Monday, February 11, 2013

Terompah cara Giman

TEROMPAH sekadar hobi bagi Giman pada mulanya kini menjadi sumber rezeki yang agak lumayan.


BUKAN semua orang boleh bermain dengan seni halus dan dunia pertukangan jika tidak kena gurunya.
Syarat pertama perlu ada keazaman, syarat kedua perlu ada usaha tetapi itu pun belum cukup.
Bagi Giman Wakiran, 54, seni pertukangan tidak asing baginya sejak di bangku sekolah lagi.
Bak kata pepatah, belakang parang kalau diasah lagikan tajam. Dia berjaya mengeksploitasi barangan kayu menjadi rak kasut, set perabot dan meja.
Inginkan satu kelainan, lelaki eksentrik ini berjaya menghasilkan produk berasaskan kayu yang biasa dikenali sebagai terompah.
Giman memberi nafas baharu kepada terompah yang selama ini hanya berwarna merah dan bertali hitam.
"Mulanya sekadar suka-suka tetapi mula serius sejak empat tahun lalu," katanya ketika ditemui kru Jurnal Jumaat lalu.
Bertempat di Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor lelaki ini teruja menceritakan keunikan Terompah Mastor.
Bapa kepada 13 anak ini menambah, kebanyakan terompah hasil tangannya dihias dengan corak menarik manakala warna ceria menjadikan ramai yang tertarik dengan keunikan barangan tersebut.
"Mulanya sekadar cenderamata kepada rakan-rakan dan pembesar-pembesar negeri.
"Saya cuba melarikan imej terompah yang berwarna merah dengan warna dan corak mengikut minat semasa seperti corak bermotif flora, gambar-gambar motosikal dan kereta," katanya.
Tutur Giman, setakat ini sambutan yang diterima cukup menggalakkan sebaik sahaja produk dipromosi anaknya melalui laman web dan media sosial Facebook.
"Sehingga ada rakyat negara lain seperti Australia, Belanda, Jepun dan Korea Selatan membelinya melalui internet," katanya.
Mansor ditanya mengenai stigma pemakaian selipar yang boleh menyebabkan seseorang tergelincir atau jatuh.
"Setakat ini jarang saya dengar individu terjatuh disebabkan terompah cuma sepatu itu terlucut daripada pergelangan kaki kerana permukaan tapaknya yang licin.
"Tetapi, permukaan tapak bawahnya akan menjadi kasar apabila kerap digunakan menjadikannya lebih stabil. Tetapi, jika sudah terlalu haus buangkan sahaja beli yang baharu," kata Giman sambil ketawa.
Tambah Giman, tidak sukar untuk menghasilkan terompah kerana dia hanya menggunakan kayu batang pokok durian dan getah.
Katanya, dia boleh menghasilkan sepasang terompah dalam masa 15 minit.

HARGA sepasang Terompah Mastor RM35 hingga RM45.


"Mulanya, saya akan mereka coraknya dengan kertas ataupun grafik berkomputer. Selepas itu memotong blok kayu berbentuk empat segi kepada bentuk terompah.
"Kemudian talinya menggunakan getah atau kulit. Proses corak bahagian sarung serta lapisan atasnya hanya menggunakan pelekat khas.
Setakat ini, lebih 1,000 terompah dihasilkan setiap bulan untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam dan luar negara.
"Saya juga sedang bekerjasama dengan seorang doktor di Jeli, Kelantan menghasilkan terompah yang mempunyai nilai kesihatan untuk tubuh seseorang terutamanya di bahagian tapak kaki," ujarnya.
Sepatu wajib
Selain itu, Giman yang gemar memakai terompah untuk menghadiri program rasmi, kenduri-kendara, surau, masjid dan Hari Raya Aidilfitri ingin menghasilkan sepatu yang menggunakan plastik sebagai medium utama.
"Harga sepasang terompah yang dijual sekitar RM35 hingga RM45, mungkin terompah plastik boleh dijual kurang RM10.
"Saya inginkan semua orang mampu membeli kasut ini dan mengembalikan budaya tradisional yang semakin terhakis ini," terangnya jujur.
Tutur Giman lagi, dia turut memperkenalkan Tarian Terompah.
Tarian Terompah merupakan salah satu daripada tarian yang digarap daripada kehidupan seharian masyarakat lama.
Diadaptasi daripada pergerakan kaki menggunakan terompah yang mengeluarkan bunyi dengan hentakan kaki si penari.
Pemakainya mengenakan baju Melayu Johor bagi lelaki manakala wanita kebiasaannya baju kebaya sambil menari diiringi muzik terhasil daripada paluan gambus, rebana, gendang dan rebab.
Tempoh tarian ialah selama 10 hingga 15 minit.
Obses Giman bukan sekadar menghasilkan terompah tetapi mewajibkan pemakaian kasut itu semasa keluarganya mengunjungi sanak saudara dan rakan-rakan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan semasa menghadiri kenduri-kendara.

TEROMPAH Mastor mengambil masa 15 minit untuk disiapkan.


Menunggang motosikal
"Bukan apa, saya harus menunjukkan contoh kepada orang lain. Jika pembuatnya sendiri tidak mencuba, apatah lagi orang lain.
"Syukur kerana anak-anak dan menantu dapat menerimanya dengan baik," katanya.
Lelaki ini juga sering memakai topi dan terompah semasa menghadiri majlis rasmi sehingga menjadi 'trademark' jika individu lain ingin mengenalinya dengan lebih dekat.
"Jika memandu kereta Mercedes E280 sekalipun saya akan memakai terompah termasuk menunggang motosikal jenis Harley-Davidson.
"Penduduk di Simpang Renggam sudah kenal dan biasa dengan keadaan sebegitu.
"Namun saya sering memakainya jika ke surau atau masjid," tambahnya.
Dia juga pernah ditegur oleh kakitangan sebuah hotel di Kuala Lumpur kerana bunyi bising terompah yang dipakainya semasa ingin keluar minum di gerai makanan.
"Kakitangan itu memberitahu perbuatan itu mengganggu tetamu hotel tetapi sebaik sahaja saya mengatakan ingin berjumpa dengan pengurusnya dia agak cuak.
"Namun, sebaik sahaja berjumpa dengan pengurus tersebut dia mengatakan bagus kerana saya masih mengekalkan nilai-nilai tradisional penduduk negara ini," jelasnya.
Terompah Mansor juga digunakan beberapa hotel di Johor menggantikan selipar untuk ke tandas dan bilik air bagi kegunaan tetamu.
Dia juga berharap terompah yang dahulunya semakin tidak dikenali mula mendapat sambutan kembali dan menjadi salah satu produk untuk sektor pelancongan negara.
"Bukan sekadar rekaan saya tetapi juga pembuat yang lain kerana sesuai untuk semua golongan, bangsa dan keturunan di seluruh dunia," katanya pengakhir bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: