Tuesday, September 3, 2013

Stres sebagai ujian hidup


STRES yang tidak terkawal boleh menyumbang kepada penyakit jantung, hipertensi dan kemurungan.


SAMA seperti orang lain, Jamilah Jamil, 33, yang bekerja sebagai jurutera di Johor mengalami tekanan pekerjaan.
Tekanan bukan sahaja datang daripada pihak atasan, tetapi turut berpunca daripada orang yang lebih rendah pangkatnya.
Ia berlaku kerana terdapat pekerja yang lebih senior daripadanya. Apabila Jamilah mahu bertanya soalan pasti dijawab dengan nada acuh tak acuh atau jawapan yang tidak sepatutnya.
Justeru, apabila memikirkan masalah kerja akibat pekikan para senior, dia berasa stres.
"Apabila itu berlaku, saya pasti keluar bersama rakan-rakan untuk beriadah, mengikuti kelas senaman dan berbual-bual.
"Jika tiada rakan-rakan dan malas memikirkan masalah yang terjadi, saya pulang dan tidur supaya dapat memulakan hari esok dengan mood yang lebih baik," katanya ketika dihubungi Kosmo!
Bercerita mengenai perbezaan zaman belajar dengan bekerja, Jamilah mengakui lebih tertekan menjadi pekerja berbanding pelajar.
"Barangkali, ketika itu rakan-rakan masih ramai, jadi dapat berkumpul dan melupakan masalah dengan mudah. Kerja pula bersifat tanggungjawab yang perlu dibuat dengan penuh dedikasi," luahnya sambil menghela nafas.
Punca tekanan boleh berlaku atas beberapa sebab. Antaranya, hati kurang bergantung kepada Allah, rasa was-was akibat hasutan syaitan, banyak berfikir negatif dan mengambil serius perkara atau nasib yang bakal berlaku.

SOLAT adalah cara terbaik untuk menenangkan diri. - Gambar hiasan


Menurut Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya, Dr. Muhammad Lukman Ibrahim, tekanan juga boleh terjadi apabila mudah berputus asa dan lupa mengenai khazanah Allah yang maha luas selain bimbang dengan kekurangan harta.
Sementara itu, Pengamal Perubatan Moden dan Pakar Motivasi dalam dan luar negara, Dr. Danial Zainal Abidin, 58, menjelaskan, terdapat dua bentuk stres.
Tekanan yang melahirkan kesan positif dipanggil eustress atau tekanan yang baik. Contohnya, seorang pelajar akan mengalami tekanan terutamanya apabila tarikh peperiksaan semakin hampir.
Cara melihat tekanan
Tekanan bahaya adalah tekanan yang gagal dikawal sehingga membuatkan seseorang itu sugul, putus harapan, mahu membunuh diri dan seumpamannya.
Ia dikenali sebagai distress atau tekanan yang memudaratkan. Kesannya boleh dilihat pada fizikal dengan mengalami pening-pening pada peringkat pertama.
Kemudian, jantung berdegup laju, tekanan darah tinggi, kemurungan dan boleh mengalami histeria.
"Keadaan dan sikap seseorang menentukan sama ada sesuatu tekanan itu baik atau memudaratkan.
"Jika sikap negatif keterlaluan, ia membawa kepada distress. Pendekatan yang betul ialah berpandukan agama," terang Danial.
Contohnya, jika seseorang itu mengalami kemalangan, dia akan melihat secara positif dan menerima ketetapan yang telah terjadi.
Namun, apabila mangsa merungut dan mempersoalkan diri mengalami kecelakaan, ia sukar dijawab lalu stres menjadi semakin teruk.
Setiap kali mengalami ujian, kita perlu meyakini setiap yang berlaku datang daripada Allah dan pasti ada hikmah. Justeru, Islam menganjurkan umatnya bertawakal atau berserah kepada-Nya.
LUAHKAN setiap masalah kepada Allah kerana Dia sebaik-baik pendengar.- Gambar hiasan


Kata Danial, ia bermaksud tidak merungut dan mengamuk sebaliknya bersangka baik kepada Allah.
Cara kedua ialah dengan bersolat dan bersabar. Sabar dan solat yang dibuat secara khusyuk boleh mendamaikan jiwa seperti yang difirmankan dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 153 bermaksud:
"Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar."
Kaedah ketiga adalah sentiasa berzikir seperti firman Allah pada surah ar-Ra'd ayat 28: "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia."
"Dengan mengamalkan kaedah itu, individu tidak mengalami panik atau histeria, minda dan otak boleh fokus bagi menentukan tindakan yang sesuai dalam menyelesaikan masalah.
"Pada masa yang sama seseorang itu dapat mengawal stres," ungkap Danial.
Dalam pada itu, Muhammad Lukman berkata, tekanan sememangnya ujian yang diturunkan Allah seperti hadis yang diriwayat Bukhari dan Muslim: "Tiada suatu pun yang menimpa orang mukmin daripada kesusahan, penyakit, kegelisahan, kesedihan sehingga satu duri yang mencucuk melainkan Allah mengampunkan dosanya."
Tambahnya lagi, ayat 155, surah al-Baqarah menegaskan bahawa semua masalah yang berlaku adalah ujian dan pasti ada ganjaran kepada mereka yang bersabar.
Terjemahan ayat tersebut berbunyi: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: