Friday, February 15, 2013

Kecil dan mudah dibawa



PENANGAN kek balang atau kek jar mencetuskan fenomena baharu terutama dalam industri pembuatan kek ketika ini kerana keunikan kek yang berada di dalam balang kecil.
Selain keenakan rasanya, ia juga mudah dibawa sehingga menjadi pilihan ramai terutama dalam kalangan penggemar kek.
Melihat kepada senario itu, ia turut memberi nafas baharu kepada pengusaha-pengusaha kek untuk membuat kek di dalam balang.
Tidak terkecuali, pasangan suami isteri Rosazliza Ramli, 34, dan Ahmad Nazrol Hud, 35, yang turut mengusahakan kek tersebut.
Rosazliza berkecimpung dalam dunia pembuatan kek sejak tiga tahun lalu, namun kehadiran kek balang tidak disedari sehingga salah seorang pelanggan memintanya untuk membuat kek dalam bekas balang kaca. Dia yang mula belajar membuat kek berkenaan kira-kira sebulan lalu mengakui tertarik apabila diberitahu mengenai keunikan kek tersebut.
Bakar dahulu baru isi
Pada mulanya, akui Rosazliza, dia sendiri tidak tahu cara-cara menghasilkan kek tersebut dalam balang. Namun, itu tidak menghalangnya untuk mempelajari sesuatu yang baharu.
Justeru, dia mempelajari selok-belok membuat kek itu menerusi internet.
Bertutur lanjut mengenai pengalaman pertamanya, ibu kepada tiga orang anak itu memberitahu, cara-cara yang diajar menerusi kebanyakan pengusaha kek meletakkan terus adunan kek ke dalam balang lalu membakarnya.
“Ia mudah memandangkan proses membuat kek tersebut adalah seperti biasa iaitu mengadun bahan-bahan yang terdiri daripada tepung, keju, gula lalu membakarnya.
“Sebelum membakarnya, kesemua balang perlu diletakkan di dalam loyang yang diisi dengan air lalu masukkannya dalam ketuhar,” katanya sambil menyifatkan ia umpama seperti mengukus kek.
Bagaimanapun, tambahnya lagi, kaedah itu dilihat sukar kerana untuk menghasilkan corak di dalam itu bukan kerja yang mudah.
Cara tersebut akan menyebabkan ukiran yang dihasilkan dalam balang kecil itu akan menjadi comot.
KEK balang juga sesuai dijadikan kek hari jadi dengan hiasan tambahan seperti lilin di atasnya.


Justeru, dia yang kreatif dalam pembuatan corak mengambil inisiatif sendiri untuk mencipta resipi terbaharu dengan membakar adunan kek terlebih dahulu.
Sejurus itu, dengan menggunakan acuan bulat dan kecil mengikut bentuk balang, anak jati Taiping, Perak itu memberitahu, dia akan masukkan kek yang telah siap dibakar itu secara berperingkat.
Kaedah itu membantunya untuk menghasilkan pelbagai corak dalam balang kecil tersebut.
“Ia lebih mudah dan apa yang penting saya boleh mengukir pelbagai jenis corak yang menarik dalam ruang balang yang kecil itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Taman Seri, Meru, Klang, Selangor.
Wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu menyifatkan selain cara penghasilannya yang remeh, kek balang memerlukan seseorang kreatif bagi penghasilan corak yang cantik dan kemas.
Menurutnya lagi, sesiapa sahaja boleh menghasilkan kek balang tetapi untuk menaikkan seri dalam balang itu bukan mudah. Ia memerlukan seseorang lebih kreatif dalam bermain dan mencuba pelbagai jenis corak.
Mengulas lanjut mengenai kek berkenaan, ujar suri rumah itu, dia menghasilkan empat jenis kek seperti red velvet, oreo cheese, kek pelangi dan kek keju durian.
Dia juga menyarankan kek yang diperbuat daripada keju dan krim disimpan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan mudah rosak.
Begitupun, satu balang kek itu yang boleh dinikmati oleh dua orang boleh bertahan lebih seminggu.

MEMASUKKAN krim ke dalam balang merupakan tugas yang sukar kerana ia mudah menyebabkan balang comot.


Kesemua kek itu dijual pada harga RM8 hingga RM12, tetapi harganya bergantung kepada jenis kek dan gubahan balang itu yang terdiri daripada reben dan bunga.
Kek tersebut juga sesuai dijadikan hantaran, majlis hari jadi, ole-ole untuk tetamu dan banyak lagi.
Tidak menang tangan
Pasangan suami isteri tersebut mengakui disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan pelanggannya, ia membuka lebih rezeki mereka.
“Sejak mengusahakan kek itu, saya mendapat tempahan sehingga 2,000 balang. Saya tidak sangka sampai begitu banyak tempahan. Namun, mujur suami, anak-anak dan adik-beradik membantu untuk menyiapkan tempahan,” katanya yang tidak mengupah pekerja kerana menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.
Sejak jumlah pelanggan meningkat dan permintaan terhadap kek balang berganda, operasi membuat kek balang dijalankan dengan penuh teliti.
“Saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada kesemua pelanggan. Walaupun terpaksa mengambil masa selama tiga hari (jika tempahan banyak) saya menggunakan ruang masa dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya, hasil kerja perlu kemas dan bersih, barulah pelanggan berpuas hati,” ujarnya sambil memberitahu kek tersebut turut menarik minat pelanggan dari Tanjung Malim, Perak dan Rawang, Selangor yang sanggup ke rumahnya.

KEK balang mula mendapat perhatian peminat sejak sebulan lalu.


Selain kek dalam balang, pasangan itu turut menjual beberapa jenis kek lain seperti kek cawan, mufin, kek fondant dengan pelbagai hiasan mengikut cita rasa pelanggan.
Bagi sesiapa yang ingin mencuba atau menempah kek balang, anda boleh hubungi Ahmad Nazrol di 019-5720 120 atau layari blogspot di kekdihatiku.blogspot.com.
Perlu teliti
Sementara itu, lain pula bagi seorang pengusaha kek di Ipoh, Perak, Muhammad Zafri Zakaria, 39.
Menurutnya, dia lebih gemar meletakkan adunan kek terus ke dalam balang lalu membakarnya seperti biasa.
“Proses pembuatannya mudah, tetapi jika mahu mengukir corak ia menuntut ketelitian. Pada kebiasaan, jika meletakkan adunan terus ke dalam balang, agak sukar untuk membuat corak.
“Oleh itu, saya tidak membuat corak kerana tidak mahu kek dalam balang itu comot dengan gubahan yang dilakukan dengan sapuan krim,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: