Friday, February 15, 2013

Perdagangan komoditi eksotik



KELIHATAN kain rentang Sate Kobra dengan gambar ular tedung mengembangkan kepala terpampang di sebuah gerai menjual sate ular tedung di Mangga Besar, Jakarta, Indonesia. Gerai tersebut hanya dibuka pada sebelah malam dan di tepi gerai itu terdapat sebuah sangkar yang dipenuhi ular tedung.
Seorang pelanggan memesan seekor ular lalu peniaga berkenaan mengambil penyepit untuk menyepit kepala ular tedung yang cuba melawan.
Kepala ular itu dipenggal dan darahnya dimasukkan ke dalam cawan. Kulit ular kemudiannya disiat dan perutnya dibelah bagi mendapatkan hempedu dan sum-sum tulang. Hempedu dan sum-sum tulang itu turut dicampur bersama-sama dengan darah ular berkenaan. Daging ular kemudiannya dipotong kecil-kecil dan digaul dengan rempah sebelum dicucuk dengan lidi serta dibakar.
Di sebuah lagi wilayah di Indonesia, Yogyakarta, terdapat restoran yang menjual burger dengan menambahkan daging ular terutamanya ular tedung di dalamnya.
Mengikut kepercayaan sesetengah orang memakan daging, meminum darah dan hempedu ular dikatakan baik untuk kesihatan, melancarkan pengaliran darah dan menguatkan tenaga batin lelaki.
Industri fesyen
Bagaimanapun, selain diburu untuk dagingnya, kulit ular amat bernilai dalam industri fesyen dunia. Kulit ular sawa contohnya mempunyai corak dan warna yang cantik mendapat permintaan tinggi di Eropah.
Portal di India, Bihar Times melaporkan label fesyen terkenal seperti Jimmy Choo, Donna Karan, Mulberry, Gucci, Prada, Roberto Cavalli serta Yves Saint Laurent menggunakan kulit ular untuk menghasilkan baju, kot, beg dan kasut.
Pereka fesyen, Erdem Moralioqlu serta Proenza Schouler contohnya memperagakan pakaian dan beg daripada kulit ular sawa yang eksotik sebagai koleksi musim panas 2013.
Hermes, Gucci dan Prada merupakan pelanggan utama kulit ular sawa kerana mendominasi hampir 75 peratus daripada nilai dagangan barangan tersebut, lapor Pusat Perdagangan Antarabangsa (UTC) iaitu anak syarikat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WHO).
Eksport Asia Tenggara
BBC melaporkan dalam industri kulit ular lebih setengah juta kulit ular sawa dieksport setiap tahun dari Asia Tenggara sahaja membabitkan nilai lebih RM3 bilion.
Insentif lumayan yang diberikan kepada penangkap-penangkap ular menyebabkan semakin ramai yang masuk ke hutan mencari ular.
Di Indonesia, penangkap ular di kampung-kampung boleh mendapat sehingga RM90 untuk kulit ular yang besar.
KULIT ular sawa sangat berkualiti dan mempunyai nilai pasaran tinggi dalam dunia fesyen.


Namun, apa yang lebih tragis label fesyen mengaut keuntungan lebih besar apabila kulit ular itu berakhir menjadi beg di butik-butik fesyen di Perancis atau Itali pada harga sehingga RM40,000.
Permintaan kulit ular paling tinggi bagi kulit berukuran tiga hingga empat meter panjang.
Bagaimanapun, untuk membendung perdagangan ular sebagai satu komoditi agak sukar ekoran penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Selain itu, kulit-kulit itu dieksport secara haram dan terselindung di sebalik kargo-kargo yang mempunyai label barangan lain.
"Ia bergantung kepada pihak berkuasa tempatan untuk menguatkuasakan undang-undang. Kekurangan dana, tenaga pekerja dan kepakaran menyukarkan usaha tersebut.
"Adakalanya, ada pihak berkuasa tempatan yang tidak mengambil peduli tentang penyeludupan itu," kata Olivier Caillabet pengarang bersama, Pusat Perdagangan Antarabangsa kepada BBC.
Implikasi negatif
Cara ular-ular tersebut ditangkap di habitat asalnya juga boleh membawa implikasi negatif kepada ekosistem dunia. Ular sawa di habitatnya memerlukan masa yang agak lama untuk membesar dan penangkapan secara berleluasa pasti membawa implikasi tidak baik kepada alam semula jadi.
Dilaporkan pada tahun 2005, lebih 350,000 kulit ular terutamanya spesies ular sawa diimport secara sah oleh negara-negara Eropah.
Berdasarkan rekod tahun 1985 hingga 1998, Indonesia mengeksport lebih 4.5 juta ular sawa sama ada ular yang masih hidup atau kulit sahaja.
Di negara-negara seperti Vietnam, Indonesia, Thailand, New Zealand, Sri Lanka, India dan Filipina, ular yang ditangkap di habitat asalnya berusia antara tiga hingga empat tahun. Ular tersebut turut dieksport ke Amerika Syarikat, Eropah, Kanada dan China.
Penangkap ular

PELAPAH memaku atau menggantung ular bagi memudahkan kulitnya disiat dari badan.


Menurut laporan Daily Mail pula, untuk mengaut keuntungan daripada industri berkaitan ular di Indonesia, ia bergantung kepada kumpulan penangkap ular.
Kumpulan-kumpulan itu bergerak di dalam kawasan semak, hutan atau padang rumput dengan memasang jerat atau jaring.
Ular-ular yang ditangkap disimpan di dalam beg kanvas dan dijual kepada pelapah-pelapah kulit ular tradisional.
Di negara tersebut dianggarkan terdapat 175,000 individu terbabit dalam industri berkenaan dengan 150,000 merupakan penangkap ular.
Bakinya merupakan pelapah kulit ular dan agen-agen penjual ular antarabangsa. Laporan itu dikeluarkan oleh Pertubuhan Perdagangan Amfibia dan Reptilia Indonesia.
Penangkapan, membunuh atau memperdagangkan reptilia tersebut di India adalah salah di sisi undang-undang negara berkenaan sejak pengenalan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. Namun, hakikatnya ia masih gagal menurunkan secara drastik penangkapan dan pembunuhan ular.
Ramai orang mendakwa mereka menggunakan kulit daripada ular yang bersalin kulit dan tidak membabitkan pembunuhan reptilia tersebut.
Namun, Bihar Times menegaskan ular hanya bersalin kulit beberapa kali sepanjang hidupnya.
Semasa bersalin kulit, ular menggosokkan kulit lama di permukaan kasar. Warna kulit lama itu pudar, kering, nipis dan tidak sesuai untuk dijadikan apa-apa produk. Ular mesti mati, jika hendak dapatkan kulitnya, tegas Bihar Times.
Aktivis haiwan
Aktivis haiwan telah lama berkempen membantah penggunaan kulit ular dalam industri fesyen. Daily Mail melaporkan, aktivis menyatakan penggunaan kulit ular tidak berperikemanusiaan dan tidak terkawal.

SEKUMPULAN pekerja menggunakan gunting untuk melapah ular di sebuah pusat reptilia eksotik itu di Cirebon, Indonesia.


Clifford Warwick, seorang pakar reptilia Britian berkata: "Industri kulit telah menjadi satu fesyen ketika ini. The Vogue memasukkannya dalam majalah dan ia kelihatan menarik."
Selebriti seperti Kylie Minogue pernah dirakam fotonya memegang beg kulit ular sawa berwarna emas jenama Zagliani berharga RM7,000 di London pada tahun 2007.
Warwick berharap selebriti perlu berfikir dua kali ketika ingin membeli beg kulit seumpama itu kerana produk tersebut dihasilkan daripada kulit ular.
Ramai juga aktivis yang mempertikaikan kekejaman terhadap reptilia tersebut terutamanya ketika proses melapah.
"Pelapah ular tidak memenggal kepala ular yang bersaiz besar, jadi mereka memaku reptilia itu ke pokok. Kemudian, mereka memasukkan saluran paip ke mulut ular dan menyebabkan badan ular kembang seperti belon sekali gus memudahkan kulit disiat.
"Selepas itu, badan ular dibuang ketika ia masih hidup. Ular itu menderita sehingga dua hari sebelum mati," katanya.
Meskipun terdapat dakwaan hanya ular yang diternak digunakan, para pakar mengingatkan bahawa penyeludupan kulit ular haram semakin berleluasa termasuk di Asia Tenggara.
Warwick menegaskan, ular tersebut bukanlah diternak. Ular sepanjang tiga meter mengambil masa sehingga lima tahun untuk sebesar itu. Tidak mungkin, petani mampu menjaga dan memberi makan dalam tempoh masa tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: