
DARI kiri: Raja Rosly bersama isteri Datin Ramziah Samah menunjukkan seleksi lauk-pauk tradisi di Restoran Warisan Pak Engku.
MUZIK 1950-an berkumandang di dalam restoran tersebut. Bagi tetamu muda, lagu-lagu yang diputarkan di Restoran Warisan Pak Engku mungkin asing pada pendengaran mereka. Namun pengunjung warga emas pasti terhibur dengan seleksi muzik klasik yang didendang.
Pinggan mangkuk motif flora turut mengimbau kenangan kehidupan desa. Konsep tradisional Melayu asli yang dibawa restoran itu ternyata memberi pengalaman indah kepada pengunjung sepanjang bulan Ramadan ini.
“Hampir 80 peratus makanan yang kami sajikan berunsurkan hidangan tradisi termasuk petai, jering dan keladi. Selebihnya kami tawarkan makanan gabungan moden dan lama bagi memenuhi selera pelancong asing,” kata Pengarah Urusan Restoran Warisan Pak Engku, Datuk Raja Rosly Raja Mazlan.
Restoran ini menyajikan 120 masakan membabitkan pelbagai menu tradisi. Hidangan popular seperti daging dendeng dan udang masak cendawan sering menjadi permintaan.
Variasi pencuci mulut yang terdiri daripada kuih-muih Melayu tradisional seperti apam balik, putu bambu, lepat, lopes, getas, keria dan dangai menunjukkan betapa kayanya masyarakat kita dengan makanan yang lazat.
Sejajar dengan bulan Ramadan, Warisan Pak Engku yang terletak di Dataran Merdeka itu turut membuka gerai barbeku di bahagian luar restoran. Demonstrasi masakan juga dijangka dijalankan sepanjang bulan puasa ini sebelum masuk waktu berbuka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: