|
GADIS ini baru sahaja menginjak umur 15 tahun namun suara Malala Yousafzai cukup lantang dalam memperjuangkan hak pendidikan dalam kalangan wanita, terutamanya di kawasan tempat tinggalnya di Lembah Swat yang menjadi pusat aktiviti Taliban di utara Pakistan.
Keberaniannya itu pernah memakan diri apabila dia ditembak di leher dan kepala oleh pejuang Taliban dalam satu cubaan membunuhnya pada 9 Oktober lalu.
Ketika kejadian, Malala sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah sebelum anggota Taliban menahan bas yang dinaikinya.
Akibat daripada insiden itu, Malala tidak sedarkan diri selama berhari-hari. Bagaimanapun, nasibnya baik kerana dia mendapat rawatan intensif daripada sekumpulan pakar perubatan tempatan dan antarabangsa.
Selepas peluru yang menembusi kepalanya berjaya dikeluarkan oleh pakar bedah di Pakistan, anak sulung daripada tiga beradik ini diterbangkan ke Hospital Queen Elizabeth, di Brimingham, Britain untuk menjalani beberapa siri pembedahan dan rawatan rapi.
Keadaannya beransur pulih selepas menjalani pembedahan memasang plat titanium di tengkoraknya pada Januari lalu.
Malala mula mendapat perhatian masyarakat dunia selepas muncul dalam media antarabangsa, mengutuk tindakan Taliban yang mengharamkan pendidikan ke atas wanita di kebanyakan kawasan pergunungan di wilayah utara Pakistan pada Januari 2012.
Tak endah
Malala sekeluarga tidak mengendahkan amaran itu malah dia masih pergi ke sekolah setiap hari dan bermain dengan rakan-rakannya di padang sekolah.
Bukan sekadar itu, dia juga tegas menyatakan pendiriannya terhadap hak pendidikan wanita dalam satu temu bual bersama CNN pada tahun 2009.
“Saya ada hak untuk belajar, bermain dan menyanyi. Saya juga ada hak untuk ke pasar.
“Saya tidak perlu takut menentang pihak yang menyekat hak saya dan kawan-kawan,” ujarnya yang fasih berbahasa Inggeris.
Sementara itu, menurut seorang wartawan New York Times yang pernah menemubualnya pada tahun 2009, Adam Ellick, Malala bukan budak perempuan biasa.
“Saya boleh melihat karakter berbeza dalam dirinya. Dia seorang remaja yang riang, anak yang sangat patuh kepada ibu bapanya dan kakak yang bersifat pelindung terhadap adik-adiknya.
Suka aiskrim vanila
“Dia suka membaca novel cinta, menonton sitkom Amerika dan menggemari aiskrim vanila.
“Namun dalam masa yang sama, Malala adalah seorang pejuang hak asasi manusia yang cukup saya kagumi. Walaupun umurnya masih mentah, dia tahu kemelut yang berlaku di sekelilingnya.
“Percakapannya persis orang dewasa. Walaupun masih remaja tetapi dia seorang gadis berani.
Malala tidak gentar bercakap di dalam mesyuarat berprofil tinggi ataupun duduk di meja rundingan dengan orang sebaya bapanya.
“Andainya dia merasakan haknya dinafikan, dia tidak berdiam diri. Malala sebaliknya tegas mempertahankan hak tersebut, bukan sahaja untuk kepentingan dirinya tetapi juga sebagai suara yang mewakili rakan-rakan dan golongan wanita secara amnya,” jelas Ellick yang pernah merakamkan dokumentari berkisar kehidupan kanak-kanak Pakistan di bawah kuasa Taliban.
Tambah Ellick, karakter Malala banyak dipengaruhi bapanya, Ziauddin Yousafzai yang merupakan penyair yang juga pemilik sekolah swasta.
“Biarpun usianya masih muda, persekitaran menjadikan dia mampu berfikiran jauh lebih matang daripada usia sebenarnya.
“Malala seorang yang komited terhadap pelajaran. Dia juga gadis yang idealis.
“Selain suka ke sekolah, dia juga akan pastikan waktu petangnya dihabiskan dengan mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan.
“Kalau terserempak dengannya di jalanan, begnya sentiasa penuh dengan buku,” ujar Ellick.
Pernah sekali Ellick bertanya dengan Malala, puak Taliban berjuang dengan senapang dan bom, sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa. Jawab Malala:
“Saya akan gunakan al-Quran dan beritahu tindakan mereka menidakkan hak pendidikan itu tidak betul. Ini kerana, tidak ada satu ayat pun dalam al-Quran yang mengharamkan wanita daripada menuntut ilmu.”
Jadi presiden
Malala juga ditanya, apa yang akan dilakukan sekiranya dia dilantik sebagai Presiden Pakistan, Malala menjawab: “Saya akan beritahu Taliban bahawa wanita ada hak untuk belajar.”
Menurut statistik yang dikeluarkan Pejabat Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR), antara 2007 hingga 2009, tentera Taliban telah menutup sebanyak 172 sekolah di Pakistan.
Akibat pengharaman hak pendidikan itu, seramai 23,000 pelajar terpaksa berhenti bersekolah.
“Sejak pelajar perempuan diharamkan bersekolah, ramai ibu bapa di kawasan ini mengambil keputusan untuk berpindah demi memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk bersekolah di tempat lain.
“Di sekolah saya, jumlah pelajar semakin lama semakin sedikit. Daripada ratusan pelajar, kini hanya tinggal 11 orang sahaja.
“Kebanyakan ibu bapa terpaksa mengurung dan menyuruh anak gadis mereka membaca dan menelaah pelajaran di rumah.
“Saya tidak faham mengapa Taliban mengharamkan pendidikan.
“Mereka bukan sahaja menutup sekolah, bahkan sekolah kami turut dimusnahkan.
“Ini abad ke-21, zaman di mana orang berlumba-lumba mencari ilmu. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana ada orang boleh hidup tanpa pendidikan, ” ujar Malala penuh matang.
Hadiah Nobel
Selain lantang bersuara di media, gadis bermata bundar ini juga menyuarakan pendiriannya itu melalui blognya yang banyak menceritakan dengan kehidupannya sebagai gadis Pakistan.
Menulis dalam bahasa Urdu di blognya, Malala menegaskan, setiap kanak-kanak berhak untuk belajar, tanpa mengira lokasi mereka berada.
“Kalau saya punya kuasa ajaib, saya akan pastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan terbaik, walau apa pun keadaan mereka.
“Saya juga mahu berkhidmat untuk orang ramai. Kalau Taliban menganggap kelantangan saya ini satu bentuk keingkaran, saya tidak kisah. Saya hanya jalankan tanggungjawab kepada Allah.
“Taliban buat hidup kami susah. Saya reda kalau ditakdirkan mati di tangan mereka. Mungkin tidak ada lagi kematian yang lebih baik selain mati dalam memperjuangkan hak yang selama ini dinafikan.
“Kesihatan saya bertambah baik. Allah makbulkan doa anda semua.
“Selepas benar-benar sembuh, saya akan berkhidmat untuk masyarakat,” ujar Malala.
Kisah hidup dan perjuangan Malala membuka mata banyak pihak. Dia juga mengambil inisiatif menubuhkan Yayasan Malala yang memperjuangkan hak pendidikan dalam kalangan kanak-kanak perempuan.
Selain menjadi inspirasi bagi kanak-kanak yang berada di negara bergolak, semangat Malala juga turut menarik perhatian selebriti seperti Angelina Jolie dan Tina Turner bergabung untuk menyokong usaha murni Malala.
Rentetan daripada penubuhan yayasan berkenaan, Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari dan Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berjaya mengumpulkan dana berjumlah AS$10 juta (RM31 juta) untuk merealisasikan hasrat Malala yang mahukan semua kanak-kanak perempuan dimasukkan ke sekolah pada tahun 2015.
Kesungguhan gadis ini turut menarik perhatian ramai pemimpin negara-negara asing. Malah nama Malala Yousafzai turut dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan 2013.
Malah, ketika Malala mendapatkan rawatan di Britain, lebih 30,000 orang menandatangani petisyen sebagai sebahagian daripada usaha global oleh pejuang hak-hak wanita yang mahu gadis tersebut diberi pengiktirafan bertaraf dunia.
Selain di Britain, kempen yang sama turut diadakan di Kanada, Perancis dan Sepanyol.
Di bawah peraturan Jawatankuasa Nobel, hanya tokoh seperti ahli-ahli perhimpunan-perhimpunan kebangsaan dan negara boleh dicalonkan.
Setakat ini, Malala adalah calon penerima Hadiah Nobel Keamanan termuda dalam kalangan wanita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: