Monday, July 15, 2013

Projek amal sukarelawan muda




SUASANA lewat petang di ruang tamu rumah teres dua tingkat yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya itu ceria dengan canda tawa anak-anak muda.
Kebanyakan mereka baru kali pertama bertemu muka walaupun sekian lama berhubung di alam maya bagi memastikan aktiviti amal yang dirancang berjalan dengan lancar.
Sambil mulut rancak bersembang, tangan masing-masing sibuk menyusun kuih-kuih raya ke dalam kotak dan ada yang memasukkannya ke dalam balang kuih.
Biskut-biskut itu bukan untuk dijual tetapi ia merupakan sebahagian daripada hasil sumbangan orang ramai untuk #KuihRayaProject.
#KuihRayaProject merupakan salah satu projek amal yang digerakkan oleh sekumpulan sukarelawan anak muda dalam komuniti Our Touch.
Our Touch merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggabungkan aktiviti sukarelawan sambil melawat negara-negara dunia ketiga.
Ditubuhkan pada 3 Oktober 2012 selepas program tidak rasmi yang pertama di Tonle Sap Floating Village di Siem Reap, Kemboja, Our Touch lebih fokus kepada anak-anak yatim dan keluarga miskin yang mempunyai anak kecil.
"#KuihRayaProject merupakan salah satu program bulan Ramadan dan ia baru diadakan tahun ini selepas kami menubuhkan Our Touch tahun lalu.
"Bagi projek ini, kami mengalu-alukan orang ramai menyumbangkan biskut raya untuk diagih-agihkan ke rumah anak-anak yatim dan keluarga-keluarga susah di sekitar Lembah Klang," kata Presiden Our Touch, Anis Yohana Khalid, 27, yang kini bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi.
Golongan sasaran
#KuihRayaProject bermula sejak awal Jun lalu dan berakhir pada 26 Julai ini. Kuih- kuih raya yang dikumpul akan mula diagihkan kepada golongan sasaran tersebut pada 27 Julai ini.
"Setakat ini sambutan yang diterima agak menggalakkan. Minggu pertama sahaja kami sudah menerima tiga balang besar muruku, 20 bekas kuih tat nanas dan beberapa bekas aneka kuih lain.
"Dijangka lebih ramai yang akan tampil menderma kuih raya pada bulan Ramadan," ujarnya sambil memberitahu projek tersebut melibatkan lebih kurang lapan hingga 10 sukarelawan Our Touch berdaftar.
Walaupun hatinya nun jauh ribuan kilometer dari tanah air tercinta, namun wanita yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini sangat dekat dengan golo- ngan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim.

AHLI-AHLI Our Touch menunjukkan antara kuih raya yang telah disumbangkan oleh orang ramai bagi menjayakan #KuihRayaProject.


Dek ingatannya terhadap anak-anak yatim tidak pernah lekang di mindanya, Anis Yohana punya cara tersendiri untuk mengisi masa lapang di rantau orang dan dari situlah lahirnya idea mengenai #KuihRayaProject ini.
"Kerana jauh di perantauan dan hanya akan pulang ke tanah air pada 25 Julai, saya terfikir untuk mengisi masa lapang di Arab Saudi dengan membuat kuih raya dan mendermakannya kepada mereka.
"Oleh kerana ibu mertua turut berniaga kuih ketika Ramadan, beliau juga mahu sama-sama menjayakannya," kata anak kelahiran Raub, Pahang itu menceritakan detik kelahiran idea #KuihRayaProject. Anis Yuhana bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di Wilayah Timur Al-Ahsa, Arab Saudi.
Sambutan menggalakkan
Tambahnya, selepas bercerita kepada rakan-rakan sukarelawan lain, mereka juga tidak mahu ketinggalan untuk menyertai usaha amal itu.
Menaruh keyakinan yang tinggi bahawa #KuihRayaProject bakal mendapat sambutan menggalakkan, anak kedua daripada lima beradik itu melancarkan projek tersebut di laman web Our Touch, www.ourtouch.org dan turut diuar-uarkan di akaun Facebook Our Touch.
Walaupun Anis Yohana tidak begitu mahir membuat kuih raya, namun jururawat berjiwa besar ini sudah mula berkecah di dapur membuat biskut coklat dan almond Saudi untuk dibawa pulang nanti.
Meskipun tanpa presiden di depan mata, para sukarelawan begitu bersemangat membuat dan mengumpulkan kuih-kuih raya bagi menjayakan #KuihRayaProject demi mengukir senyuman di wajah anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik di hari lebaran nanti.
"Bagi mereka yang ingin menyumbangkan kuih raya untuk #KuihRayaProject, anda boleh menghantar secara pos atau singgah di gerai Our Touch," ujarnya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada suami, Erdie Naz- rullah Zahar, 26, yang banyak menyokong dan membantunya dalam menjayakan aktiviti-aktiviti amal Our Touch di tanah air.
Dalam pada itu, salah seorang sukarelawan Our Touch, Raja Nazilawati Raja Zainal, 37, begitu teruja untuk menjayakan projek tersebut.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu sudah berjinak-jinak dalam aktiviti- aktiviti amal sejak di bangku sekolah rendah lagi.
"Jika ada orang ramai yang mahu menderma kuih raya tetapi tidak sempat untuk membelinya, mereka boleh datang ke gerai Our Touch dan membeli kuih raya di sana.
"Kuih yang dibeli itu boleh terus didermakan pada #KuihRayaProject dan secara automatik RM1 daripada pembelian tersebut akan didermakan kepada golongan miskin di Kemboja," katanya yang menjadi sebahagian daripada keluarga Our Touch selepas melibatkan diri dalam program amal di Yayasan Peduli Anak di Lombok pada 29 April hingga 3 Mei lalu.
Gerai-gerai Our Touch terdapat di Kota Damansara dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur serta Bukit Mahkota, Bangi, Selangor.

ERDIE NAZRULLAH dan Wan Salleh (kiri) mengira sumbangan kuih raya yang disumbangkan oleh orang ramai.


Selain #Kuih Raya Project, Our Touch turut mengadakan beberapa projek lain sempena Ramadan. Antaranya Ketupat Lemang Project, Baju Raya Project dan Kejut Sahur Project.
"Kutipan dana berbentuk wang juga dialu-alukan bagi menjayakan projek-projek amal lain sempena Ramadan.
"Bagi Baju Raya Project, kami memperuntukkan RM200 seorang buat 10 anak yatim bagi membolehkan kami membawa mereka membeli-belah persalinan raya untuk dipakai ketika Hari Raya Aidilfitri nanti," ujar Salmiza Abdullah, 28, yang bekerja sebagai perun- ding unit amanah.
Salmiza memberitahu, keluarga yang dipilih bukan sahaja akan menerima kuih-kuih raya, namun turut diberikan sumbangan barang-barang kering dan basah buat persiapan raya.
Bagi memastikan #KuihRayaProject diperluaskan ke pengetahuan khalayak ramai, setiap ahli Our Touch mengambil peranan mempromosikan tentang aktiviti amal tersebut melalui rangkaian media sosial mahupun disampaikan secara terus kepada ahli keluarga, rakan sekerja, kenalan terdekat dan sebagainya.
Komitmen
Mengakui tidak mengenali sesama sendiri sebelum ini, Wan Salleh Wan Ahmad, 30, dari Setiu, Terengganu terharu dengan komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan sukarelawan Our Touch yang lain.
"Kami sebenarnya mempunyai minat yang sama iaitu backpacker sambil melakukan kerja-kerja amal.
"Minat tersebut yang merapatkan kami untuk merangka pelbagai aktiviti amal sama ada di dalam mahupun di luar negara. Setiap aktiviti akan diuar- uarkan di laman Facebook Our Touch dan kami akan berkomunikasi antara satu sama lain secara maya," katanya.
Wan Salleh bersama rakan-rakan sukarelawan lain tidak sabar untuk turut serta dalam Kejut Sahur Project yang akan diadakan pada 27 Julai ini di sebuah rumah anak-anak yatim di Selayang.
"Kami berharap dengan sedikit sumbangan yang diberikan kepada golongan kurang bernasib baik dapat meringankan beban mereka untuk meraikan Aidilfitri nanti," ujarnya sambil mengalu-alukan orang ramai mendermakan lebih banyak kuih raya bagi menjayakan #KuihRayaProject.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: