik itu.
Nur Akmal menasihatkan individu berambut keriting atau afro bersyukur dengan keistimewaan itu kerana setiap ciptaan Allah sesuai bagi makhluknya.
Keyakinan Nur Akmal juga meningkat selepas menemani seorang sahabatnya ke sesi uji bakat untuk sebuah drama TV bersiri.
“Saya saja mencuba nasib, tak sangka pula boleh terpilih. Ia merupakan platform komersial pertama saya dan segalanya kerana tuah rambut afro ini,” ceritanya yang terpilih membawa watak Budi dalam drama bersiri Goda yang disiarkan di 8TV pada tahun 2008.
Sejak itu, pelbagai tawaran drama menghujani Nur Akmal tetapi ditolak bagi memberi fokus kepada pelajaran. Pemilik Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Grafik), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu kemudiannya menjayakan beberapa iklan TV dan poster bagi jenama-jenama terkenal.
Antaranya ialah Digi, Coca-Cola, Pizza Hut, Proton Preve, Munchy’s dan banyak lagi. Ujar Nur Akmal jujur: “Rezeki saya banyak disumbangkan oleh rambut afro ini. Setiap kali diberi tawaran, mereka ingat saya sebagai budak rambut kembang. Jadi ia telah menjadi signatur akrab kepada diri saya.”
|
Penjagaan
Dikurniakan rambut afro satu pemberian, mengurus stail separa eksentrik itu pula satu tanggungjawab. Pada mata kasar, ia seperti sukar dirapi, namun Nur Akmal menyangkal dakwaan itu. Penjagaan mudah tanpa sebarang penggunaan produk rambut seperti gel, minyak rambut atau wax membuatkan rambut kembangnya sihat sehingga ke hari ini.
“Amalkan penggunaan rawatan perapi dalaman dan syampu setiap hari. Dua langkah ini sudah memadai untuk menjaga tekstur dan bentuk rambut saya. Seminggu sekali pula saya sikat rambut dalam keadaan basah menggunakan sikat jarang bagi mengeluarkan rambut putus dan mengelakkan ia berbau sekali gus membuka rongga-rongga kulit kepala.
“Sebulan sekali saya potong hujung rambut sepanjang dua inci. Saya selesa mengemaskan sendiri dan jarang pergi ke salon kerana tidak gemar orang memegang rambut saya. Jadi kos penjagaan rambut saya tidaklah mahal dan tidak sampai RM200 untuk tempoh dua bulan,” rangkum Nur Akmal yang meminati gaya rambut Bo (Bedroom Sanctuary) dan Solange Knowles.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: