Friday, July 12, 2013

2,300 pelancong dipindahkandi Taiwan akibat taufan Soulik



IMEJ satelit yang dikeluarkan semalam menunjukkan taufan Soulik semakin kuat dan dijangka melanda kawasan utara Taiwan dalam tempoh 72 jam lagi.



TAIPEI - Pihak berkuasa Taiwan memindahkan kira-kira 2,300 orang pelancong semalam dari Pulau Hijau, dekat bandar Taitung berikutan kawasan utara negara itu diramal dilanda oleh ribut taufan Soulik.
Taiwan turut mengeluarkan amaran kepada kapal-kapal yang belayar di kawasan utara dan timur Taiwan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Taufan Soulik dengan kelajuan angin mencecah 227 kilometer sejam (km/j) dikatakan berada pada jarak 960 kilometer di timur pulau tersebut, jelas Biro Pusat Cuaca Taiwan.
Ia bergerak menuju ke arah selatan Taiwan pada kelajuan 22km/j dan dijangka melanda bahagian utara negara berkenaan pada lewat malam ini atau pagi Sabtu.
"Orang ramai perlu lebih berhati-hati kerana taufan ini membawa angin kencang dan hujan lebat," kata seorang kakitangan ramalan kaji cuaca.
Badan pemantau Hong Kong mengklasifikasikan Soulik sebagai 'taufan super'. Sementara biro cuaca Taiwan menyifatkannya sebagai 'taufan yang kuat.'
Pihak berkuasa China pula mengekalkan amaran tahap oren. Selepas melanda atau melewati Taiwan, taufan Soulik akan menuju ke arah kawasan pantai Zhejiang dan Fujian, China.
Pada tahun 2009, taufan Morakot membunuh kira-kira 600 orang di Taiwan, kebanyakannya tertimbus akibat tanah runtuh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: