
ZIADA (paling kanan) bergambar
bersama Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christiane Lagarde
(pertama dari kiri) dalam satu majlis makan malam di Davos, AS baru-baru
ini.
BELUMPUN sempat meraikan ulang tahun pertama bergelar Presiden Mesir, Mohammed Morsi akhirnya digulingkan tentera yang diketuai Menteri Pertahanan yang dilantiknya, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi.
Seminggu sebelum kejatuhannya, lebih setengah juta rakyat Mesir melancarkan tunjuk perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah sehingga mengakibatkan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin rosak teruk manakala puluhan orang dilaporkan maut.
Berita penggulingan Morsi itu mencetuskan kegembiraan kepada ratusan ribu penunjuk perasaan yang berkhemah di sekitar bandar raya Kaherah, malah sesetengahnya meraikannya dengan letupan mercun.
Antara yang tersenyum melihat kemenangan suara rakyat itu ialah Dalia Ziada, seorang aktivis hak kemanusiaan kelahiran Mesir.
Semasa pelantikan Morsi sebagai presiden pada 24 Jun 2012, Ziada, 30, yang juga seorang blogger mengaku kecewa dengan pemilihan ketua negara tersebut.
“Saya percaya kemenangan Morsi adalah sah kerana dilakukan secara demokrasi tetapi ia mungkin satu kesilapan bagi rakyat Mesir.
“Saya berpendapat, rakyat Mesir belum bersedia dipimpin oleh seorang pemimpin daripada pergerakan Islam radikal seperti Ikhwanul Muslimin.
Khitan
“Saya cuma berharap di bawah kepimpinan Morsi, revolusi akan berakhir dan keadaan akan bertambah baik,” ujar Ziada.
Walaupun masih muda, pengalaman Ziada sebagai aktivis berhaluan kanan sudah bermula sejak kecil lagi.
Dia yang aktif memperjuangkan hak-hak wanita Islam tidak gentar berdebat dalam kalangan masyarakatnya, mahupun di forum antarabangsa.
“Saya seorang revolusioner dan bangun memperjuangkan hak-hak wanita Islam adalah jiwa saya.
“Minat bergelar seorang pejuang hadir sejak saya berusia lapan tahun lagi.
“Pada waktu itu, ibu mendandan dan memakaikan saya pakaian yang sangat cantik.
“Saya fikir, kami sedang bersiap untuk menghadiri parti hari jadi.
“Namun, telahan saya silap. Ibu membawa saya ke klinik untuk dikhatankan.
“Apabila doktor menerangkan prosedur berkhatan yang bakal dijalankan, saya menjadi takut dan menangis.
“Doktor memberi suntikan untuk menidurkan saya dan apabila sedar, saya menanggung kepedihan dan kesakitan.
“Bermula detik itu, saya akan menjadi orang pertama yang membantah amalan khatan dalam kalangan kanak-kanak perempuan,” imbas Ziada yang mengetuai kempen kesedaran tentang kesan amalan berkhatan bersama empat rakannya semasa di universiti.
Selain lantang memperjuangkan hak-hak wanita, Ziada juga sering dijemput menjadi speaker dalam majlis yang membincangkan kebebasan bersuara dan konflik keganasan di Asia Barat sama ada di dalam mahupun di luar negara.
“Pada tahun 2009, saya dijemput untuk mendengar ucapan Presiden AS, Barack Obama di Kaherah.
“Saya turut dijemput menghadiri mesyuarat tertutup bersama Penasihat Kanan White House, Valerie Jarret untuk membincangkan beberapa topik berkaitan belia, hak awam dan hak wanita di dunia Islam,” katanya.
Usahanya tanpa lelah untuk memartabatkan hak wanita, kebebasan awam dan demokrasi liberal di Asia Barat sejak di universiti akhirnya mendapat perhatian dan sokongan daripada pelbagai pertubuhan dunia.
Berani
Selain menggondol Anugerah Presiden Universiti Tuft di AS, dia turut menerima beberapa anugerah keamanan peringkat antarabangsa.
Antaranya, nama Dalia Ziada tersenarai dalam 150 wanita paling berani dan berpengaruh di dunia pada tahun 2011 dan 2012 oleh majalah Newsweek.
Dia juga dipilih sebagai lapan individu yang membawa perubahan di dunia Arab oleh stesen penyiaran CNN pada tahun 2012.
Selain itu, portal berita AS, Daily Beast turut menyenaraikan Ziada sebagai 17 blogger paling berani di dunia pada tahun 2011.
Pemegang Sarjana Perhubungan Antarabangsa dari Sekolah Perundangan dan Diplomasi Fletcher, Universiti Tuft, AS, itu turut menerima Anugerah Kewartawanan Anna Lindh Euro-Mediterranean pada tahun 2010 selain namanya dinobatkan sebagai Juara Hak Wanita oleh majalah Time pada tahun 2009.
Pernah ditanya tentang kelantangannya membidas tindakan kerajaan yang meletakkan wanita sebagai golongan kelas bawahan, jawab Ziada: “Saya tidak takut menjadi revolusioner. Seperti lelaki, saya juga ada kuasa untuk bersuara dan tahu apa yang saya boleh lakukan.”
Jelasnya, apa yang dilakukan selama ini bukanlah untuk menaikkan namanya sebagai ikon wanita Arab, sebaliknya memang menjadi prinsip hidup gadis itu untuk menyumbangkan sesuatu kepada bangsanya.
“Saya tidak mahu hidup tanpa menyumbang apa-apa. Apa yang saya mahu, apabila saya mati kelak, golongan wanita Arab boleh menikmati layanan dan keistimewaan seperti yang diperoleh golongan lelaki.
“Itu yang saya perjuangkan selama ini,” katanya yang gemar berhijab dengan motif bunga berona terang.
Biarpun sesetengah golongan Barat memandang wanita berhijab sebagai orang yang kolot, Ziada tidak pernah mengendahkan tanggapan tersebut.
“Berhijab adalah jiwa saya. Rasanya seperti berbogel saja bila tidak berhijab. Alhamdulillah, ramai kenalan dari Barat lebih menghormati keperibadian wanita yang berhijab seperti saya.
“Saya juga percaya, hijab bukan sahaja menutup urat, bahkan ia juga boleh melindungi pemakainya daripada pandangan masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: