|
SETELAH muncul buat kali pertama kira-kira dua tahun lalu, kumpulan Elecoldxhot sekali lagi menakluk pentas tarian program realiti Showdown apabila menjadi pilihan penonton untuk muncul sebagai pemenang Showdown 2013.
Kejayaan tersebut diraih selepas mereka menewaskan sebuah lagi kumpulan iaitu Katoon Network dalam satu persaingan battle yang cukup sengit dalam perebutan gelaran juara kategori All Star.
Sebelum itu, untuk kategori Terbuka, kumpulan 5=1 muncul juara apabila menewaskan Inversion dalam saingan battle, manakala dalam kategori Junior, Walawei menyingkirkan Fresh Unity Crew.
Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul berkata, pihaknya gembira apabila pembaharuan yang dilakukan pada musim ini diterima oleh peminat setia rancangan ini.
“Showdown 2013 merupakan Showdown musim yang keempat. Kami telah mengambil keputusan untuk melakukan pembaharuanseperti memperkenalkan tiga kategori iaitu All Star, Terbuka dan Junior.
“Ternyata dengan penampilan tiga kategori ini, penyertaan yang diterima semakin meningkat berbanding tiga musim lepas. Ramai yang suka dengan konsep sebegini,” ujarnya pada satu sidang akhbar selepas acara berakhir.
Menurut Airin, pihaknya turut berbangga dengan 10 kumpulan yang bertanding pada saingan akhir kerana telah mereka menunjukkan kesungguhan dan prestasi yang sangat membanggakan.
“Saya percaya dengan kebolehan para peserta. Ini menunjukkan mereka mampu bersaing sekiranya berpeluang bertanding di peringkat antarabangsa pula,” ujarnya.
Sementara itu, Ooi Kok Wei selaku wakil Elecoldxhot meluahkan kegembiraan atas kemenangan yang diraih dan merasakan penyertaan mereka dalam program tersebut buat kali kedua sangat berbaloi.

DALAM emosi. Elecoldxhot berasa cukup terharu dengan kemenangan mereka dalam Showdown 2013 menerusi kategori All Star.
Menurut Kok Wei, kejayaan itu bakal merealisasikan impian mereka untuk menyertai pertandingan World Hip Hop Dance Championship 2013 yang akan berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) pada bulan hadapan.
“Untuk menyertai sesebuah pertandingan di luar negara, sudah tentu ia memerlukan kos yang sangat besar. Namun begitu, kemenangan kami ini telah membuka peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa.
“Memandangkan pertandingan itu akan berlangsung dalam tempoh sebulan lagi, kami perlu berlatih dari sekarang. Kami berharap dapat mengharumkan nama Malaysia di luar negara,” jelasnya.
Elecoldxhot yang muncul sebagai juara membawa pulang hadiah wang tunai RM75,000 serta tambahan RM125,000 untuk perbelanjaan menjalani latihan atau menyertai pertandingan tarian di luar negara.
Bagi Katoon Network yang sekadar berpuas hati sebagai naib juara, tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000.
Barisan juri yang mengadili pertandingan tersebut ialah Maple Loo dan Joe Flizzow dari Malaysia serta empat juri antarabangsa iaitu Ynot, Junior Boogaloo, Bboy Full Deck, Jay Smooth (AS), Sheena Vera Cruz (Filipina) dan Prepix Haw (Korea Selatan).
Kali pertama
Dalam kategori Terbuka pula, 5=1 yang dinobatkan sebagai juara mengakui mereka langsung tidak menyangka akan menang pertandingan itu berdasarkan persaingat yang sangat sengit.
Ketua 5 =1, Jakson Yap Tak mengakui mereka terpaksa berusaha lebih keras memandangkan perlu bersaing dengan tiga buah kumpulan lagi yang turut menampilkan persembahan yang mengagumkan.
“Ini merupakan kali pertama kami menyertai pertandingan tarian seperti Showdown 2013. Jadi, pengalaman itu pastinya agak kurang dan itu yang membuatkan kami lebih gigih semasa berlatih.
“Lagipun matlamat utama kami menyertai pertandingan ini bukanlah semata-mata mahu menang, sebaliknya kami ingin menimba lebih banyak pengalaman. Komen-komen juri juga banyak membantu kami untuk memperbaiki lagi teknik tarian,” jelasnya.
5=1 berentap dengan kumpulan Inversion dalam saingan battle kategori Terbuka.
Tidak dinafikan kedua-dua kumpulan tersebut menampilkan persembahan yang cukup bertenaga, tetapi undian daripada para penonton lebih memihak kepada 5=1.
Dengan kemenangan tersebut, 5=1 berjaya meraih hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 serta tambahan RM50,000 untuk perbelanjaan kumpulan tersebut menyertai pertandingan atau latihan tarian di luar negara, manakal Inversion sekadar meraih hadiah wang tunai RM20,000.

AKSI hebat Katoon Network yang merupakan pesaing terdekat Elecoldxhot.
Masa terhad
Persaingan untuk kategori Junior pula ternyata tidak kurang hebatnya apabila tiga kumpulan iaitu Walawei, Fresh Unity Crew dan Stay Cool berentap merebut gelaran juara.
Menariknya, rata-rata peserta yang bersaing dalam kategori ini terdiri daripada pelajar sekolah, tetapi aksi yang ditampilkan cukup menarik dan menghiburkan penonton.
Sebaik sahaja persaingan berakhir, Walawei muncul pemenang dan berhasil membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000, manakala Fresh Unity Crew memenangi RM5,000 selaku naib juara.
Muhammad Nabil D’Zulkefli yang mewakili kumpulan Walawei berkata, kemenangan yang diraih mereka ternyata sangat berbaloi dengan usaha yang dilakukan sepanjang menyertai Showdown 2013.
“Antara cabaran getir yang terpaksa kami harungi adalah masa yang terhad untuk menjalani latihan memandangkan kami masih bersekolah. Biasanya kami cuma sempat berlatih selama beberapa jam selepas sesi persekolahan.
“Namun begitu, penyertaan kali kedua dalam pertandingan ini selepas mencubanya tahun lalu tidak sia-sia. Sebenarnya kami agak gementar kerana Fresh Unity Crew memberikan saingan yang begitu sengit,” jelasnya.
Sementara itu, Maple Loo yang mewakili barisan juri pada malam tersebut mengakui agak sukar membuat pilihan kumpulan yang layak beraksi pada saingan battle.
Menurutnya, bermula dari peringkat awal lagi semua peserta telah menunjukkan aksi tarian yang memukau dan juri terpaksa membuat pilihan tepat dengan hanya memilih yang terbaik.
“Apabila menyaksikan aksi tarian yang dipersembahkan saingan terakhir ini, kami boleh katakan bahawa penari di Malaysia mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: